Thursday, 9 July 2015

| KENYATAAN MEDIA | MyCARE: Misi Ramadhan ke Kem Pelarian Palestine dan Syria di Lubnan


Kenyataan Media
Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) 
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
9 Julai 2015 bersamaan 22 Ramadan 1436H
MISI RAMADHAN KE KEM PELARIAN PALESTIN & SYRIA DI LUBNAN 

Sempena bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, MyCARE melalui agensinya, Aqsa Syarif dan i4Syria (i4S) akan menyantuni pelarian Palestin dan Syria di kem-kem pelarian di Lubnan menerusi Misi RETURN2AQSA4 (R2A4). Ia adalah misi keempat sejak tahun 2010 yang disusun hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin dan Syria.

        Keadaan pelarian Palestin dan Syria dikem-kem pelarian di Lubnan adalah antara yang paling daif dan serba kekurangan selain kem-kem yang terdapat di Gaza. Kem-kem ini mengalami masalah kepadatan penduduk, terkebelakang dari aspek pendidikan, ekonomi, perkhidmatan kesihatan dan perlindungan keselamatan. Malah, kem pelarian di Lubnan pernah menyaksikan peristiwa berdarah seperti The Sabra Shatilla Massacre 1982. Kem-kem ini sangat memerlukan bantuan dari luar untuk terus bertahan dan mengelak keadaan bertukar menjadi satu lagi krisis kemanusiaan sepertimana di Gaza dan di Kem Yarmouk, Syria.

        Justeru, bagi meringankan beban dan penderitaan para pelarian ini, MyCARE telah memutuskan untuk menghantar satu misi kemanusiaan ke Lubnan dari 9 - 14 Julai 2015. Misi RETURN2AQSA4 ini akan diketuai oleh Ar. Syed Muhammad Radhi Syed Sakkaf, Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) MyCARE diiringi 5 orang lagi ahli misi iaitu:

1.    Ustaz Mohd Fairooz Mohd Fathillah (Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) MyCARE / wakili4Syria)
2.    Muhammad Hussaini Khairudin (Pengurus Projek Aqsa Syarif)
3.    Dr.Abdul Halim Sibghatullah (wakil IKRAM Health)
4.    Mohd Kamal Fitri Mohd Ghazali (wakil MyCARE Selangor merangkap Bendahari misi)
5.    ZoolFadli Hamzah (wakil MyCARE Pahang merangkap AJK Media misi).

Misi R2A4 pada kali ini akan menyampaikan bantuan seperti berikut:

1.    Bantuan Ramadhan untuk 5,000 pelarianPalestin dan Syria berupa sahur, iftar dan pek makanan bernilai RM 410,000
2.    Bantuan Ramadhan untuk 1,000 keluarga pelarian Syria di Kem Biqa, di sempadan Lubnan-Syria berupa iftar bernilai RM 100,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Rayuan Ramadhan IKRAM
3.    Membiayai kos menaiktaraf Pusat Kesihatan Al-Burj di kem Burj Chemali, Tyre bernilai RM 200,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui kerjasama Aqsa Syarif dan pasaraya Econsave Cash & Carry.
4.    Bekalan ubat-ubatan bernilai RM 11,800 sumbangan Ikram Health

Jumlah keseluruhan bantuan Ramadhan yang akan disampaikan melalui Misi R2A4 ini ialah sebanyak RM 721,800.00. Kesemua bantuan Ramadhan ini akan diuruskan dengan kerjasama rakan NGO tempatan iaitu Human Charity forRelief and Development (HCRD), al-Ghauss, Wakef of Al-Raafa Association, As-Syifa,Takaful for Child Welfare, Al-Amal, Islamic Rabitah Lebanon dan Kiblatal Ula.

Selain itu, Misi R2A4 juga akan cuba mengenal pasti projek-projek baru di Lubnan yang berpotensi untuk dibangunkan demi kebajikan para pelarian Palestin dan Syria yang berlindung di sana dan demi kesinambungan perjuangan mempertahankan hak asasi pelarian-pelarian di Lubnan ini untuk kembali ke tanah air mereka satu hari nanti.

MyCARE mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat terus menyumbangkan melalui Kempen Raikan Ramadhan MyCARE agar kita dapat sama-sama membantu mereka yang memerlukan sekaligus meraih gandaan pahala yang dijanjikan dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Ayuh kita penuhi hari-hari akhir dibulan Ramadhan ini dengan ibadah infaq dan sedekah selain memperbanyakkan bacaan al-Quran, zikir, iktikaf dan menunaikan solat malam.

Semoga Allah SWTmenerima amal kita dan semoga mereka-mereka yang kita bantu dapat meraikan Ramadhan pada tahun ini dalam suasana rahmah sepertimana kita di Malaysia. 'Ibadah kita, kegembiraan mereka'.

*Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada aktiviti bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara. Ia mempunyai 6 agensi iaitu Aqsa Syarif,i4Syria, Salam Iraq, Nusantara Care (NICE), Rose2Rose (R2R) dan PalestineCentre of Excellence (PACE).

'Nurturing Humanity, Making aDifference'

PROF.MADYA DR. HAFIDZI MOHD NOOR,
Pengerusi,
Lembaga Pemegang Amanah,
Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE)

No comments:

Post a Comment