Sunday, 27 October 2013

| BERITA | Program Qiamullail Akhawat IKRAM Daerah Seberang Perai Utara

TASEK GELUGOR, 26 Okt - Seramai anggaran 20 orang akhawat sekitar daerah SPU telah menyertai Qiam Wanita IKRAM Daerah SPU. Berkata ketua wanita IKRAM SPU, Puan Zaiton Abdullah "Program ini merupakan program untuk muayasyah, mendengar pandangan dan cadangan aktiviti". Di samping itu juga bagi mengoptimakan masa malam hingga ke pagi sesi pengisian terpilih dan isu semasa telah dibuat dengan jayanya.

Program bermula selepas selesai solat Isyak hingga ke pagi dengan diselang seli jamuan bihun, karipap dan kek yang disumbangkan oleh ahli usrah membuatkan ikatan persaudaraan sesama ahli begitu erat.
Justeru itu satu perkongsian jaulah Eropah dari seorang ahli usrah yang telah berjaulah ke UK, Holland dan Itali 2 minggu yang lalu. Disamping itu perkongsian daripada yang pernah belajar di Mesir, UK dan Yaman. Dengan info yang baik ini dapatlah wanita memilih tempat untuk anak-anak menyambung belajar pada masa akan datang.

Kak Husniah yang telah mengikuti latihan modul keluarga Ikram telah membincangkan tajuk 7 dosa dalam berkomunikasi dengan anak-anak. Seterusnya tidur, qiam dan bangun tahajjud pada jam 4 pagi, tilawah masing-masing dan solat taubat, hajat dan witir dan diakhiri dengan solat subuh berjemaah serta diikuti dengan bacaan Mathurat.

Tazkirah subuh yang bertajuk "Pentingnya menjaga kesihatan diri dan keluarga supaya kita berupaya beribadat dan menyumbang kepada kerja-kerja dakwah yang sangat menuntut kekuatan fizikal".

Akhir kata Ketua Wanita IKRAM Daerah SPU menyeru akhawat yang dikasihi supaya tingkatkan usaha kerana usia kita yang semakin hampir ke kubur, semoga kita dapat manafaat sebaiknya.

| INFO | Kisah seorang yang mencari kebenaran.....

 
Dikongsikan kisah seorang muallaf (revert) melalui FB beliau, Muhammad Ooi. semoga bermanfaat......
 
Saya mengenali Islam menerusi konsep tauhid / ketuhanan yang Esa jejak sekolah menengah. Sebelum itu, ketika sekolah rendah saya belajar mengenai Kristian dan Buddha.

Titik bermula timbul rasa ingin mengenali Kristian ialah setelah membaca sebuah komik tebal yang mengisahkan Jesus, yang saya pinjam daripada kawan bernama Chin Wan King (kalau tak silap la ya.., anak seorang businessman di Pekan Baling). Komik jenis 'serius'. Ketika itu, darjah 5 kalau tak silap saya. Terus saya mencari di mana boleh belajar Kristian. 

| BERITA | Daurah Murabbi, 26 Oktober 2013


SEBERANG JAYA - Jawatankuasa Tarbiyah IKRAM Pulau Pinang telah menganjurkan Daurah Murabbi pada 26 Oktober  2013. Daurah ini diadakan bagi memberi persediaan dan ilmu kepada Naqib dan Naqibah yang baru atau sedang bawa usrah.

Daurah ini telah dikendalikan oleh Ust Syazalie Herman, Prof. Madya Dr Abdul Halim serta Ust Rozee Razak. Antara aspek yang ditekankan di dalam daurah ini adalah modul-modul berkaitan Hadaf, Mustawa, Wasail dan Takwin serta Tas'id.
Ustaz Syazalie
Seramai anggaran 45 orang murabbi dan murabbiyah hadir dalam Daurah ini. 

Ramai yang berpuas hati hasil daripada penyampaian yang disampaikan. Antara yang dikongsikan juga adalah bagaimana membawa usrah yang efektif.

Bagi pihak Jawatankuasa Tarbiyah IKRAM Negeri Pulau Pinang, Ustaz Syazalie berharap Murabbi dan Murabbiyah yang hadir dapat menilai mutarabbi mengikut tahap tamhidi dan muayyid. 

Beliau juga berkata sistem ini juga seperti sistem pedagogi sekolah, di mana setiap murabbi perlu membuat persediaan sebelum membawa usrah masing-masing.

Saturday, 26 October 2013

| KENYATAAN MEDIA | Bajet Negara 2014 Bajet Bertanggungjawab

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
22 Oktober 2013 bersamaan 17 Zulhijjah 1434H

BAJET NEGARA 2014 BAJET BERTANGGUNGJAWAB
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengharapkan bahawa Bajet 2014 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen nanti adalah merupakan Bajet yang mencerminkan sikap bertanggungjawab terhadap masa depan ekonomi negara.
 
Sudah tentu sebahagian besar rakyat ingin melihat Bajet kali ini adalah bajet yang `Mesra Rakyat’,  kerana Rakyat baru saja dikejutkan dengan kenaikan minyak kereta sebanyak 0.20 sen seliter yang telah berkuatkuasa pada 3 September 2013 baru-baru ini.


| KENYATAAN MEDIA | Keputusan Mahkamah Rayuan Mengenai Kalimah Allah: Mari Kita Urus Perbezaan Pandangan dengan Bijaksana!


KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)

18 Oktober 2013 bersamaan 13 Zulhijjah 1434 H

Keputusan Mahkamah Rayuan Mengenai Kalimah Allah: Mari Kita Urus Perbezaan Pandangan dengan Bijaksana!

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin menyatakan kebimbangan mengenai tindakbalas masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia pada 14 Oktober 2013 yang lalu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly.

Sebagai sebuah NGO yang berprinsipkan Islam, yang meyakini bahawa Islam adalah agama dari Allah swt dan merupakan agama yang membawa rahmat kepada sekelian alam, IKRAM ingin mengajak semua pihak untuk mengambil pendekatan yang bijaksana dalam mengurus perbezaan pandangan ini.

Isu ini akan berpanjangan jika dirayu di mahkamah yang lebih tinggi, dan banyak lagi kes-kes yang sedang dan akan dibawa ke mahkamah. IKRAM berpandangan tindakan merujuk kepada mahkamah adalah hak setiap orang untuk mendapatkan keadilan di bawah Undang-undang Malaysia. Ia adalah pendekatan yang baik jika jalan lain tidak menghasilkan penyelesaian yang memuaskan hati pihak-pihak yang bercanggah.
IKRAM menyeru agar:
  • rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berusaha ke arah kedamaian dan keharmonian,
  • semua pihak termasuk kerajaan, parti politik, NGO dan media massa berusaha untuk membina persefahaman antara kaum dan agama seperti yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain serta menghentikan provokasi perkauman dan keagamaan,
  • usaha bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman di kalangan umat Islam diperhebatkan dengan penglibatan yang lebih berkesan oleh semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan media massa bagi menangani kegusaran banyak pihak tentang kerapuhan aqidah umat Islam,
  • usaha bagi memberi kefahaman tentang ajaran Islam sebenar di kalangan orang yang bukan Islam hendaklah juga dipertingkatkan, dan
  • program-program dialog antara agama hendaklah diperluaskan agar persefahaman dan perasaan saling hormat menghormati dapat dibina.

Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Saturday, 19 October 2013

| KENYATAAN MEDIA | Pendirian Pertubuhan IKRAM Malaysia Dalam Isu Fahaman Syiah

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
19 Oktober 2013 bersamaan 14 Zulhijjah 1434H 

Pendirian Pertubuhan IKRAM Malaysia Dalam Isu Fahaman Syiah

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum berhubung fahaman Syiah dan penyebarannya di Malaysia. IKRAM menyedari kewujudan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996 dan juga dari Majlis Fatwa Negeri-negeri yang memfatwakan bahawa fahaman Syiah adalah bercanggah dengan fahaman aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertentangan dengan hukum Syarak. Perkembangan terkini menunjukkan bahawa Syiah yang dahulunya terbahagi kepada beberapa aliran kini hampir kesemuanya menjurus kepada aliran Imamiah (juga dikenali sebagai Isna Asyariah atau Ja’fariyah) yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. 

Dengan ini Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menegaskan pendiriannya bahawa Syiah yang diamalkan sekarang dengan jelas adalah sesat. 

Berhubung dengan itu IKRAM

1. menyokong keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan tindakan Majlis Fatwa Negeri-negeri yang telah mewartakan bahawa Syiah adalah sesat dan  mengamalkannya adalah satu kesalahan,

2. menyeru agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang berdakyah atau mengajak orang Islam di Malaysia kepada Syiah,

3. bersetuju untuk bersama-sama memperbanyakkan aktiviti-aktiviti penerangan kepada masyarakat mengenai bahaya Syiah,

4. bersetuju untuk bekerjasama dengan agensi Kerajaan, swasta dan NGO dalam menangani ancaman Syiah, dan

5. menggesa kerajaan menilai semula kesan hubungan diplomatik, ekonomi, pendidikan, pelancongan dan lain-lain dengan kerajaan-kerajaan dokongan Syiah agar tidak menjejaskan kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad 
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)