Showing posts with label Perutusan Presiden. Show all posts
Showing posts with label Perutusan Presiden. Show all posts

Wednesday, 31 August 2016

Perutusan Hari Kemerdekaan ke-59


Perutusan Presiden IKRAM
Sempena Hari Kemerdekaan ke-59
31 Ogos 2016

 
"Ke Arah Negara Rahmah Mithali"

Assalamu’alaikum wbt.
Kita sekali lagi berkesempatan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara kita Malaysia daripada penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 2016 ini, sejak tanggal 31 Ogos 1957, negara kita telah mencapai status sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Perkara yang paling penting kepada rakyat seluruhnya berhadapan dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara ialah memahami hakikat kemerdekaan, bagaiman ia sepatutnya diisi atau disambut, dipertahankan oleh rakyat dan pemerintah, bagaimana ia dapat dijadikan asas kepada perkembangan negara menuju sebuah negara rahmah mithali.

Hakikat kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat dalam perspektif Islam ialah kebebasannya daripada cengkaman-cengkaman kehidupan yang membelenggu pilihan dan kebebasan mereka, seperti cengkaman nafsu, pemikiran dan pemahaman yang salah, sesat, perbuatan-perbuatan yang jahat, cengkaman syaitan, taghut, penjajah dan manusia yang jahat.

Kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat hanya akan wujud sesudah ia bebas daripada cengkaman-cengkaman dan belenggu-belenggu tersebut.

Sewaktu kemerdekaan itu wujud, sesebuah negara dan masyarakat akan bergerak bebas mengendalikan perjalanan hidupnya berasaskan pilihannya sendiri dengan penuh kebijaksanaan, lepas bebas daripada cengkaman-cengkaman di atas, aktif melakukan kerja-kerja kebaikan yang akan memajukan negara dan kehidupan masyarakatnya, memakmurkan dunia dan hubungan sesama manusia sejagat.

Rakyat dan pemerintah akan berperanan memajukan negara, menjaga hak-hak semua warganya secara adil, tidak melakukan tindakan-tindakan atau amalan-amalan yang akan memburukkan keadaan atau memundurkan negara serta menambah kesusahan rakyat, meningkatkan keupayaan negara dan rakyat untuk terus berkembang maju, mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi sehingga ia menjadi masyarakat dan negara yang berprestasi tinggi, maju dan kuat, menjadi ikutan dan contoh kepada dunia antarabangsa.

Tidak cukup dengan perkembangan tersebut, negara dan masyarakat di dalamnya berasaskan asas-asas kekuatan yang telah sedia dibina akan dapat berkembang maju lagi, melahirkan sebuah tamadun kemanusiaan yang akan semakin sempurna dengan berlalunya masa, menjadi sebuah negara rahmah mithali terhadap rakyatnya, negara-negara tetangga dan masyarakat manusia sejagat.

Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang prihatin, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menginginkan kebaikan untuk semua rakyat dan negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini. Harapan IKRAM sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaaan Malaysia yang ke-59 ini ialah:

"Semoga semua pihak dalam negara ini, pemerintah dan rakyat, akan terus melaksanakan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya, tulus ikhlas bagi memajukan negara serta mengangkat status kesejahteraan kehidupan rakyatnya ke tahap yang lebih tinggi dengan perjalanan masa, Malaysia tampil sebagai sebuah Negara Rahmah Mithali ke atas semua, berjaya menggerakkan pembangunan sebuah tamadun kemanusiaan yang mendekati kesempurnaaan dan mengkhidmati masyarakat manusia sejagat."

Dalam kesempatan ini juga, marilah kita perhatikan ucapan seorang sahabat Nabi kita yang tersohor, Rib’i bin ‘Amir RA tentang kandungan kemerdekaan yang perlu dicari dan dimenangi dalam hidup ini sebagai satu misi kepada kehidupan dan perjuangan:
"Membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."

Sekian, selamat maju jaya, rakyat bersatu, Islam didaulatkan, negara dimajukan, redha Ilahi dimenangi, bahagia kekal abadi.

Wednesday, 6 July 2016

| PERUTUSAN PRESIDEN IKRAM | SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI 1437H / 2016


Perutusan Presiden IKRAM
Sempena Hari Raya Aidilfitri
1 Syawal 1437H (2016)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

Segala puji-pujian kepada Allah SWT, pemilik alam semesta. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabiin serta ummah yang meneruskan perjuangan membela kebenaran hingga ke hari kiamat.

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kita ucapkan kerana diberi kemampuan menunaikan tanggungjawab melaksanakan perintah Allah SWT menunaikan kewajipan ibadah Ramadan. Semoga ibadah yang kita lakukan dengan berpuasa pada siangnya dan mendirikan ibadah malam mampu menjadikan kita orang yang bertakwa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa."

Hari ini adalah hari kegembiraan bagi semua orang-orang yang beriman dan bertakwa yang telah berjaya menunaikan kewajipan yang diperintahkan Allah SWT dan kembali kepada fitrah yang suci setelah sebulan melalui pentarbiahan melalui madrasah Ramadan melawan dorongan hawa nafsu dan menundukkan jiwa kepada mentaatati Allah yang akhirnya menjadikan hati-hati kita kembali bersih dengan keimanan yang akan menjana daya juang di pelbagai relung dan medan amal.

Oleh itu, adalah wajar bagi kita menyambutnya pada hari ini dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil serta bertakbir membesarkan serta memuji dan memuja Allah SWT dan bersyukur atas kemenangan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Saya menyeru kepada semua ahli IKRAM untuk bersama-sama umat melakukan ibadah solat sunat Aidilfitri bersama kaum keluarga dan mengambil peluang melakukan kunjungan ziarah kepada seluruh kaum muslimin tanpa mengira latar berlakang kerana semua muslimin adalah bersaudara.

Saya juga menyeru agar hubungan kekeluargaan antara anak dan kedua-dua ibu bapa diperkukuhkan serta hubungan dan jalinan kasih sayang antara suami dan isteri dipertingkatkan. Saya juga menyeru hubungan antara pimpinan IKRAM sama ada di pusat mahupun di negeri dan daerah dengan ahli terus diikat dengan jalinan ukhuwah dan mahabbah fillah kerana ini semua adalah rahsia dan asas kekuatan jamaah kita.

Kita semua wajar saling mendoakan dan bermaafan di bulan yang mulia ini. Syawal juga adalah bulan pengukuhan persaudaraan dan perpaduan ummah. Marilah kita hulurkan salam persaudaraan dan kasih sayang. Lupakan persengketaan lama dan hulurkan kembali tali kemaafan dan kasih sayang sesama kita.

Pada bulan yang penuh kemuliaan ini kita juga tidak harus melupakan golongan yang memerlukan, yang ditimpa bencana, anak-anak yatim, ibu tunggal yang memerlukan bantuan dan fakir miskin yang menuntut pembelaan.

Kita juga wajar terus mendoakan secara berterusan saudara Islam kita di bumi Palestin yang masih ditindas di bumi sendiri, saudara-saudara kita di bumi Syria terus bergolak dan bermandi darah, nasib umat Islam Rohingya di Myanmar, di Iraq, Yaman dan di dunia Arab yang sedang dirundung malang di tanah air mereka.

Marilah kita semua terus prihatin melakukan yang terbaik bagi menjayakan seluruh agenda pembaikan dan pengislahan bagi ummah dan masyarakat, menghulur tenaga dan memerah keringat, meningkatkan amal dan menggerakkan saf bagi meningkatkan sumbangan pertubuhan kita berkhidmat kepada masyarakat dan ummah.

Teruskanlah azam dan usaha untuk bersama-sama meningkatkan amal ke arah memperbaiki kondisi umat, masyarakat dan negara ke satu tahap perkembangan dan kemajuan yang lebih baik, sejajar dengan kehendak syariah dan wawasan kita memacu perubahan masyarakat dan negara dan membangunkan Malaysia sebagai negara rahmah mithali.

Semoga seluruh amal yang kita lakukan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan dalam memperjuangkan kalimah Allah yang tinggi dan membela agama ini diterima Allah SWT dan disaksikan oleh orang-orang yang beriman.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfiri 1437H, Minal 'Aaidin wal Faaizin.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! 
Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

USTAZ DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD

Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sunday, 11 October 2015

| KENYATAAN MEDIA | Selamat Menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
11 Oktober 2015 bersamaan 27 Zulhijjah 1436H

SELAMAT MENYAMBUT HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA

Menyokong Usaha Mencegah, Mengurangkan Risiko dan Merawat Penyakit Mental Secara Holistik

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia (10 Oktober 2015). Sambutan ini adalah satu usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan kesihatan insan merangkumi kesihatan fizikal, kesihatan mental dan kesihatan spiritual.

Di peringkat organisasi, IKRAM telah memastikan program-program tarbiahnya seimbang antara tarbiah berbentuk fizikal (jasadi), mental ('aqli) dan spiritual (ruhi). Program-program tarbiah IKRAM adalah berdasarkan objective dan outcome-based education (tarbiah bi al-ahdaf wa al-nata’ij) merangkumi objektif psikomotor (mahari), kognitif (ma'rifi) dan afektif (syu'uri) untuk mencapai kesejahteraan dan kesihatan yang seimbang antara ketiga-tiga aspek ini. IKRAM melibatkan pakar-pakar jiwa seperti pakar psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor dalam usaha membangunkan sumber tarbiah dan dakwahnya.

Wednesday, 17 June 2015

| PERUTUSAN PRESIDEN | Perutusan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia Sempena Ramadan 1436H


Perutusan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sempena Ramadan 1436H
Rabu 30 Syaaban 1435H bersamaan 17 Jun 2015
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)



Orang yang berpuasa mendapat pakaian takwa. la merupakan perisai yang melindungi diri daripada kejahatan dan fitnah. Ibadat puasa lebih istimewa daripada ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah.



Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: Allah Azzawajalla berfirman:




“Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hari maka jangan sekali-kali dia mengungkapkan perkataan yang kotor (lucah) dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa “Demi yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila dia berbuka, dia bergembira dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya.” (Muttafaqun Alaih)