Perutusan Presiden IKRAM
Sempena Hari Kemerdekaan ke-59
31 Ogos 2016
"Ke Arah Negara Rahmah Mithali"
Sempena Hari Kemerdekaan ke-59
31 Ogos 2016
"Ke Arah Negara Rahmah Mithali"
Assalamu’alaikum wbt.
Kita sekali lagi berkesempatan
menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara kita Malaysia daripada
penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 2016 ini, sejak tanggal 31 Ogos 1957,
negara kita telah mencapai status sebuah negara yang merdeka dan
berdaulat.
Perkara yang paling penting kepada
rakyat seluruhnya berhadapan dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara
ialah memahami hakikat kemerdekaan, bagaiman ia sepatutnya diisi atau
disambut, dipertahankan oleh rakyat dan pemerintah, bagaimana ia dapat
dijadikan asas kepada perkembangan negara menuju sebuah negara rahmah
mithali.
Hakikat kemerdekaan sesebuah negara
dan masyarakat dalam perspektif Islam ialah kebebasannya daripada
cengkaman-cengkaman kehidupan yang membelenggu pilihan dan kebebasan
mereka, seperti cengkaman nafsu, pemikiran dan pemahaman yang salah,
sesat, perbuatan-perbuatan yang jahat, cengkaman syaitan, taghut,
penjajah dan manusia yang jahat.
Kemerdekaan sesebuah negara dan
masyarakat hanya akan wujud sesudah ia bebas daripada
cengkaman-cengkaman dan belenggu-belenggu tersebut.
Sewaktu kemerdekaan itu wujud,
sesebuah negara dan masyarakat akan bergerak bebas mengendalikan
perjalanan hidupnya berasaskan pilihannya sendiri dengan penuh
kebijaksanaan, lepas bebas daripada cengkaman-cengkaman di atas, aktif
melakukan kerja-kerja kebaikan yang akan memajukan negara dan kehidupan
masyarakatnya, memakmurkan dunia dan hubungan sesama manusia sejagat.
Rakyat dan pemerintah akan berperanan
memajukan negara, menjaga hak-hak semua warganya secara adil, tidak
melakukan tindakan-tindakan atau amalan-amalan yang akan memburukkan
keadaan atau memundurkan negara serta menambah kesusahan rakyat,
meningkatkan keupayaan negara dan rakyat untuk terus berkembang maju,
mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi sehingga ia menjadi
masyarakat dan negara yang berprestasi tinggi, maju dan kuat, menjadi
ikutan dan contoh kepada dunia antarabangsa.
Tidak cukup dengan perkembangan
tersebut, negara dan masyarakat di dalamnya berasaskan asas-asas
kekuatan yang telah sedia dibina akan dapat berkembang maju lagi,
melahirkan sebuah tamadun kemanusiaan yang akan semakin sempurna dengan
berlalunya masa, menjadi sebuah negara rahmah mithali terhadap
rakyatnya, negara-negara tetangga dan masyarakat manusia sejagat.
Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang
prihatin, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menginginkan kebaikan untuk
semua rakyat dan negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini. Harapan
IKRAM sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaaan Malaysia yang
ke-59 ini ialah:
"Semoga semua pihak dalam negara
ini, pemerintah dan rakyat, akan terus melaksanakan tugas masing-masing
dengan sebaik-baiknya, tulus ikhlas bagi memajukan negara serta
mengangkat status kesejahteraan kehidupan rakyatnya ke tahap yang lebih
tinggi dengan perjalanan masa, Malaysia tampil sebagai sebuah Negara Rahmah Mithali
ke atas semua, berjaya menggerakkan pembangunan sebuah tamadun
kemanusiaan yang mendekati kesempurnaaan dan mengkhidmati masyarakat
manusia sejagat."
Dalam kesempatan ini juga, marilah
kita perhatikan ucapan seorang sahabat Nabi kita yang tersohor, Rib’i
bin ‘Amir RA tentang kandungan kemerdekaan yang perlu dicari dan
dimenangi dalam hidup ini sebagai satu misi kepada kehidupan dan
perjuangan:
"Membebaskan manusia daripada
perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah, daripada
kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan
dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."
Sekian, selamat maju jaya, rakyat bersatu, Islam didaulatkan, negara dimajukan, redha Ilahi dimenangi, bahagia kekal abadi.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM
Sumber: http://ikram.org.my/berita/kenyataan-media/item/3014-perutusan-hari-kemerdekaan-ke-59.html
Presiden IKRAM
Sumber: http://ikram.org.my/berita/kenyataan-media/item/3014-perutusan-hari-kemerdekaan-ke-59.html

No comments:
Post a Comment