Monday, 28 December 2015

| BERITA | Program Lawatan Hospital Besar Pulau Pinang 27 Disember 2015


Tuan / Puan dijemput menjadi sukarelawan Lawatan Hospital anjuran Hidayah Centre P.Pinang dan Badan Kebajikan Islam Hospital P.Pinang.

Butiran seperti berikut:

27 DISEMBER 2015 (Ahad)
10.30 pagi ( berkumpul di surau hospital )
Hubungi 'Aini 013 - 5100 762 untuk pra-pendaftaran (diwajibkan).

Sebarkan!

Thursday, 24 December 2015

| PERUTUSAN YDP | Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1437 H


Segala puji-pujian kepada Allah rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w., para sahabat dan pejuang-pejuang kebenaran sehingga Hari Kebangkitan.

Di dalam buku seorang penulis barat, Michael H. Hart, beliau telah meletakkan seorang manusia mulia ini di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, malah ia mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri.

Bagi Arthur Glyn Leonard pula: “Untuk mengerti manusia mulia ini atau jiwa Islam dengan sempurna, orang harus tahu lebih dahulu bahawa dia bukan hanya pengembara biasa yang menghabiskan umur melainkan satu daripada orang yang paling setia, jujur dan sungguh-sungguh dari setiap masa dan zaman.”

Manakala A.C. Bonquet di dalam Comparative Religion menyatakan bahawa, “Insan mulia ini berhasil memajukan umatnya dan mengembangkan ke seluruh wilayah Timur Tengah idaman siasah dan sosial yang lebih luas, lebih segar dan lebih matang daripada Byzantine. Ia menjauhi kemewahan, ia hidup dengan prinsip hemat dan menjauhi ketamakan. Ia terkenal kerana tindakan-tindakannya yang sederhana. Ia melakukan tugas kemanusiaan dengan tangannya sendiri.”

Insan mulia ini tidak lain tidak bukan, ialah Ar-Rasul Muhammad s.a.w. Bagi kita yang mengaku umatnya, baginda adalah contoh  dan ikutan dalam perjuangan membawa obor dakwah.

Dalam sebuah hadith, yang maksudnya: "Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia."

Ketegasan ini ditambah lagi dengan firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

‎لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : "Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan Allah dan pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya."

Semakin tinggi harapan kita kepada Allah, semakin besar keyakinan kepada Hari Kemudian, bertambah banyak kita mengingat dan menyebut Allah, maka bertambah ringanlah bagi kita untuk meneladani Rasul s.a.w.

Antara intipati utama dalam mencontohi baginda s.a.w., kita harus memiliki kekuatan jiwa, peribadi yang jujur dan berintegriti, akhlaq yang disegani dan watak kepemimpinan yang mampu membina umat dan negara. Jiwa-jiwa rabbani ini apabila berpadu dalam barisan tersusun, bergerak di atas perancangan yang rapi dan terjun berkhidmat, akan memberi satu nafas baru kepada umat.

Dengan ini, lahirlah umat Islam yang faham dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam konteks realiti semasa. Umat yang ada izzah dengan Islam dan mampu merealisasikan ajaran-ajarannya.

Akhir sekali, sempena bulan kelahiran ar-Rasul, kita memohon agar Allah memberi kita kekuatan, taufiq dan hidayah untuk menjiwai akhlaq Rasulullah, sabar dan istiqamah dalam jalan yang ditinggalkan oleh Baginda s.a.w.

Sekian, wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barokaatuh.

IR Jamaluddin Abdullah,
Yang Dipertua,
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang

Friday, 18 December 2015

| BERITA | Bro Khaw Lek Ming muncul dalam program HIKMAH siaran TV2 pada 18 Disember 2015


| TV HIDAYAH |

Paparan HIKMAH
pada 18hb Disember 2015 Jumaat, 11.30 pagi di TV2. telah memperkenalkan tetamu jemputan Bro Khaw Lek Ming dari Hidayah Centre Pulau Pinang dan aktivis MACMA Pulau Pinang.

Beliau juga merupakan Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah tahun 2012.

Thursday, 22 October 2015

| INFO | Cadangan teks khutbah Tahun Baru 1437H: Sumbangan dari JK Pembelaan Umat Sejagat, Pertubuhan IKRAM Malaysia.


Cadangan teks khutbah Tahun Baru 1437H 
Sumbangan dari JK Pembelaan Umat Sejagat , Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Assalamualaikum wbt.

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memanjangkan usia dan memberi kesempatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Kita sudah pun memasuki Tahun Baru hijrah 1437.

Khatib mengajak setiap umat menginsafi apa yang berlaku saat ini di Baitul Makdis, di Tebing Barat di Gaza, di Syria di saat kita memasuki gerbang tahun baru hijrah. Khatib mengajak kita memberi tumpuan kepada Masjid Al Aqsa yang kini sedang diancam. Yahudi Zionis merancang untuk membahagikan Masjid al Aqsa kepada dua; separuh untuk tempat ibadat orang-orang Yahudi. Mereka akan melaksanakan impian membina sinagog atau kuil mereka; Haikal Sulaiman, dan melengkapkan agenda jahat untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa. Sebelum ini mereka telah mewartakan tembok Buraq pada tahun 1967 kepada Kottel – tembok tangisan ’Wailing wall’ orang-orang yahudi. Mereka telah merobohkan masjid al Maghariba dan pintu masuknya. Kini mereka akan melengkapkan cita-cita ini setelah diberi lampu hijau oleh parlimen haram Israel Knesset pada tahun lalu.

Monday, 19 October 2015

| INFO | Setiap Muslim perlu mempertahankan Al-Quds mengikut kemampuan masing-masing: Prof. Dr Yusuf Al-Qaradawi


"Al-Quds bukan hanya untuk Palestin sahaja, tetapi mereka paling berhak keatasnya. Dan ia bukan untuk orang Arab sahaja, tetapi mereka perlu mempertahankannya. Al-Quds adalah milik semua orang Islam. Setiap orang Islam perlu mempertahankannya mengikut kemampuan masing-masing."
Prof. Dr Yusuf Al-Qaradawi
Sumber: 

| INFO | Isu Palestine: Ketahui isu utama ....


Isu Palestine: Siapa adalah siapa? Apakah ISU utama di sini??
Tontonlah video ringkas ini....

Sunday, 18 October 2015

| HEBAHAN | Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015) | Ahad 25 Oktober 2015 | 8 pg - 6 ptg @ IDCC Shah Alam |


Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015) | Ahad 25 Oktober 2015 | 8 pg - 6 ptg @ IDCC Shah Alam | 

Pendaftaran: http://www.islamicevents.my/event/286

SINOPSIS

Bagi menegakkan keadilan dan kebenaran Islam yang akan membawa rahmah kepada sekelian alam menuntut para pendokongnya untuk memahami dan mendalami ilmu di sekitar Maqasid Syariah. Maqasid Syariah mengajak kita melihat "the big picture" terhadap apa yang sebenarnya dituntut oleh Islam. Ini boleh mengelakkan kita daripada terperangkap dalam perkara-perkara furu' (cabang) yang sering membawa kita terkeluar dari landasan pemikiran dan perjuangan yang pokok.

Dalam usaha kita membangunkan Malaysia Negara Rahmah, memahami selok belok yang berkaitan Maqasid Syariah adalah antara perkara penting yang perlu ditekankan. Hadiri konvensyen ini dan ikuti penyampaian oleh tokoh dan ilmuwan dalam dan luar negara mengutarakan hujah dan pendapat mereka berasaskan kepada Maqasid Syariah.

MENAMPILKAN:


* Dr RachId Ghannouchi (En-Nahda Movement, Tunisia)
* Dr Ibrahim Munir (SU Agung IM Antarabangsa)
* Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad (Presiden IKRAM)
* Ustaz Muhammad Anis Matta (Mantan Presiden PKS, Indonesia)
* Dr Mujahid Yusof Rawa (Naib Presiden AMANAH)
* Hj Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan PKR)
* Ustaz Dr Maszlee Malik (Ahli Akademik, Pensyarah UIAM)
* Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (Naib Presiden AMANAH)

| HEBAHAN | Teaser Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI) 2015, 24 Oktober 2015

Sila klik SINI untuk menonton teaser PTI IKRAM 2015.

Saturday, 17 October 2015

| HEBAHAN | Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI) 2015, 24 Oktober 2015


| HEBAHAN | Program I'm Beautiful, 1 November 2015

| INFO | KELIRU yang mana satu Masjidil Aqsa ??? Mari kenal pasti Masjidil Aqsa dengan mudah.

Artikel perkongsian diambil dari Facebook Aqsa Syarif

Kami seringkali ditanya berkenaan struktur bangunan yang mana satu adalah Masjidil Aqsa. Ada yang mengatakan Masjidil Aqsa adalah Kubah As-Sakhra (Dome of Rock), yang berkubah emas, masjid yang berwarna kelabu, Masjdil Qibli dan Masjid Umar.

Kami memuji para pengunjung yang memahami bahawa Masjidil Aqsa adalah keseluruhan struktur yang berada di dalam kotak merah itu, atau lebih dikenali sebagai Haram As-Syariff. 

Mari kita tatapi gambar tersebut akan persamaan dan perbezaan yang boleh didapati pada ketiga-tiga masjid tersebut. Agak menghairankan soalan-soalan yang begitu prihatin ini hanya berlaku kepada Masjidil Aqsa sahaja dan tidak timbul pula pada Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Alhamdulillah, tuntutan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan, diiringi niat dan keinginan yang suci, persediaan yang benar dan mencukupi, perancangan yang rapi dengan menyertai kursus-kursus yang disediakan, serta ceramah-ceramah yang dihadiri membuatkan kita begitu mengenali Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Berbekalkan usaha-usaha di atas, tidak timbul isu kita mengatakan hanya Kaabah itu sahaja adalah Masjidil Haram, kerana kita telah memahami dengan usaha kita bahawa keseluruhan kawasan dalam lingkungan merah (#2) adalah Masjidil Haram. Pada tahun ini kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan projek naik taraf terbesar dalam sejarah. Dan sudah pasti ia masih dipanggil Masjidil Haram walaupun kawasannya semakin luas.

Kita lihat pula Masjidil Nabawi. Masjid Hijau itu tidak dikatakan sebagai Masjidil Nabawi kerana kita memahami bahawa keseluruhan kawasan dalam lingkungan merah (#3) adalah Masjidil Nabawi. Hakikatnya, Masjidil Nabawi telah mengalami beberapa fasa projek menaik taraf bermula daripada rumah Rasulullah s.a.w dan masjid berhampiran rumah baginda sehingga struktur sekarang bagi menampung ahli jemaah yang lebih ramai sama seperti Masjidil Haram.

Alhamdulillah. Syukur, kita semua jelas berkenaan status fizikal Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Mari kita bandingkan dengan Masjidil Aqsa.

| BERITA | Temubual Palestin: Kebangkitan Intifada Ketiga di saluran Astro AWANI, 15 Oktober 2015


Ikuti temubual bersama Prof. Madya Dr.Hafidzi Mohd Noor dan Prof. Dr. Kamaruzzaman Yusuf (Fakulti Tamadun Islam, UTM) akan perkembangan terkini Intifada ke 3 pada 15 Oktober 2015 di saluran Astro AWANI.

"Kebangkitan intifada anak muda Palestin menentang kekejaman rejim zionis Israel kembali memuncak. Pembunuhan demi pembunuhan insan tidak berdosa oleh tentera rejim zionis Israel semakin menjadi-jadi tanpa mengenal umur atau jantina. Pengerusi Aqsa Syarif Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Nor berkata kebangkitan intifada kali ketiga ini meletus disebabkan usaha Israel menguasai Masjid Al Aqsa dengan membahagikan tempat dan masa penggunaan."

 Sila Klik di SINI Untuk Menonton Video
Sumber: Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia

| BERITA | Intifada' 3: Apakah peranan anak-anak muda di Malaysia dalam isu ini?

Tonton video ini di: https://www.facebook.com/aqsa.syarif/videos/1043617208995280/


Gelombang 'The Third Intifada' sedang bergema di seluruh Palestin dan disahut oleh seluruh masyarakat dunia yang cintakan keamanan. 

Gelombang ini dibangkitkan oleh pemuda dan pemudi di Palestin semenjak awal Oktober lalu. 

Beberapa FAKTA yang perlu kita ambil tahu!
  • Bandar Baitul Makdis (Jerusalem) dan dikuasai oleh Israel semenjak 1967 (Tragedi AnNaksah)
  • Extremis Yahudi mendesak dan melobi melalui ahli Parlimen Israel untuk memisahkan Masjid Al-Aqsa kepada 2 bahagian.
  • Strategi Israel boleh dibahagikan kepada 2 fasa iaitu Fasa Awal & Fasa Pengukuhan
  • Rumah-rumah rakyat Palesti disekitar Baitul Makdis dirampas dan dirobohkan.
  • Sejak 14 Sept seramai 35 rakyat Palestin dibunuh, lebih 4,545 cedera dan 560 ditahan
  • Beberapa rakyat Palestin beragama Kristian juga ditangkap dan dicederakan 
 
Persoalan penting adalah apakah peranan anak-anak muda di Malaysia dalam isu ini?

Berikut adalah 4 cadangan ACTION PLAN untuk kita:
✔ Awareness - Sebarkan kesedaran secara kreatif dan manfaatkan media sosial untuk menekan Israel
✔ Donate - Hulurkan sumbangan secara konsisten kepada NGO-NGO yang membantu Palestin
✔ Boycott - Teruskan usaha memboikot produk yang secara jelas membantu ekonomi Israel
✔ Doa - Tembak doa-doa kita kepada saudara kita di Palesti


Manfaatkan kekuatan dan kemahiran yang ada pada diri kita dan manfaatkan untuk Kempen ini!

Friday, 16 October 2015

| BERITA | Intifada telah diisytiharkan! Al-Aqsa Memanggil!


Intifada telah diisytiharkan! Al-Aqsa Memanggil!

Aqsa Syarif menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama bangkit bersama rakyat Palestin melalui Kempen MyINTIFADA (#MyINTIFADA). Mari sumbangkan tenaga (promosi sesama kaum keluarga dan sahabat handai), pemikiran (cetuskan inisitif kreatif anda) dan wang bersama-sama Aqsa Syarif.

Sumbangan-sumbangan yang disalurkan melalui Aqsa Syarif akan disalurkan bagi menampung keperluan makan, minum dan pengangkutan yang diperlukan sekitar Masjid Al Aqsa

Teruskan mengikuti Perkembangan di Palestin melalui Aqsa Syarif dan hashtag #MyIntifada.
Kebangkitan Palestin, Kebangkitan rakyat Malaysia!

Ayuh salurkan sumbangan anda kepada Kempen MyINTIFADA

1) Salurkan sumbangan anda ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad:
- Maybank Islamic (5642 5856 0698)
- Bank Islam (1209-20100-34904)
- CIMB (8602-135-592)

2) Maklumkan melalui e-mail, nama beserta bank-in slip kepada account@mycare.org.my atau WA/Telegram ke 019-6551948
Untuk maklumat lanjut dan juga jemputan ceramah di tempat anda, sila hubungi:
MyCARE HQ: 03-8941 2341 (Puan Raihanah)
Email: relations@mycare.org.my
 

Wednesday, 14 October 2015

| BICARA YDP | Perutusan YDP IKRAM Pulau Pinang bersempena Awal Muharram 1437 Hijrah

Ir JAMALUDDN BIN ABDULLAH
Ucapan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Pulau Pinang
Bersempena Awal Muharram 1437 Hijrah

“Hijrah: Harapan untuk Pembaharuan”

Segala puji-pujian kepada Allah Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, para sahabat dan pejuang-pejuang kebenaran hingga ke akhir zaman. 

Setahun telah berlalu, 1436H meninggalkan kita dengan pelbagai sejarah dan peristiwa pahit manis. 1437H membuka lembaran baru dengan azam baru.

Saya mengajak semua ahli IKRAM berfikir sejenak sejauh mana peranan kita di persada ummah sebagai pekerja Islam yang praktis di luar kotak usrah dan program tarbiah?

Pemerhatian saya, melihat longlainya anak-anak muda Islam dengan hedonism dan hiburan serta di alam materialistik. Ada di kalangan umat yang mengambil Islam mengikut apa yang disukai tetapi meninggalkan apa yang tidak disukai. Apabila umat keliru dan tidak dapat lagi dapat membezakan yang betul dan yang salah, maka ini adalah bukti umat dalam krisis lantaran kedinginan sentuhan IKRAM (atau gerakan Islam yang lain) kepada mereka.

Apakah mungkin kedinginan ini berpunca dari fenomena “kami lebih baik dari kamu” (holier than thou)? Atau perasaan selamat dan selesa yang ‘menipukan’ dengan apungan tarbiah puluhan tahun yang menyebabkan kelunturan dakwah ini? Sering kita dengar ahli ibadah yang tertipu dengan kehebatan amal-amalnya. Ada baiknya dipersoalkan mengapa iman kita tidak melahirkan muslim yang suka berkhidmat kepada orang lain bila ia diperlukan? Harus muhasabah diri di manakah tahap iman dan amal kita di sisi Allah subhanahu wa ta’ala?

| KENYATAAN MEDIA | Muharram: Bulan Perubahan Diri dan Meningkatkan Tekad Perjuangan


Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
 
 1 Muharram 1437H bersamaan 14 Oktober 2015




Muharram: Bulan Perubahan Diri dan Meningkatkan Tekad Perjuangan



Hari ini 1 Muharram kita sama-sama melangkah ke tahun 1437 Hijrah. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua rakyat Malaysia. Semoga kita diberi taufik dan kekuatan untuk terus memperbaiki diri dan masyarakat agar Malaysia dirasai sebagai sebuah Negara Rahmah untuk semua warganya.

Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah setapak. Kecemerlangan dan kegemilangan diri, masyarakat dan negara kita bermula dengan langkah permulaan yang tampak kecil, namun besar impaknya. Langkah permulaan itu, tidak lain dan tidak bukan, adalah hijrahnya diri kita ke arah yang lebih baik: baik akhlaknya, santun dalam bicaranya, ihsan kepada sesama manusia, itqan (profesional) dalam muamalah atau pekerjaannya.

Seperti mana seikat lidi menjadi utuh dan bermanfaat daripada sebatangnya sendiri, bayangkan bagaimana hebatnya, aman damai dan bahagianya kita rakyat Malaysia sekiranya setiap daripada kita, 30 juta rakyat Malaysia, berakhlak mulia dan hidup atas prinsip-prinsip kebenaran, keadilan, dan penuh muhibbah.

Masyarakat sebeginilah yang mampu mendokong dan menegakkan Malaysia yang maju, Malaysia yang harmoni, Malaysia yang rahmah.

Jika kita susuri satu per satu sirah Nabi Muhammad saw, terdapat banyak kisah perjuangan nabi dan sahabat dalam mendaulatkan Islam di atas muka bumi.

Sunday, 11 October 2015

| KENYATAAN MEDIA | Selamat Menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
11 Oktober 2015 bersamaan 27 Zulhijjah 1436H

SELAMAT MENYAMBUT HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA

Menyokong Usaha Mencegah, Mengurangkan Risiko dan Merawat Penyakit Mental Secara Holistik

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia (10 Oktober 2015). Sambutan ini adalah satu usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan kesihatan insan merangkumi kesihatan fizikal, kesihatan mental dan kesihatan spiritual.

Di peringkat organisasi, IKRAM telah memastikan program-program tarbiahnya seimbang antara tarbiah berbentuk fizikal (jasadi), mental ('aqli) dan spiritual (ruhi). Program-program tarbiah IKRAM adalah berdasarkan objective dan outcome-based education (tarbiah bi al-ahdaf wa al-nata’ij) merangkumi objektif psikomotor (mahari), kognitif (ma'rifi) dan afektif (syu'uri) untuk mencapai kesejahteraan dan kesihatan yang seimbang antara ketiga-tiga aspek ini. IKRAM melibatkan pakar-pakar jiwa seperti pakar psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor dalam usaha membangunkan sumber tarbiah dan dakwahnya.

Friday, 25 September 2015

| HEBAHAN | TERKINI! Jemputan Jamuan & Gotong Royong dan Qurban Perdana Al ITQAN dan Pertubuhan IKRAM Malaysia, 26 September 2015

Jemputan Jamuan & Gotong Royong dan Qurban Perdana Al ITQAN dan IKRAM

Sabtu 26 September 2015
7.30 pagi 
SMI Al-ITQAN, Teluk Kumbar
(Sekolah Menengah Al-itqan Pulau Pinang, Jalan Sepakat, Kampung Masjid, 11920, Bayan Lepas, Pulau Pinang)
Google Maps: http://goo.gl/maps/lec6g
GPS: 5.294364,100.2237682
Tentatif:
7.00 pg - Berkumpul
7.15 pg - Sembelih
7.30 pg - Melapah & Memasak
12.00 tgh -3ptg - Jamuan Terbuka

Dijemput sekeluarga

Pertanyaan : En Talha 0175402160, En Fared: 0124319582

Jumlah sukarelawan belum capai sasaran, jom daftar jadi sukarelawan Gotong Royong Korban di Daftar Sukarelawan Online: https://goo.gl/ZWCXeZ
.

Daging korban akan diagih kepada asnaf sekitar Teluk Kumbar.

| BERITA | Laporan bergambar - Qurban Kasih Ummah 1436H (Qurban Tin) IKRAM/MyCARE/Aqsa Syarif sejumlah 215 ekor (1,505 bahagian) telah selamat disempurnakan.

Saudara Hussaini Khairudin (kanan) mewakili pihak MyCaRE di pusat penyembelihan.
24 September 2015, Uttar Pradesh, India - Penyembelihan 215 ekor lembu bagi Qurban Tin MyCARE 2015 (sebanyak 1,505 bahagian) telah selamat dilaksanakan! Saudara Hussaini Khairudin yang berada di lokasi penyembelihan bagi urusan pemantauan proses ini melaporkan.

Tepat jam 10.30 pagi 24/9/2015 di India, penyembelihan telah dimulakan di pusat penyembelihan Amroon Foods di daerah Uttar Pradesh, utara negara tersebut.

Dengan menggunakan teknologi dari India dan New Zealand, Qurban dimasukkan ke dalam mesin penyediaan sembelihan dan apabila berada dalam kedudukan yang stabil, penyembelih (2 orang dari kalangan pekerja) menyempurnakan penyembelihannya.

Di setiap checkpoint/station, para pekerja telah bersiap sedia dengan tugas yang khusus dari penyembelihan sehinggalah pemotongan daging dan pembungkusannya.

1) Checkpoint 1 - penyembelihan
2) Checkpoint 2 - mengikat perut dan penyangkutan Qurban
3) Checkpoint 3 - membiarkan Qurban tergantung
4) Checkpoint 4 - membersihkan Qurban
5) Checkpoint 5 - memotong kaki dan kepala Qurban
6) Checkpoint 6 - menanggalkan kulit daripada badan Qurban
7) Checkpoint 7 - membuang sistem pencernaan Qurban (perut hingga usus besar)
8) Checkpoint 8 - memotong Qurban kepada 2 untuk memudahkan proses pemotongan seterusnya
9) Checkpoint 9 - menanggalkan lebihan-lebihan pada Qurban termasuk lemak-lemak dan urat saraf
10) Checkpoint 10 - Pembersihan sebelum proses penyejukan

Setelah itu, Qurban-qurban disejukkan ke dalam Chiller selama 2 jam dan kemudiaannya ke dalam Blast Freezer untuk tujuan pembekuan selama 2 jam setengah untuk mengelakkan kerosakan pada daging sepanjang proses pembungkusannya.

Dengan pengoperasian selama 24 jam sehari pada perayaan Aidil Adha, pusat penyembelihan ini mampu memproses sehingga 1,500 ekor Qurban setiap hari. InsyaAllah kesemua 4,878 ekor Qurban (34,146 bahagian) melalui usahasama ini mampu disempurnakan dalam masa 4 hari.

Alhamdulillah, Qurban melalui IKRAM/MyCARE/Aqsa Syarif sejumlah 215 ekor (1,505 bahagian) telah selamat disempurnakan, disenaraikan sebagai Qurban batch pertama 001-215. Kini, daging-daging Qurban ini sedang dalam proses pembungkusan.

Lembu yang telah disembelih disangkut bagi proses seterusnya.

Thursday, 24 September 2015

| BERITA | Program Remaja: CINTA FOTOKOPI bersempena Ceramah Perdana Ustaz Zamri Mantop, 19 September 2015


19 September 2015, Sungai Nibong - Program Cinta Fotokopi anjuran IKRAMTeens Pulau Pinang di bawah kendalian Abang Ard bersempena Program Ceramah Perdana "Mendidik Anak Berdasarkan Al-Quran dan Sunnah" oleh Surau An-Nur, Lebuh Nipah Pulau Pinang telah berjaya dilaksanakan. Seramai lebih kurang 30 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun menyertai program ini.

Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 2 petang dan diikuti dengan slot perkongsian oleh Abang Ard sepertimana jadual program di bawah ini.

| MINDA PIMPINAN | Perutusan Eidil Adha Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia 9 Zulhijjah 1436H/ 23 September 2015


Perutusan Eidil Adha
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
9 Zulhijjah 1436H/ 23 September 2015

HARI ARAFAH: BUKTI KESAMARATAAN MANUSIA

Hari ini Jemaah Haji Malaysia akan bersama dengan umat Islam dari serata dunia berhimpun dalam satu perhimpunan terbesar sedunia bersempena dengan ibadah wukuf di Padang Arafah.

Wukuf di Arafah disyariatkan Allah sebagai manasik terpenting ibadah haji; tanpa wukuf ibadah haji menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai ibadah haji beliau bersabda: Haji itu adalah Arafah.

Perhimpunan tahunan ini menyaksikan para jemaah yang mengerjakan haji tidak kira apa bangsa , bahasa dan warna kulit, berpakaian ihram serba putih, berwukuf dan berhenti sejenak di Padang Arafah. Semua mereka adalah hamba di hadapan Yang Maha Pencipta ; tiada yang lebih mulia melainkan ditentukan oleh darjah ketakwaannya kepada Allah. Peristiwa ini memberi satu isyarat penting yang diulang-ulang saban tahun bahawa kita semua hakikatnya adalah sama di sisi Allah. Tiada satu kaum atau bangsa yang layak mendabik dada mengatakan merekalah yang lebih mulia.

| BICARA YDP | Perutusan YDP IKRAM Pulau Pinang bersempena Hari Raya Eidul Adha 2015 (1436H)


Ir JAMALUDDIN BIN ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang 
  24 September 2015

Sempena Hari Raya Eidul Adha 2015 (1436H)

Segala puji-pujian kepada Allah rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, para sahabat dan pejuang-pejuang kebenaran hingga ke akhir zaman.

Ibadah qurban adalah salah satu ibadah sunnah Nabi Muhammad saw semasa umat Islam merayakan Hari Raya Aidil Adha, yang merupakan ‘millat nabi Ibrahim'. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan ibadah qurban antaranya,

"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya qurban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih qurban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang qurban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berqurban itu". (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.) 

Wednesday, 23 September 2015

| KENYATAAN MEDIA | PAKATAN HARAPAN PERKUKUH SISTEM DWIPARTI

 Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
 23 September 2015 bersamaan 9 Zulhijjah 1436H

PAKATAN HARAPAN PERKUKUH SISTEM DWIPARTI
  
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengalu-alukan penubuhan Pakatan Harapan pada 22 September 2015, yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

IKRAM percaya Pakatan Harapan akan dapat mengukuhkan sistem dwiparti di Malaysia yang telah terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen melalui proses semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.

Penubuhan Pakatan Harapan ini diharapkan akan memberikan tekanan kepada Barisan Nasional supaya terus memperbaiki kelemahan yang ada, seterusnya sama-sama bersaing untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap rakyat dan negara.

Semoga proses ini dapat membantu negara untuk keluar daripada kemelut ekonomi, politik dan sosial yang dihadapi pada masa ini.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

| BERITA | Hentikan Pengyahudian Masjid al-Aqsa!


22 September 2015, AMPANG - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama 30 NGO termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Al-Quds Foundation Malaysia (QFM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dan NGO-NGO lain menegaskan supaya dihentikan pengyahudian Israel di Masjid al-Aqsa.


“Ini berikutan Masjid al-Aqsa telah mengalami serangan dan penafian hak oleh Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” demikian ujar Presiden MAPIM, Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid mewakili NGO-NGO dalam sidang media “Selamatkan Al-Quds” di Hotel De Palma di sini hari ini. Menurutnya tindakan ini melanggar hak eksklusif Muslim ke atas masjid tersebut.

Friday, 18 September 2015

| BERITA | TERKINI! Tarikh penyertaan Qurban Kasih Ummah dilanjutkan sehingga hari Isnin, 21 September 2015







TERKINI! Tarikh penyertaan Qurban Kasih Ummah dilanjutkan sehingga hari
Isnin, 21 September 2015

Ayuh kita sama sama bantu jayakan Qurban Kasih Ummah!
_____________________________________

Yang Berbahgia/Dato’/Datin/Tuan/Puan,
Tarikh Tutup Penyertaan Qurban Kasih Ummah Dilanjutkan

Hari-hari musim kebaikan kembali menghampiri kita. Bulan yang penuh berkah dan limpahan kebaikan berisikan kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah antaranya menghidupkan sunnah berkorban, berazam untuk melaksanakannya kerana fadilat dan pahalanya yang besar.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam lebih disukai oleh Allah pada hari korban selain dari mengalirkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya korbannya itu pada hari Kiamat akan datang menyertai bani Adam dengan tanduk-tanduknya, bulunya dan kuku-kukunya. Dan darah korban tersebut akan menitis di suatu tempat (yang diredhai) Allah sebelum menitis ke bumi, maka relakanlah korban itu.”
(HR Tirmidzi)

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi kesempatan untuk menunaikan tuntutan sunnat muakad ini iaitu ibadah qurban. Setakat semalam kami telah menerima banyak penyertaan qurban melalui Qurban Kasih Ummah IKRAM. Ini membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia semakin memahami makna ibadah qurban itu sendiri. Sejajar dengan itu, kami berbesar hati memanjangkan lagi tarikh tutup penyertaan Qurban Kasih Ummah ke tarikh 21hb September 2015 (Isnin).

| BERITA | Program Qurban Kasih Ummah 1436H (QKU) dalam akhbar Sinar Harian, 18 September 2015


Program Qurban Kasih Ummah 1436H (QKU) mendapat liputan akhbar harian Sinar Harian keluaran hari ini, 18 September 2015.

Untuk berita penuh, sila baca di bawah atau layari http://www.sinarharian.com.my/rehal/nikmat-korban-1.432219.

Nikmat korban

10 Zulhijah, seluruh umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha. Sinonimnya, hari raya ini dikaitkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar RA.

Manakala, kita sebagai hamba-Nya dituntut untuk menjalankan ibadah korban dengan menyembelih binatang bagi yang berkemampuan.

Berbicara perihal berkorban, dua atau tiga bulan sebelum menjelang raya, malah awal tahun lagi masyarakat Islam yang berkemampuan akan mencari haiwan korban sama ada lembu, kambing, biri-biri atau unta.

Menekuni ibadah korban, selain dalam negara ada yang memilih untuk melakukannya di luar negara seperti Kemboja, Vietnam, Myanmar, Mindanoa dan banyak lagi negara luar yang lain. 

Negara berkenaan bukanlah negara yang majoritinya penduduk Islam. Umat Islam di sana hanyalah golongan minoriti, tetapi ramai juga yang berpusu-pusu melaksanakan ibadah korban di sana.