Ir JAMALUDDN BIN
ABDULLAH
Ucapan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Pulau Pinang
Bersempena Awal Muharram 1437 Hijrah
“Hijrah: Harapan untuk Pembaharuan”
Segala puji-pujian kepada
Allah Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah
saw, para sahabat dan pejuang-pejuang kebenaran hingga ke akhir zaman.
Setahun telah berlalu, 1436H meninggalkan kita dengan pelbagai sejarah dan peristiwa pahit manis. 1437H membuka
lembaran baru dengan azam baru.
Saya mengajak semua ahli
IKRAM berfikir sejenak sejauh mana peranan kita di persada ummah sebagai
pekerja Islam yang praktis di luar kotak usrah dan program tarbiah?
Pemerhatian saya, melihat
longlainya anak-anak muda Islam dengan hedonism dan hiburan serta di alam
materialistik. Ada di kalangan umat yang mengambil Islam mengikut apa yang
disukai tetapi meninggalkan apa yang tidak disukai. Apabila umat keliru dan
tidak dapat lagi dapat membezakan yang betul dan yang salah, maka ini adalah
bukti umat dalam krisis lantaran kedinginan sentuhan IKRAM (atau gerakan Islam
yang lain) kepada mereka.
Apakah mungkin kedinginan
ini berpunca dari fenomena “kami lebih baik dari kamu” (holier than thou)? Atau perasaan selamat dan selesa yang
‘menipukan’ dengan apungan tarbiah puluhan tahun yang menyebabkan kelunturan
dakwah ini? Sering kita dengar ahli ibadah yang tertipu dengan kehebatan
amal-amalnya. Ada baiknya dipersoalkan mengapa iman kita tidak melahirkan
muslim yang suka berkhidmat kepada orang lain bila ia diperlukan? Harus
muhasabah diri di manakah tahap iman dan amal kita di sisi Allah subhanahu wa
ta’ala?
Firman Allah swt. Dalam surah
al Hadid, ayat 16:
“Belum
sampaikah lagi masanya bagi orang² yang beriman, untuk khusyuk hati mereka
mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran)
yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti
orang² yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang² itu melalui
masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang²
yang fasik – derhaka."
Sesungguhnya masyarakat di
luar sana menanti santunan Islam dari IKRAM. Gerakan pembaharuan berkesan
diperlukan apabila umat berada dalam krisis dan kejatuhan. IKRAM dan gerakan
pendokong Islam menjadi harapan umat dan masyarakat. Di Malaysia, kita perlukan
pembaharuan jatidiri, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Tunjangnya adalah
keyakinan kepada Allah, pembaharuan dalam pemikiran agar dapat kembali segar
menampilkan imej Islam yang utuh bagi menghadapi cabaran zaman dan perubahan
minda umat.
Mari kita renungi maksud
ayat 45 dan 46 dalam surah al Ahzab:
“Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan
pembawa kabar gemgira dan pemberi peringatan. dan untuk jadi penyeru kepada
Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi Cahaya Yang Menerangi.”
Akhir kata, marilah kita
sama-sama mengorak langkah melakukan perubahan diri , keluarga dan organisasi menjadi
Cahaya Yang Menerangi demi untuk
membimbing dan membangun ummah menjadi lebih beriman dan masyarakat yang lebih
makmur di bawah naungan Islam rahmat sekalian alam.
Sekian, wassalamu’alaikum
wbkth.
Ir Jamaluddin Abdullah
Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Pulau Pinang


No comments:
Post a Comment