Friday, 25 September 2015

| HEBAHAN | TERKINI! Jemputan Jamuan & Gotong Royong dan Qurban Perdana Al ITQAN dan Pertubuhan IKRAM Malaysia, 26 September 2015

Jemputan Jamuan & Gotong Royong dan Qurban Perdana Al ITQAN dan IKRAM

Sabtu 26 September 2015
7.30 pagi 
SMI Al-ITQAN, Teluk Kumbar
(Sekolah Menengah Al-itqan Pulau Pinang, Jalan Sepakat, Kampung Masjid, 11920, Bayan Lepas, Pulau Pinang)
Google Maps: http://goo.gl/maps/lec6g
GPS: 5.294364,100.2237682
Tentatif:
7.00 pg - Berkumpul
7.15 pg - Sembelih
7.30 pg - Melapah & Memasak
12.00 tgh -3ptg - Jamuan Terbuka

Dijemput sekeluarga

Pertanyaan : En Talha 0175402160, En Fared: 0124319582

Jumlah sukarelawan belum capai sasaran, jom daftar jadi sukarelawan Gotong Royong Korban di Daftar Sukarelawan Online: https://goo.gl/ZWCXeZ
.

Daging korban akan diagih kepada asnaf sekitar Teluk Kumbar.

| BERITA | Laporan bergambar - Qurban Kasih Ummah 1436H (Qurban Tin) IKRAM/MyCARE/Aqsa Syarif sejumlah 215 ekor (1,505 bahagian) telah selamat disempurnakan.

Saudara Hussaini Khairudin (kanan) mewakili pihak MyCaRE di pusat penyembelihan.
24 September 2015, Uttar Pradesh, India - Penyembelihan 215 ekor lembu bagi Qurban Tin MyCARE 2015 (sebanyak 1,505 bahagian) telah selamat dilaksanakan! Saudara Hussaini Khairudin yang berada di lokasi penyembelihan bagi urusan pemantauan proses ini melaporkan.

Tepat jam 10.30 pagi 24/9/2015 di India, penyembelihan telah dimulakan di pusat penyembelihan Amroon Foods di daerah Uttar Pradesh, utara negara tersebut.

Dengan menggunakan teknologi dari India dan New Zealand, Qurban dimasukkan ke dalam mesin penyediaan sembelihan dan apabila berada dalam kedudukan yang stabil, penyembelih (2 orang dari kalangan pekerja) menyempurnakan penyembelihannya.

Di setiap checkpoint/station, para pekerja telah bersiap sedia dengan tugas yang khusus dari penyembelihan sehinggalah pemotongan daging dan pembungkusannya.

1) Checkpoint 1 - penyembelihan
2) Checkpoint 2 - mengikat perut dan penyangkutan Qurban
3) Checkpoint 3 - membiarkan Qurban tergantung
4) Checkpoint 4 - membersihkan Qurban
5) Checkpoint 5 - memotong kaki dan kepala Qurban
6) Checkpoint 6 - menanggalkan kulit daripada badan Qurban
7) Checkpoint 7 - membuang sistem pencernaan Qurban (perut hingga usus besar)
8) Checkpoint 8 - memotong Qurban kepada 2 untuk memudahkan proses pemotongan seterusnya
9) Checkpoint 9 - menanggalkan lebihan-lebihan pada Qurban termasuk lemak-lemak dan urat saraf
10) Checkpoint 10 - Pembersihan sebelum proses penyejukan

Setelah itu, Qurban-qurban disejukkan ke dalam Chiller selama 2 jam dan kemudiaannya ke dalam Blast Freezer untuk tujuan pembekuan selama 2 jam setengah untuk mengelakkan kerosakan pada daging sepanjang proses pembungkusannya.

Dengan pengoperasian selama 24 jam sehari pada perayaan Aidil Adha, pusat penyembelihan ini mampu memproses sehingga 1,500 ekor Qurban setiap hari. InsyaAllah kesemua 4,878 ekor Qurban (34,146 bahagian) melalui usahasama ini mampu disempurnakan dalam masa 4 hari.

Alhamdulillah, Qurban melalui IKRAM/MyCARE/Aqsa Syarif sejumlah 215 ekor (1,505 bahagian) telah selamat disempurnakan, disenaraikan sebagai Qurban batch pertama 001-215. Kini, daging-daging Qurban ini sedang dalam proses pembungkusan.

Lembu yang telah disembelih disangkut bagi proses seterusnya.

Thursday, 24 September 2015

| BERITA | Program Remaja: CINTA FOTOKOPI bersempena Ceramah Perdana Ustaz Zamri Mantop, 19 September 2015


19 September 2015, Sungai Nibong - Program Cinta Fotokopi anjuran IKRAMTeens Pulau Pinang di bawah kendalian Abang Ard bersempena Program Ceramah Perdana "Mendidik Anak Berdasarkan Al-Quran dan Sunnah" oleh Surau An-Nur, Lebuh Nipah Pulau Pinang telah berjaya dilaksanakan. Seramai lebih kurang 30 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun menyertai program ini.

Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 2 petang dan diikuti dengan slot perkongsian oleh Abang Ard sepertimana jadual program di bawah ini.

| MINDA PIMPINAN | Perutusan Eidil Adha Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia 9 Zulhijjah 1436H/ 23 September 2015


Perutusan Eidil Adha
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
9 Zulhijjah 1436H/ 23 September 2015

HARI ARAFAH: BUKTI KESAMARATAAN MANUSIA

Hari ini Jemaah Haji Malaysia akan bersama dengan umat Islam dari serata dunia berhimpun dalam satu perhimpunan terbesar sedunia bersempena dengan ibadah wukuf di Padang Arafah.

Wukuf di Arafah disyariatkan Allah sebagai manasik terpenting ibadah haji; tanpa wukuf ibadah haji menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai ibadah haji beliau bersabda: Haji itu adalah Arafah.

Perhimpunan tahunan ini menyaksikan para jemaah yang mengerjakan haji tidak kira apa bangsa , bahasa dan warna kulit, berpakaian ihram serba putih, berwukuf dan berhenti sejenak di Padang Arafah. Semua mereka adalah hamba di hadapan Yang Maha Pencipta ; tiada yang lebih mulia melainkan ditentukan oleh darjah ketakwaannya kepada Allah. Peristiwa ini memberi satu isyarat penting yang diulang-ulang saban tahun bahawa kita semua hakikatnya adalah sama di sisi Allah. Tiada satu kaum atau bangsa yang layak mendabik dada mengatakan merekalah yang lebih mulia.

| BICARA YDP | Perutusan YDP IKRAM Pulau Pinang bersempena Hari Raya Eidul Adha 2015 (1436H)


Ir JAMALUDDIN BIN ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang 
  24 September 2015

Sempena Hari Raya Eidul Adha 2015 (1436H)

Segala puji-pujian kepada Allah rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, para sahabat dan pejuang-pejuang kebenaran hingga ke akhir zaman.

Ibadah qurban adalah salah satu ibadah sunnah Nabi Muhammad saw semasa umat Islam merayakan Hari Raya Aidil Adha, yang merupakan ‘millat nabi Ibrahim'. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan ibadah qurban antaranya,

"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya qurban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih qurban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang qurban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berqurban itu". (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.) 

Wednesday, 23 September 2015

| KENYATAAN MEDIA | PAKATAN HARAPAN PERKUKUH SISTEM DWIPARTI

 Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
 23 September 2015 bersamaan 9 Zulhijjah 1436H

PAKATAN HARAPAN PERKUKUH SISTEM DWIPARTI
  
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengalu-alukan penubuhan Pakatan Harapan pada 22 September 2015, yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

IKRAM percaya Pakatan Harapan akan dapat mengukuhkan sistem dwiparti di Malaysia yang telah terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen melalui proses semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.

Penubuhan Pakatan Harapan ini diharapkan akan memberikan tekanan kepada Barisan Nasional supaya terus memperbaiki kelemahan yang ada, seterusnya sama-sama bersaing untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap rakyat dan negara.

Semoga proses ini dapat membantu negara untuk keluar daripada kemelut ekonomi, politik dan sosial yang dihadapi pada masa ini.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

| BERITA | Hentikan Pengyahudian Masjid al-Aqsa!


22 September 2015, AMPANG - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama 30 NGO termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Al-Quds Foundation Malaysia (QFM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dan NGO-NGO lain menegaskan supaya dihentikan pengyahudian Israel di Masjid al-Aqsa.


“Ini berikutan Masjid al-Aqsa telah mengalami serangan dan penafian hak oleh Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” demikian ujar Presiden MAPIM, Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid mewakili NGO-NGO dalam sidang media “Selamatkan Al-Quds” di Hotel De Palma di sini hari ini. Menurutnya tindakan ini melanggar hak eksklusif Muslim ke atas masjid tersebut.

Friday, 18 September 2015

| BERITA | TERKINI! Tarikh penyertaan Qurban Kasih Ummah dilanjutkan sehingga hari Isnin, 21 September 2015







TERKINI! Tarikh penyertaan Qurban Kasih Ummah dilanjutkan sehingga hari
Isnin, 21 September 2015

Ayuh kita sama sama bantu jayakan Qurban Kasih Ummah!
_____________________________________

Yang Berbahgia/Dato’/Datin/Tuan/Puan,
Tarikh Tutup Penyertaan Qurban Kasih Ummah Dilanjutkan

Hari-hari musim kebaikan kembali menghampiri kita. Bulan yang penuh berkah dan limpahan kebaikan berisikan kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah antaranya menghidupkan sunnah berkorban, berazam untuk melaksanakannya kerana fadilat dan pahalanya yang besar.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam lebih disukai oleh Allah pada hari korban selain dari mengalirkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya korbannya itu pada hari Kiamat akan datang menyertai bani Adam dengan tanduk-tanduknya, bulunya dan kuku-kukunya. Dan darah korban tersebut akan menitis di suatu tempat (yang diredhai) Allah sebelum menitis ke bumi, maka relakanlah korban itu.”
(HR Tirmidzi)

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi kesempatan untuk menunaikan tuntutan sunnat muakad ini iaitu ibadah qurban. Setakat semalam kami telah menerima banyak penyertaan qurban melalui Qurban Kasih Ummah IKRAM. Ini membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia semakin memahami makna ibadah qurban itu sendiri. Sejajar dengan itu, kami berbesar hati memanjangkan lagi tarikh tutup penyertaan Qurban Kasih Ummah ke tarikh 21hb September 2015 (Isnin).

| BERITA | Program Qurban Kasih Ummah 1436H (QKU) dalam akhbar Sinar Harian, 18 September 2015


Program Qurban Kasih Ummah 1436H (QKU) mendapat liputan akhbar harian Sinar Harian keluaran hari ini, 18 September 2015.

Untuk berita penuh, sila baca di bawah atau layari http://www.sinarharian.com.my/rehal/nikmat-korban-1.432219.

Nikmat korban

10 Zulhijah, seluruh umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha. Sinonimnya, hari raya ini dikaitkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar RA.

Manakala, kita sebagai hamba-Nya dituntut untuk menjalankan ibadah korban dengan menyembelih binatang bagi yang berkemampuan.

Berbicara perihal berkorban, dua atau tiga bulan sebelum menjelang raya, malah awal tahun lagi masyarakat Islam yang berkemampuan akan mencari haiwan korban sama ada lembu, kambing, biri-biri atau unta.

Menekuni ibadah korban, selain dalam negara ada yang memilih untuk melakukannya di luar negara seperti Kemboja, Vietnam, Myanmar, Mindanoa dan banyak lagi negara luar yang lain. 

Negara berkenaan bukanlah negara yang majoritinya penduduk Islam. Umat Islam di sana hanyalah golongan minoriti, tetapi ramai juga yang berpusu-pusu melaksanakan ibadah korban di sana.

Wednesday, 16 September 2015

| BICARA YDP | Perutusan YDP IKRAM Pulau Pinang bersempena Hari Malaysia 2015 (1436H)


Ir JAMALUDDIN BIN ABDULLAH 
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang 
  16 Julai 2015

Sempena Hari Malaysia 2015 (1436H) 

Segala puji-pujian bagi Allah robb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga dan para sahabat seluruhnya.

Pada hari 16 Sept setiap tahun kita menyambut ulang tahun kemasukan Sabah dan Sarawak ke bawah Kerajaan Persekutuan Malaya dan Malaya kemudian ditukar menjadi Malaysia. Dengan ini, Negara Malaysia dikayakan  lagi dengan pelbagai etnik kaum iaitu Iban, Melanau, Kadazan, Bajau, Bidayuh dan lain-lain.

Kepelbagaian kaum di Negara kita ini merupakan anugerah kepada rakyat Malaysia  untuk hidup aman damai dengan ragam budaya dan fahaman agama yang berlainan. Islam menganjurkan kita berkenal-kenalan antara satu sama lain untuk mengukuh hubungan antara kaum, hidup bertoleransi serta hormat menghormati terhadap kepelbagaian ini.

| HEBAHAN | Jemputan bersama dalam Qurban Perdana Pusat Pendidikan Al-Itqan (PPAIQ) Pulau Pinang dan IKRAM Barat Daya dan Timur Laut, 26 Sept 2015

Mari bersama menyertai Majlis Qurban Perdana Pusat Pendidikan Al-Itqan (PPAIQ) Pulau Pinang dan IKRAM Barat Daya dan Timur Laut.

Tarikh : Sabtu 26 September 2015
Masa : 8.00 Pagi
Tempat : SMI Al ITQAN, Teluk Kumbar (Sekolah Menengah Al-itqan Pulau Pinang, Jalan Sepakat, Kampung Masjid, 11920, Bayan Lepas, Pulau Pinang)
Google Maps: http://goo.gl/maps/lec6g
GPS: 5.294364,100.2237682

Pertanyaan : En Talha 0175402160, atau En Fared: 0124319582

| HEBAHAN | Program Qurban Kaseh UMMAH 1436H....

Dijemput untuk bersama dalam program Qurban Kaseh Ummah 1436H, IKRAM Malaysia yang akan diuruskanoleh MyCARE.

| HEBAHAN | Program Jemaah Cilik anjuran IKRAM Belia, Wanita IKRAM SPT, dan IKRAM Junior Pulau Pinang,

| BERITA | Mari sertai Program Halaqah Qaseh Wanita IKRAM Timur Laut, 16 September 2015

| BERITA | Program Lawatan Hospital Besar Pulau Pinang 13 September 2015

Tuan / Puan dijemput menjadi sukarelawan Lawatan Hospital anjuran Hidayah Centre P.Pinang dan Badan Kebajikan Islam Hospital P.Pinang.

Tarikh : 13 September 2015 (Ahad)
Masa : 10.30 ( berkumpul di surau hospital )
Hubungi 'Aini 013 - 5100 762 untuk pra-pendaftaran (diwajibkan )
Sebarkan!
  • Program ziarah pesakit di wad-wad Hospital Besar Pulau Pinang.
  • Berpeluang menceriakan dan mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan bersama pesakit dan ahli keluarga. Juga, berkongsi ilmu-ilmu berkaitan Islam yang wajar diketahui oleh para pesakit, antaranya kaedah wudu' semasa sakit, kaedah solat semasa sakit.
  • Dijayakan oleh sukarelawan dari kalangan ahli-ahli IKRAM Negeri Pulau Pinang dan Hidayah Centre Pulau Pinang beserta anggota masyarakat setempat.
  • Merupakan program kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Hospital Besar Pulau Pinang
  • Program lawatan ini berlangsung selama 1 hingga 2 jam sahaja.
  • Program ini terbuka kepada segenap lapisan masyarakat yang berminat. Sila hubungi Saudari Aini 013-5100762

| BERITA | Program Kids@Al-Fahmu, IKRAM Pulau Pinang, 13 September 2015

Berita bergambar program Kids @Al-Fahmu

| BERITA | Program Halaqah Al-Hidayah, 13 September 2015

Sunday, 13 September 2015

| BERITA | Projek pembangunan Pusat Pendidikan Al-Itqan (PPAIQ) Pulau Pinang melangkah setapak lagi... penanaman cerucuk bangunan 5 tingkat pertama.


Penanaman cerucuk bangunan lima tingkat

13 September 2015, Teluk Kumbar - Alhamdulillah, sejak pelancaran semula kutipan dana pembangunan PPAIQ pada awal Jun 2015 yang lalu (klik sini untuk berita berkenaan), kerja pembinaan bangunan akademik 5 tingkat yang pertama Kompleks PPAIQ giat dilaksanakan.

Terkini, kerja-kerja penanaman cerucuk bangunan lima tingkat ini yang menelan belanja lebih kurang RM1.2 juta telah hampir ke penghujungnya. In shaa Allah, peringkat seterusnya ialah pembinaan bangunan ini yang dijangka mencecah kos sebanyak RM5 juta.

| BERITA | Program Jom Gembirakan Pesakit@Lawatan Hospital, IKRAM Seberang Perai Tengah, 12 Septembe2015


| BERITA | Daurah Al-Fahmu IKRAM Pulau Pinang mengupas sebahagian Usul 20.

 

12 September 2015 - Daurah Al-Fahmu oleh Ustaz Syazalie telah berjaya dilaksanakan pada hari ini.
 
Program setengah hari ini yang bermula pada jam 9.30 pagi sehingga 1.30 petang telah dihadiri oleh ahli-ahli IKRAM Pulau Pinang bertempat di Hidayah Centre Pulau Pinang, Sungai Nibong.

Ustaz Syazalie telah mengupas Perkara 11 hingga 20 akan Usul 20 dalam Rukun Faham Al-Imam Hasan Al-Banna bagi memberi kefahaman sebenar kesemua perkara ini kepada semua ahli IKRAM Pulau Pinang yang hadir dalam program ini.

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Ucap Takziah Kepada Jemaah Haji dan Keluarga Yang Diuji Dengan Kemalangan

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
12 September 2015 bersamaan 28 Zulkaedah 1436H

IKRAM Ucap Takziah Kepada Jemaah Haji dan Keluarga Yang Diuji Dengan Kemalangan 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merakamkan rasa sedih atas musibah yang berlaku terhadap jemaah haji dengan tumbangnya kren di Masjidil Haram. 

Mengikut laporan terkini seramai 107 orang telah terkorban manakala lebih 200 orang yang cedera termasuk sekitar 10 orang jemaah haji dari Malaysia. 

IKRAM mendoakan agar mereka yang terkorban dikurniakan pahala syahid dan roh mereka ditempatkan bersama para syuhada' dan solihin. Manakala yang cedera, didoakan mereka juga dikurniakan kesabaran, kesembuhan dan semoga redha dengan ujian daripada Allah s.w.t.

IKRAM juga mendoakan agar semua keluarga kepada jemaah haji yang terlibat juga diberi kesabaran dan redha dengan apa yang berlaku.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

| KENYATAAN MEDIA | Penglibatan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Dalam Parti Amanah Negara (AMANAH)

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
12 September 2015 bersamaan 29 Zulkaedah 1436H

Penglibatan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Dalam Parti Amanah Negara (AMANAH)

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan perlantikan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus sebagai Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) seperti yang diumumkan oleh Pengerusi AMANAH, Hj Mohammad Sabu dalam sidang media pada 31 Ogos 2015.

IKRAM menghormati keputusan Ustaz Hasanuddin untuk melepaskan jawatannya dalam IKRAM dan terlibat aktif dalam politik sepertimana yang diucapkan beliau dalam program perlancaran parti tersebut.

Sebagai Timbalan Presiden dalam IKRAM untuk penggal 2014-2018, beliau telah menunjukkan kegigihan dan kesungguhan yang amat tinggi dalam mempelopori usaha-usaha IKRAM khususnya dalam membina rangkaian hubungan dan melaksanakan program perubahan ke arah kebaikan dan kesejahteraan negara menerusi pelbagai relung amal di dalam dan juga di luar negara.

IKRAM percaya dengan latar belakang, pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau boleh berjaya dalam apa juga medan yang bakal diceburi.

IKRAM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beliau atas sumbangan yang amat besar kepada IKRAM khasnya dan masyarakat umum amnya.

Semoga beliau dapat terus menyumbang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia dalam lapangan politik kepartian yang diceburinya.

IKRAM berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan hidayah-Nya dalam setiap urusan beliau.
Selamat maju jaya.

| KENYATAAN MEDIA | Hentikan Polemik Baiah Talak Tiga: Wanita Dan Keluarga Menjadi Barang Percaturan Politik


Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
4 September 2015 bersamaan 20 Zulkaedah 1436H

Hentikan Polemik Baiah Talak Tiga: Wanita Dan Keluarga Menjadi Barang Percaturan Politik

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil memberikan pandangan terhadap isu baiah talak tiga yang sedang hangat diperkatakan. Isu ini mula diperkatakan sejak tahun 2009 ketika sebuah parti politik dikatakan mengambil baiah atau ikrar talak tiga ahli-ahlinya yang bertanding pilihan raya untuk mencegah kejadian lompat parti.

Apabila rahsia ini terbongkar, ia menjadi isu sensitif kerana tidak tergambar bagi kita semua bagaimana wanita yang seharusnya dimartabatkan dalam institusi keluarga Islam kini menjadi bahan dagangan percaturan politik.

Hati kecil kami berasa lega apabila mendapat berita bahawa sebahagian alim ulama' berpandangan bahawa baiah seperti ini tertolak dan tidak boleh diguna pakai. Namun, apa yang berlaku ialah pandangan ini pula tidak diendahkan oleh pihak yang berkenaan kerana masih ada suara yang terus-terusan mendesak agar baiah itu dilaksanakan.

Mereka seolah-olah bergembira dan menunggu-nunggu runtuhnya mahligai kasih pasangan yang pernah menjadi sahabat seperjuangan mereka itu. Di mana hilangnya kewarasan dan perasaan setia kawan dan kemanusiaan? Tidakkah difikirkan kesan negatif daripada desakan tersebut terhadap isteri, anak-anak dan keluarga sahabat terbabit?

Perkahwinan adalah sebuah insititusi suci lagi mulia dalam Islam. Ia ditegakkan di atas asas yang kukuh untuk melahirkan, membina dan memelihara individu yang akan menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat dan Negara.

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menegaskan bahawa:
1. Kami menentang sebarang tindakan yang menjadikan wanita dan insititusi keluarga sebagai barang pertaruhan dan percaturan politik atas alasan apa sekali pun. Perbuatan ini bukan sahaja merendahkan martabat wanita, malah bertentangan dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang telah meletakkan wanita dan lelaki sama kedudukannya di hadapan Pencipta 'Azza wa Jalla; suatu syariat membawa rahmah bagi sekalian alam.
2. Apa yang telah berlaku perlu dirujuk kepada pihak berwajib dan berkuasa untuk membuat keputusan melalui ketetapan dan prosiding yang sewajarnya.
3. Kami menyeru semua pihak agar menghentikan polemik isu baiah talak tiga ini dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum dengan sewenang-wenangnya.

Sebenarnya masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan wanita dan keluarga pada tahap yang sebenar-benarnya sebagaimana yang dikehendaki Islam. Ayuh kita sama-sama berganding bahu membangun dan memartabatkan wanita.

Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia