Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
4 September 2015 bersamaan 20 Zulkaedah 1436H
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
4 September 2015 bersamaan 20 Zulkaedah 1436H
Hentikan Polemik Baiah Talak Tiga: Wanita Dan Keluarga Menjadi Barang Percaturan Politik
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil memberikan pandangan
terhadap isu baiah talak tiga yang sedang hangat diperkatakan. Isu ini
mula diperkatakan sejak tahun 2009 ketika sebuah parti politik dikatakan
mengambil baiah atau ikrar talak tiga ahli-ahlinya yang bertanding
pilihan raya untuk mencegah kejadian lompat parti.
Apabila rahsia ini terbongkar, ia menjadi isu sensitif kerana tidak
tergambar bagi kita semua bagaimana wanita yang seharusnya dimartabatkan
dalam institusi keluarga Islam kini menjadi bahan dagangan percaturan
politik.
Hati kecil kami berasa lega apabila mendapat berita bahawa sebahagian
alim ulama' berpandangan bahawa baiah seperti ini tertolak dan tidak
boleh diguna pakai. Namun, apa yang berlaku ialah pandangan ini pula
tidak diendahkan oleh pihak yang berkenaan kerana masih ada suara yang
terus-terusan mendesak agar baiah itu dilaksanakan.
Mereka seolah-olah bergembira dan menunggu-nunggu runtuhnya mahligai
kasih pasangan yang pernah menjadi sahabat seperjuangan mereka itu. Di
mana hilangnya kewarasan dan perasaan setia kawan dan kemanusiaan?
Tidakkah difikirkan kesan negatif daripada desakan tersebut terhadap
isteri, anak-anak dan keluarga sahabat terbabit?
Perkahwinan adalah sebuah insititusi suci lagi mulia dalam Islam. Ia
ditegakkan di atas asas yang kukuh untuk melahirkan, membina dan
memelihara individu yang akan menjadi batu-bata dalam pembinaan
masyarakat dan Negara.
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menegaskan bahawa:
1. Kami menentang sebarang tindakan yang menjadikan wanita dan
insititusi keluarga sebagai barang pertaruhan dan percaturan politik
atas alasan apa sekali pun. Perbuatan ini bukan sahaja merendahkan
martabat wanita, malah bertentangan dengan syariat yang dibawa oleh
Rasulullah SAW yang telah meletakkan wanita dan lelaki sama kedudukannya
di hadapan Pencipta 'Azza wa Jalla; suatu syariat membawa rahmah bagi
sekalian alam.
2. Apa yang telah berlaku perlu dirujuk kepada pihak berwajib dan
berkuasa untuk membuat keputusan melalui ketetapan dan prosiding yang
sewajarnya.
3. Kami menyeru semua pihak agar menghentikan polemik isu baiah talak
tiga ini dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum
dengan sewenang-wenangnya.
Sebenarnya masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk
memartabatkan wanita dan keluarga pada tahap yang sebenar-benarnya
sebagaimana yang dikehendaki Islam. Ayuh kita sama-sama berganding bahu
membangun dan memartabatkan wanita.
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:
Post a Comment