22 September 2015, AMPANG - Majlis Perundingan Pertubuhan
Islam Malaysia (MAPIM) bersama 30 NGO termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia
(IKRAM), Al-Quds Foundation Malaysia (QFM), Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan
Malaysia (HALUAN) dan NGO-NGO lain menegaskan supaya dihentikan
pengyahudian Israel di Masjid al-Aqsa.
“Ini berikutan Masjid al-Aqsa telah mengalami serangan dan penafian
hak oleh Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” demikian ujar
Presiden MAPIM, Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid mewakili NGO-NGO dalam
sidang media “Selamatkan Al-Quds” di Hotel De Palma di sini hari ini. Menurutnya tindakan ini melanggar hak eksklusif Muslim ke atas masjid tersebut.
“Mereka juga mengambil bahagian tertentu Masjid al-Aqsa untuk menjadi rumah ibadat.”
Sejak 24 Ogos 2015, Israel telah membahagikan masa antara orang Islam
dan Yahudi di Masjid al-Aqsa di mana pintu-pintu ditutup pada setiap
hari daripada 7.30 pagi hingga 11.30 pagi.
“Kanak-kanak, wanita dan pelajar tidak lagi dibenarkan untuk memasuki
Masjid al-Aqsa pada waktu tersebut manakala Yahudi Radikal dibenarkan
untuk menyerbu ke dalam Masjid di bawah perlindungan tentera penceroboh
Israel.”
Dalam pada itu, memandangkan kejadian dan keangkuhan Israel yang
berterusan ini jelasnya, organisasi, pertubuhan dan pelbagai gerakan di
Malaysia telah bertemu hari ini di sini bagi memperhebatkan kempen
Selamatkan Al-Quds dengan bertemakan #WillNotBeDivided atau “Tidak Akan
Terbahagi”.
“Kami mengutuk tindakan Zionis terhadap Masjid al-Aqsa dan mendesak
mereka untuk menghentikan serta mereta segala bentuk serangan di al-Aqsa
yang dilakukan berterusan oleh Zionis,” tegas Haji Azmi.
Sidang media tersebut turut menuntut supaya ditamatkan pencerobohan Zionis ke atas al-Aqsa sebagai langkah paling utama jika krisis di rantau itu mahu diselesaikan.
“Justeru kami menyeru kerajaan Malaysia mengambil kira kedudukannya
dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan
Kerjasama (OIC) dan sebagai sebuah negara Islam untuk memainkan peranan
menghentikan Israel meneruskan rancangan membahagikan Masjid al-Aqsa.”
Beliau turut menyeru kerajaan Jordan menegakkan kedaulatannya dalam
memikul tanggungjawab melindungi al-Aqsa, memandangkan ia negara itu
telah diberi mandat sebagai penjaga al-Aqsa yang diiktiraf Israel.
“Kami amat menghargai peranan besar yang dimainkan oleh
saudara-saudara kami, murabitin dan murabitat yang berusaha melindungi
Masjid al-Aqsa dari pendudukan Zionis.”
Selain itu, beliau turut mengumumkan sokongan penuh untuk mewujudkan Tabung Baitul Maqdis.
“Kami menyeru rakyat Malaysia untuk menderma bagi dana ini atas nama
Al-Quds Foundation Malaysia (CIMB Bank), nombor akaun 8600499329.”
Atas kesepakatan bersama, 30 NGO yang hadir turut mengumumkan bahawa
tarikh 2 Oktober ini sebagai Hari Kemarahan dan beliau menyeru rakyat
Malaysia untuk mengambil bahagian dalam menyokong bantahan serangan di
al-Aqsa dan al-Quds selepas solat Jumaat.
Dalam mesyuarat tergempar dan sidang media tersebut, IKRAM
diwakili oleh Setiausaha Kerja Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa
(JKPA), Noorsyazly Rameli. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif
Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Tuan Haji Ibrahim Mohamad.
Foto mesyuarat dan sidang media: http://on.fb.me/1Wfrluc

No comments:
Post a Comment