Thursday, 24 September 2015

| BICARA YDP | Perutusan YDP IKRAM Pulau Pinang bersempena Hari Raya Eidul Adha 2015 (1436H)


Ir JAMALUDDIN BIN ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang 
  24 September 2015

Sempena Hari Raya Eidul Adha 2015 (1436H)

Segala puji-pujian kepada Allah rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, para sahabat dan pejuang-pejuang kebenaran hingga ke akhir zaman.

Ibadah qurban adalah salah satu ibadah sunnah Nabi Muhammad saw semasa umat Islam merayakan Hari Raya Aidil Adha, yang merupakan ‘millat nabi Ibrahim'. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan ibadah qurban antaranya,

"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya qurban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih qurban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang qurban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berqurban itu". (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.) 

Saban tahun, kita menyahut tuntutan sunat muakkad ini dengan menyertai ibadah qurban di samping kita mengambil iktibar dari kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. untuk menjadi insan mulia yang berjaya dunia dan akhirat.

Namun, persoalan timbul mengapa umat Islam yang berqurban saban tahun dan berkorban sepanjang masa, tetapi Islam tetap berada di tahap kehinaan dan masih tidak menang melawan musuh-musuhnya? Adakah kerana kita tidak menolong agama Allah, maka Allah tidak menolong kita? Atau mungkin kita jadikan agama sebagai adat dan acara rasmi bukan perjuangan.

Allah swt berfirman,
"Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentu mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanya bersenda-gurau dan bermain-main saja". Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya, kamu selalu berolok-olok?". [At Taubah:65].

Mengambil iktibar dari maksud ayat di atas, Allah belum redho sebab kita tidak mengangkat perjuangan dengan bersungguh-sungguh. Pagi kita taat, petang kita maksiat. Sedangkan perjuangan Rasulullah dan sahabat baginda ada matlamat besar membangunkan umat. Tetapi, umat Islam kini lebih berminat untuk membina kedudukan, mengejar harta benda dan kesenangan.
 
Lebih menyedihkan lagi, pendokong dan pendakwah Islam turut ‘terkorban' apabila mereka hilang keutamaan, sibuk dengan isu fiqh cabang yang menyempitkan dan alpa dengan tugas utama sebagai pewaris para nabi. Kita perlu mengorbankan ego untuk menjadi pendakwah bukan penghukum. Masa, tenaga dan fikiran kita diperlukan untuk membangunkan jati diri umat ketika mereka kehilangan punca. Harta kita perlu dikorbankan untuk mencari penyelesaian ekonomi ketika rakyat dibelenggu kesulitan hidup. Tenaga kita perlu dikorbankan bagi merungkai masalah sosial dan memperkasakan pendidikan.

Pendokong Islam harus berlaku jujur, berjiwa besar dan mempunyai matlamat membebaskan umat dari kesempitan dunia dan hawa nafsu kepada keluasan pengabdian mutlak kepada Pencipta Alam ini. Barulah umat Islam akan menang.
 
Marilah kita sama-sama mengorbankan apa saja kepentingan diri bagi merealisasikan impian umat untuk melihat obor Islam dalam masyarakat sebagai Rahmat Kepada Sekalian Alam.

Akhir kalam, renungilah firman Allah swt,

“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali-Imran: 92)
 
Semoga ibadah qurban tahun ini menjadi lebih bermakna kepada perjuangan kita.
 
Sekian, wassalamu’alaikum wbkth.
 
Ir Jamaluddin Abdullah
Yang Dipertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment