Perutusan Eidil Adha
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
9 Zulhijjah 1436H/ 23 September 2015
HARI ARAFAH: BUKTI KESAMARATAAN MANUSIA
Hari ini Jemaah Haji Malaysia akan bersama dengan umat Islam dari serata dunia berhimpun dalam satu perhimpunan terbesar sedunia bersempena dengan ibadah wukuf di Padang Arafah.
Wukuf di Arafah disyariatkan Allah sebagai manasik terpenting ibadah haji; tanpa wukuf ibadah haji menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai ibadah haji beliau bersabda: Haji itu adalah Arafah.
Perhimpunan tahunan ini menyaksikan para jemaah yang mengerjakan haji tidak kira apa bangsa , bahasa dan warna kulit, berpakaian ihram serba putih, berwukuf dan berhenti sejenak di Padang Arafah. Semua mereka adalah hamba di hadapan Yang Maha Pencipta ; tiada yang lebih mulia melainkan ditentukan oleh darjah ketakwaannya kepada Allah. Peristiwa ini memberi satu isyarat penting yang diulang-ulang saban tahun bahawa kita semua hakikatnya adalah sama di sisi Allah. Tiada satu kaum atau bangsa yang layak mendabik dada mengatakan merekalah yang lebih mulia.
Akhir-akhir ini kita melihat dan merasakan bahawa api perkauman kembali ditiupkan ke dalam masyarakat oleh sesetengah pihak untuk tujuan tertentu. Wanita IKRAM prihatin dan merasa gusar akan bahaya sentimen perkauman ini dibesar-besarkan terutama apabila ianya disasarkan ke peringkat anak-anak di bangku persekolahan. Cukuplah bagi kita akan pesanan Rasulullah SAW apabila baginda berkhutbah di Padang Arafah lebih dari 14 abad yang lalu dalam peristiwa Haji Wada’ yang antara kandungannya menyebutkan,
“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.“
Ibadah wukuf di Arafah jua mengingatkan kita agar sentiasa dalam keadaan bersedia menunggu-nunggu saat akan kembali kehadapan Allah, dengan bersungguh-sungguh menjalankan peranan kita sebagai hamba dan khalifahNya . Untuk kembali sebagai hamba yang di redhaiNya , kita mestilah bersedia untuk membuang segala sifat keangkuhan dan kesombongan dalam diri. Barulah kita layak menjadi Khalifah yang boleh memakmur dan menguruskan bumi Allah ini dengan adil lagi benar. Hakikatnya terlalu banyak persamaan antara kita sesama makhluk supaya kita bersatupadu berbanding perbezaan yang berupaya memecahbelah dan memporakperandakan.
Justeru Wanita IKRAM menyeru kaum wanita dan seluruh rakyat Malaysia agar mengambil kesempatan 9 Zulhijjah 1436H ini untuk menonjolkan nilai-nilai kebaikan, kebenaran, keadilan dan kemesraan di kalangan anak-anak, ahli keluarga dan anggota masyarakat kita. Marilah kita tolak budaya cela mencela, kata mengata , rendah merendahkan mahupun cemuh mencemuh antara sesama kita. Amalan sentiasa menghias diri kita dengan akhlak mulia, bersopan santun dan berbudi pekerti mulia dalam semua keadaan termasuklah ketika berinteraksi di laman sosial, kerana setiap perkataan dan perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan kelak dihadapanNya.
Semoga kita menjadi umat yang bersatu di atas kebenaran dan keadilan dan berjaya membawa rahmat dan kebaikan Islam dibumi Malaysia dan untuk seluruh warganya.
Allahu Akbar wa lillahi al-Hamd.
DATIN PADUKA HAJAH CHE ASMAH IBRAHIM
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:
Post a Comment