Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Friday, 17 November 2017

| KENYATAAN MEDIA | Hentikan Diskriminasi, Berikan Hak Wanita Islam untuk Bertudung, 17 November 2017

Kenyataan Media

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Hentikan Diskriminasi, Berikan Hak Wanita Islam untuk Bertudung
17 November 2017/ 28 Safar 1439H

Larangan bertudung ke atas pekerja dan pelatih perkhidmatan pelanggan di hotel tertentu sebagaimana didedahkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini bukanlah perkara baharu melibatkan diskriminasi terhadap pekerja wanita.

Wanita IKRAM menzahirkan rasa kesal atas perkembangan terbaru ini kerana walaupun sudah 60 tahun merdeka, dalam sebuah negara yang pemimpin nombor satu dan majoriti rakyatnya beragama Islam, perlembagaannya meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun wanita Islam masih tertindas dan dinafikan hak asasi untuk mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuk berpakaian sesuai dengan tuntutan agama mereka. Bagi wanita Muslim, bertudung bukan sekadar fesyen tetapi satu kewajipan yang dituntut agama.

Situasi ini jelas menunjukkan kegagalan pihak kerajaan yang telah memerintah sejak merdeka membela hak asasi umat Islam walaupun telah termaktub dalam Fasal 8 Perlembagaan Malaysia, jaminan setiap warga mendapat hak mereka dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi. 

Pihak berkuasa gagal memastikan supaya syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia termasuk syarikat antarabangsa dilesenkan dengan sah dan menghormati budaya dan agama masyarakat setempat dimana mereka beroperasi. 

Kebebasan berpakaian mengikut tuntutan agama adalah hak asasi wanita Islam sebagai warganegara Malaysia tanpa mengambil, melibatkan mahupun menjejaskan hak kaum dan agama lain.

Dengan ini Wanita IKRAM menyeru dan mendesak agar:
1. Pihak kerajaan bertindak tegas bagi memastikan majikan dan syarikat yang beroperasi di Malaysia menghormati sensitiviti agama dan keperluan pekerja mengikut adat dan norma yang dianuti pekerjanya. 
 
Syarikat-syarikat tersebut perlu dipastikan beroperasi mengikut SOP negara ini yang tidak bercanggah dengan tuntutan agama dan budaya masyarakat Malaysia dan bukan SOP antarabangsa semata-mata.

2. Pihak kerajaan melalui agensinya hendaklah bertindak tegas terhadap mana-mana majikan yang mengenakan polisi yang mendiskriminasikan rakyat Malaysia seperti menghalang wanita Islam melaksanakan tuntutan agama mereka dari sudut berpakaian dan pekerja lelaki daripada melakukan solat Jumaat umpamanya.

3. Semua pihak diseru agar berhenti mempolemikkan isu ini. Sebaliknya usaha harus ditumpukan untuk memperkemaskan polisi dan pelaksanaan dalam membela hak semua pekerja khususnya wanita dengan menghentikan sebarang bentuk diskriminasi. 

Semoga dengan ini, kita benar-benar dapat membina Malaysia sebagai sebuah negara rahmah lagi sejahtera untuk semua.

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Monday, 5 September 2016

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Kecam Pembunuhan Pemimpin Jamaat-e-Islami Bangladesh


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
5 September 2016 bersamaan 3 Zulhijjah 1437H


IKRAM KECAM PEMBUNUHAN PEMIMPIN JAMAAT-E-ISLAMI BANGLADESH

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengutuk sekeras-kerasnya hukuman gantung oleh kerajaan Bangladesh ke atas pemimpin Jamaat-e-Islami Bangladesh, Mir Quasem Ali, 63.

Beliau telah dijatuhkan hukuman mati pada 2 November 2014 atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang kononnya dilakukan semasa Perang Kemerdekaan Bangladesh pada tahun 1971.

Kesemua tuduhan telah dinafikan oleh keluarga beliau malah mereka telah mengaitkan tuduhan tersebut dengan politik. Beliau telah digantung pada Sabtu petang, 3 September 2016 di sebuah penjara yang dikawal rapi di luar Dhaka.

Mir Quasem Ali adalah merupakan seorang hartawan Bangladesh. Beliau merupakan bekas pengarah Islami Bank Bangladesh dan Pengerusi Diganta Media Corporation, yang memiliki Diganta TV. Beliau juga pengasas Yayasan Ibn Sina dan salah seorang pengasas NGO Rabita al-Alam al Islami.

Mir Quasem Ali juga telah menubuhkan 15 buah hospital, 10 buah sekolah dan membantu membina beberapa pusat anak-anak yatim, rumah perlindungan wanita, pusat perubatan percuma serta masjid.

IKRAM juga turut mendoakan agar agar Allah SWT memberikan keselamatan kepada semua pendakwah di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

[English Version]
IKRAM DENOUNCES THE DEATH SENTENCE OF A LEADER OF JAMAAT-E-ISLAMI

IKRAM condemns the death sentence carried out by the government of Bangladesh on the leader of the Bangladeshi Jamaat-e-Islami, Mir Quasem Ali, 63.

He was sentenced to death on 2nd November 2014 for alleged crimes against humanity committed during the Liberation War of Bangladesh in 1971.

All charges were denied by his family, stating they were politically motivated. He was hanged at a high-security prison outside Dhaka on Saturday evening, 3rd September 2016.

Mir Quasem Ali, was a Bangladeshi tycoon, the former director of Islami Bank Bangladesh and chairman of the Diganta Media Corporation, which owns Diganta TV. He founded the Ibn Sina Trust and was a key figure in the establishment of NGO Rabita al-Alam al Islami.

Mir Quasem Ali was also the founder of more than 15 hospitals, 10 schools and helped build many orphanages, women shelter and rehabilitation centres, free medical centers and mosques.

IKRAM also prays for the safety of all callers of truth throughout the entire world in their endeavours to uphold justice wherever they are.

Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad

Saturday, 27 August 2016

| KENYATAAN MEDIA | Percambahan Pusat Tahfiz Sesuatu Yang Dialu-alukan Tetapi Perlu Dikawal Selia


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
27 Ogos 2016 bersamaan 24 Zulkaedah 1437H

PERCAMBAHAN PUSAT TAHFIZ SESUATU YANG DIALU-ALUKAN TETAPI PERLU DIKAWAL SELIA

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius beberapa insiden yang dilaporkan yang melibatkan pusat tahfiz baru-baru ini. Ini termasuk kes guru yang dilaporkan membelasah pelajar di Sungai Petani, kebakaran madrasah tahfiz di Sabak Bernam dan Tawau serta isu mutakhir yang melibatkan dakwaan penderaan seksual terhadap pelajar di sebuah pusat tahfiz di Ipoh.

IKRAM berpandangan penubuhan pusat-pusat tahfiz di serata pelosok negara mencerminkan satu trend yang baik dari segi kesedaran ibu-bapa tentang peri pentingnya didikan agama. Permintaan dan harapan yang tinggi ini mendorong ramai pengusaha untuk menyediakan pusat-pusat tahfiz.

Walau bagaimana pun, IKRAM prihatin dengan kualiti dan standard yang disediakan oleh pusat-pusat tahfiz berkenaan.  Ini termasuk falsafah pendidikan yang dijadikan panduan, kelayakan kepimpinan dan pendidik, kurikulum dan kokurikulum, sistem pengurusan dan pentadbiran, standard prasarana dan infrastruktur, kaedah pengajaran dan pembelajaran, ciri keselamatan asrama dan seumpamanya.

IKRAM menggesa pihak kerajaan menyediakan satu sistem kawal selia dan jaminan kualiti untuk meningkatkan kualiti dan standard dalam bidang-bidang berkenaan. Satu garis panduan perlu digubal bagi mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku.

IKRAM bersedia berkongsi pengalaman dalam mengendalikan lebih 40 buah sekolah rendah dan menengah Islam serta maahad tahfiz di seluruh negara.

Prof. Dr. Omar bin Yaakob

Monday, 8 August 2016

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Mengalu-alukan Akaun Simpanan Syariah KWSP


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
8 Ogos 2016 bersamaan 5 Zulkaedah 1437H

IKRAM Mengalu-alukan Akaun Simpanan Syariah KWSP

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas pengumumannya untuk menyediakan pilihan simpanan persaraan baharu berteraskan Syariah yang akan bermula pada awal 2017 dan dibuka pendaftarannya untuk ahli KWSP pada hari ini.

IKRAM amat mengalu-alukan langkah ini dan percaya umat Islam telah lama menantikan pengumuman sebegini.

IKRAM mengucapkan syabas kepada orang ramai yang telah berpusu-pusu beratur sejak awal pagi di hadapan pejabat-pejabat KWSP. Ini menunjukkan kesungguhan masyarakat untuk memastikan simpanan mereka diuruskan secara halal.

Ini juga berkemungkinan disebabkan mereka tidak mahu terlepas peluang kerana jumlah simpanan Syariah yang ditawarkan kali ini hanya berjumlah RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP yang bernilai RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu.

Sehubungan dengan itu, IKRAM menyeru pihak KWSP agar berusaha untuk memenuhi semua permintaan umat Islam ini dengan menyediakan dana patuh Syariah yang lebih besar seberapa segera.

IKRAM juga mencadangkan KWSP untuk menambah baik lagi sistem pendaftaran dan menjadikannya lebih mesra pengguna seperti membenarkan pendaftaran melalui sistem atas talian (online), melalui telefon pintar atau melalui majikan masing-masing.

IKRAM menggalakkan semua ahli KWSP Muslim dan seluruh ahli IKRAM khususnya untuk segera mendaftarkan pertukaran kepada akaun Simpanan Syariah agar harta mereka diuruskan dengan cara yang halal dan diredhai Allah SWT.

Allah SWT menyebutkan dalam al-Quran yang bermaksud:
"Wahai manusia makanlah apa dalam dunia ini daripada yang halal lagi baik, dan janganlah ikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia bagimu adalah musuh yang nyata." (al-Baqarah 2:16)

IKRAM juga menyeru pihak kerajaan untuk memastikan semua dana milik negara dan masyarakat diuruskan secara patuh Syariah sepenuhnya.

"Rezeki yang halal membawa keberkatan dan kemakmuran."

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Ustaz Hj Burhanuddin Lukman
Naib Presiden
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ulama
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Friday, 22 July 2016

| KENYATAAN MEDIA | 1MDB: Angkat Status Rahsia Laporan Audit dan Adakan Sidang Tergempar Parlimen


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
22 Julai 2016 bersamaan 17 Syawal 1437H

1MDB: Angkat Status Rahsia Laporan Audit dan Adakan Sidang Tergempar Parlimen

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) amat bimbang dengan perkembangan terkini kes 1MDB di mana pihak berkuasa Amerika Syarikat telah mengumumkan akan menyita sejumlah harta bernilai USD1 bilion yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.

Meskipun ada yang melihat ini sebagai cubaan campur tangan pihak luar dalam urusan negara, IKRAM melihat ini adalah lantaran kegagalan pihak kerajaan mengurus institusi ini dengan baik dan bijaksana.

1MDB yang telah disekat siasatannya dan cuba disorokkan, kini ternyata telah membengkak, bernanah dan kini semakin membusung.

IKRAM mendesak agar diangkat segera status Rahsia Laporan Audit dan diadakan Sidang Tergempar Parlimen bagi membincangkan isu 1MDB bagi mencari jalan penyelesaian terbaik yang menguntungkan rakyat dan negara.

Wahai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Yang Dipertua Dewan Rakyat serta semua Ahli Parlimen, jadilah negarawan yang berjiwa besar.

Letaklah kepentingan negara dan rakyat melebihi segala kepentingan politik dan peribadi.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia



Saturday, 16 July 2016

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Kutuk Percubaan Rampasan Kuasa Ke Atas Kerajaan Yang Dipilih Secara Demokratik Di Turki


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
16 Julai 2016 bersamaan 11 Syawal 1437H
 
IKRAM KUTUK PERCUBAAN RAMPASAN KUASA KE ATAS KERAJAAN YANG DIPILIH SECARA DEMOKRATIK DI TURKI

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengutuk sekeras-kerasnya percubaan rampasan kuasa ke atas kerajaan yang dipilih secara demokratik di Turki.

IKRAM menzahirkan solidariti bersama rakyat Turki dan berharap situasi di Turki kembali tenang dan sebarang pertumpahan darah seterusnya dapat dielakkan.

IKRAM menegaskan lagi sokongannya terhadap sistem demokrasi dan menolak sebarang percubaan untuk menggugat demokrasi di mana-mana negara sekalipun.

IKRAM menyeru semua pihak untuk menyelesaikan isu-isu politik melalui saluran perlembagaan dan demokrasi, dan menolak sebarang cara keganasan dan pertumpahan darah.

Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


[ENGLISH]
IKRAM CONDEMNS THE ATTEMPTED COUP D'ETAT AGAINST THE DEMOCRATICALLY ELECTED GOVERNMENT IN TURKEY

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) condemns unreservedly the coup attempt in Turkey against the popular democratically elected government.

IKRAM expresses our solidarity with the people of Turkey and wishes that the situation in Turkey will return to normal and any further bloodshed be averted.

IKRAM affirms its support for the democratic system and denounces any attempt to subvert democracy in any country.

IKRAM calls on all sides to solve political issues through constitutional and democratic means, and reject violence and bloodshed.

Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad
President
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Sumber foto: The Guardian

Thursday, 4 February 2016

| KENYATAAN MEDIA & PERUTUSAN TAKZIAH | IKRAM Ucap Takziah Kematian Duta Malaysia Ke Switzerland

Kenyataan Media & Perutusan Takziah
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

4 Februari 2016 bersamaan 25 Rabiul Akhir 1437H

IKRAM Ucap Takziah Kematian Duta Malaysia Ke Switzerland

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa sedih atas pemergian Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor, yang meninggal dunia di Switzerland pada 3 Februari 2016.

IKRAM juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau dan seluruh ahli IKRAM bersama mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian getir ini.

"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Ali Imran: 156)


Haji Kamarul Zaman Shaharul Anwar
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tuesday, 19 January 2016

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Kutuk Serangan Berganda Pengganas

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
18 Januari 2016 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1437H

IKRAM KUTUK SERANGAN BERGANDA PENGGANAS

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyertai solidariti rakyat seluruh dunia mengutuk ‘serangan pengganas yang tidak berperikemanusiaan’ di tiga negara iaitu Turki, Indonesia dan Burkina Faso antara tarikh 12 hingga 15 Januari 2016 lalu yang mengorbankan hampir 50 nyawa dan mencederakan lebih daripada 70 orang.

IKRAM mengutuk perbuatan ini dan berharap bahawa individu-individu atau kumpulan bertanggungjawab bagi perbuatan yang dahsyat ini dibawa ke muka pengadilan. Tindakan keganasan sebegini menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati nilai kehidupan manusia.

IKRAM menyeru rakyat Malaysia pelbagai etnik dan lapisan masyarakat untuk menunjukkan sokongan dan merakamkan simpati dan takziah kepada semua mangsa dan keluarga mereka.

Sesungguhnya, Islam amat menitikberatkan dan memupuk kasih sayang sesama manusia dan melarang sebarang bentuk kekerasan, keganasan dan penindasan yang jelas menyimpang dari ajaran Tuhan.

Justeru, marilah kita sama-sama berdoa untuk kesejahteraan dunia keseluruhannya dan dikekalkan kehidupan yang aman dan harmoni.

Haji Kamarul Zaman Bin Shaharul Anwar
Pengerusi,
Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

(ENGLISH VERSION)

Media Statement
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
18th January 2016

IKRAM CONDEMNS THE MULTIPLE TERRORIST ATTACKS

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) joined the solidarity of the whole world, condemns the ‘inhuman terrorist attacks’ in three countries such as Turkey, Indonesia and Burkina Faso that happened between 12th to 15th January 2016 and killed nearly 50 people and hurt more than 70.

IKRAM condemn this act and hope that individuals or groups responsible for these terrible acts, be brought to justice. Such terrorist acts show that they do not respect the value of human life.

IKRAM called on Malaysians of various ethnic groups and walks of life to show their support and deepest sympathies and condolences to the all the victims and family members.

Indeed, Islam emphasizes and fosters human affection and prohibits any form of violence, terror and repression that clearly deviated from the teachings of God.

Therefore, let us pray for the welfare of the whole world and maintained a life of peace and harmony.

Haji Kamarul Zaman Bin Shaharul Anwar
Chairman
International Relations Committee
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Monday, 18 January 2016

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM alu-alukan Penubuhan Jawatankuasa Khas Kajian Novel Pantai Kasih



Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
18 Januari 2016 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1437H 
IKRAM ALU-ALUKAN PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS KAJIAN NOVEL PANTAI KASIH

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)  menyambut baik  langkah  Kementerian Pendidikan Malaysia menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan  unsur-unsur negatif yang terdapat di dalam novel Pantai Kasih yang digunakan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) dalam subjek Bahasa Melayu untuk pelajar Tingkatan Empat di beberapa negeri.

IKRAM turut merakamkan kebimbangan terhadap penggunaan novel ini. Walaupun ia membawa nilai kebaikan dari sudut kecekalan watak utama serta bertujuan memasukkan unsur kemahiran berfikir aras tinggi, novel yang telah disunting dan diedarkan di sekolah-sekolah tetap mempunyai unsur-unsur tidak sihat, seperti budaya dan gaya hidup petugas hospital yang  tidak realistik serta penceritaan nafsu seksual yang keterlaluan. Perkara-perkara ini  tidak sesuai sebagai bahan pendidikan untuk remaja dalam kalangan umur Tingkatan Empat.  Kebanyakan guru tidak selesa menggunakan bahan berkenaan di dalam kelas.

IKRAM juga melahirkan kekesalan terhadap proses cadangan, penilaian dan pengesahan sesebuah buku teks yang tidak kelihatan efektif untuk  mengesan dan menapis unsur-unsur negatif di dalam buku ini dari awal lagi.  Pihak panel penilai perlu melihat kembali proses ini dan memperbaikinya agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

Dengan ini IKRAM juga mendesak pihak-pihak bertanggung jawab dalam urusan ini agar  meletakkan kriteria pembangunan nilai, jati diri, akhlak dan adab dalam pemilihan bahan-bahan pendidikan. Buku teks dan bahan pendidikan haruslah mampu memupuk nilai-nilai mulia, keperibadian terpuji dan cara hidup yang sihat dan sejahtera seperti mana yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w., para sahabah dan orang-orang soleh.

Generasi ini merupakan generasi yang terdedah kepada pelbagai cabaran yang membawa kepada hedonisme dan merosakkan nilai serta jati diri. Justeru, bahan pendidikan formal harus mampu membantu para pelajar menghadapi  cabaran ini, agar mereka terbentuk menjadi peribadi-peribadi yang bersedia meneruskan pembangunan masyarakat dan negara.

Sehubungan itu,  novel ‘Pantai Kasih’ dan bahan sepertinya perlu ditarik balik dari teks sekolah dan diganti dengan bahan lain yang lebih sejahtera

Prof Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Wednesday, 14 October 2015

| KENYATAAN MEDIA | Muharram: Bulan Perubahan Diri dan Meningkatkan Tekad Perjuangan


Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
 
 1 Muharram 1437H bersamaan 14 Oktober 2015




Muharram: Bulan Perubahan Diri dan Meningkatkan Tekad Perjuangan



Hari ini 1 Muharram kita sama-sama melangkah ke tahun 1437 Hijrah. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua rakyat Malaysia. Semoga kita diberi taufik dan kekuatan untuk terus memperbaiki diri dan masyarakat agar Malaysia dirasai sebagai sebuah Negara Rahmah untuk semua warganya.

Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah setapak. Kecemerlangan dan kegemilangan diri, masyarakat dan negara kita bermula dengan langkah permulaan yang tampak kecil, namun besar impaknya. Langkah permulaan itu, tidak lain dan tidak bukan, adalah hijrahnya diri kita ke arah yang lebih baik: baik akhlaknya, santun dalam bicaranya, ihsan kepada sesama manusia, itqan (profesional) dalam muamalah atau pekerjaannya.

Seperti mana seikat lidi menjadi utuh dan bermanfaat daripada sebatangnya sendiri, bayangkan bagaimana hebatnya, aman damai dan bahagianya kita rakyat Malaysia sekiranya setiap daripada kita, 30 juta rakyat Malaysia, berakhlak mulia dan hidup atas prinsip-prinsip kebenaran, keadilan, dan penuh muhibbah.

Masyarakat sebeginilah yang mampu mendokong dan menegakkan Malaysia yang maju, Malaysia yang harmoni, Malaysia yang rahmah.

Jika kita susuri satu per satu sirah Nabi Muhammad saw, terdapat banyak kisah perjuangan nabi dan sahabat dalam mendaulatkan Islam di atas muka bumi.

Sunday, 11 October 2015

| KENYATAAN MEDIA | Selamat Menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
11 Oktober 2015 bersamaan 27 Zulhijjah 1436H

SELAMAT MENYAMBUT HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA

Menyokong Usaha Mencegah, Mengurangkan Risiko dan Merawat Penyakit Mental Secara Holistik

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia (10 Oktober 2015). Sambutan ini adalah satu usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan kesihatan insan merangkumi kesihatan fizikal, kesihatan mental dan kesihatan spiritual.

Di peringkat organisasi, IKRAM telah memastikan program-program tarbiahnya seimbang antara tarbiah berbentuk fizikal (jasadi), mental ('aqli) dan spiritual (ruhi). Program-program tarbiah IKRAM adalah berdasarkan objective dan outcome-based education (tarbiah bi al-ahdaf wa al-nata’ij) merangkumi objektif psikomotor (mahari), kognitif (ma'rifi) dan afektif (syu'uri) untuk mencapai kesejahteraan dan kesihatan yang seimbang antara ketiga-tiga aspek ini. IKRAM melibatkan pakar-pakar jiwa seperti pakar psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor dalam usaha membangunkan sumber tarbiah dan dakwahnya.

Wednesday, 23 September 2015

| KENYATAAN MEDIA | PAKATAN HARAPAN PERKUKUH SISTEM DWIPARTI

 Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
 23 September 2015 bersamaan 9 Zulhijjah 1436H

PAKATAN HARAPAN PERKUKUH SISTEM DWIPARTI
  
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengalu-alukan penubuhan Pakatan Harapan pada 22 September 2015, yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

IKRAM percaya Pakatan Harapan akan dapat mengukuhkan sistem dwiparti di Malaysia yang telah terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen melalui proses semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.

Penubuhan Pakatan Harapan ini diharapkan akan memberikan tekanan kepada Barisan Nasional supaya terus memperbaiki kelemahan yang ada, seterusnya sama-sama bersaing untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap rakyat dan negara.

Semoga proses ini dapat membantu negara untuk keluar daripada kemelut ekonomi, politik dan sosial yang dihadapi pada masa ini.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sunday, 13 September 2015

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Ucap Takziah Kepada Jemaah Haji dan Keluarga Yang Diuji Dengan Kemalangan

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
12 September 2015 bersamaan 28 Zulkaedah 1436H

IKRAM Ucap Takziah Kepada Jemaah Haji dan Keluarga Yang Diuji Dengan Kemalangan 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merakamkan rasa sedih atas musibah yang berlaku terhadap jemaah haji dengan tumbangnya kren di Masjidil Haram. 

Mengikut laporan terkini seramai 107 orang telah terkorban manakala lebih 200 orang yang cedera termasuk sekitar 10 orang jemaah haji dari Malaysia. 

IKRAM mendoakan agar mereka yang terkorban dikurniakan pahala syahid dan roh mereka ditempatkan bersama para syuhada' dan solihin. Manakala yang cedera, didoakan mereka juga dikurniakan kesabaran, kesembuhan dan semoga redha dengan ujian daripada Allah s.w.t.

IKRAM juga mendoakan agar semua keluarga kepada jemaah haji yang terlibat juga diberi kesabaran dan redha dengan apa yang berlaku.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

| KENYATAAN MEDIA | Penglibatan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Dalam Parti Amanah Negara (AMANAH)

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
12 September 2015 bersamaan 29 Zulkaedah 1436H

Penglibatan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Dalam Parti Amanah Negara (AMANAH)

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan perlantikan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus sebagai Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) seperti yang diumumkan oleh Pengerusi AMANAH, Hj Mohammad Sabu dalam sidang media pada 31 Ogos 2015.

IKRAM menghormati keputusan Ustaz Hasanuddin untuk melepaskan jawatannya dalam IKRAM dan terlibat aktif dalam politik sepertimana yang diucapkan beliau dalam program perlancaran parti tersebut.

Sebagai Timbalan Presiden dalam IKRAM untuk penggal 2014-2018, beliau telah menunjukkan kegigihan dan kesungguhan yang amat tinggi dalam mempelopori usaha-usaha IKRAM khususnya dalam membina rangkaian hubungan dan melaksanakan program perubahan ke arah kebaikan dan kesejahteraan negara menerusi pelbagai relung amal di dalam dan juga di luar negara.

IKRAM percaya dengan latar belakang, pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau boleh berjaya dalam apa juga medan yang bakal diceburi.

IKRAM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beliau atas sumbangan yang amat besar kepada IKRAM khasnya dan masyarakat umum amnya.

Semoga beliau dapat terus menyumbang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia dalam lapangan politik kepartian yang diceburinya.

IKRAM berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan hidayah-Nya dalam setiap urusan beliau.
Selamat maju jaya.

| KENYATAAN MEDIA | Hentikan Polemik Baiah Talak Tiga: Wanita Dan Keluarga Menjadi Barang Percaturan Politik


Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
4 September 2015 bersamaan 20 Zulkaedah 1436H

Hentikan Polemik Baiah Talak Tiga: Wanita Dan Keluarga Menjadi Barang Percaturan Politik

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil memberikan pandangan terhadap isu baiah talak tiga yang sedang hangat diperkatakan. Isu ini mula diperkatakan sejak tahun 2009 ketika sebuah parti politik dikatakan mengambil baiah atau ikrar talak tiga ahli-ahlinya yang bertanding pilihan raya untuk mencegah kejadian lompat parti.

Apabila rahsia ini terbongkar, ia menjadi isu sensitif kerana tidak tergambar bagi kita semua bagaimana wanita yang seharusnya dimartabatkan dalam institusi keluarga Islam kini menjadi bahan dagangan percaturan politik.

Hati kecil kami berasa lega apabila mendapat berita bahawa sebahagian alim ulama' berpandangan bahawa baiah seperti ini tertolak dan tidak boleh diguna pakai. Namun, apa yang berlaku ialah pandangan ini pula tidak diendahkan oleh pihak yang berkenaan kerana masih ada suara yang terus-terusan mendesak agar baiah itu dilaksanakan.

Mereka seolah-olah bergembira dan menunggu-nunggu runtuhnya mahligai kasih pasangan yang pernah menjadi sahabat seperjuangan mereka itu. Di mana hilangnya kewarasan dan perasaan setia kawan dan kemanusiaan? Tidakkah difikirkan kesan negatif daripada desakan tersebut terhadap isteri, anak-anak dan keluarga sahabat terbabit?

Perkahwinan adalah sebuah insititusi suci lagi mulia dalam Islam. Ia ditegakkan di atas asas yang kukuh untuk melahirkan, membina dan memelihara individu yang akan menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat dan Negara.

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menegaskan bahawa:
1. Kami menentang sebarang tindakan yang menjadikan wanita dan insititusi keluarga sebagai barang pertaruhan dan percaturan politik atas alasan apa sekali pun. Perbuatan ini bukan sahaja merendahkan martabat wanita, malah bertentangan dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang telah meletakkan wanita dan lelaki sama kedudukannya di hadapan Pencipta 'Azza wa Jalla; suatu syariat membawa rahmah bagi sekalian alam.
2. Apa yang telah berlaku perlu dirujuk kepada pihak berwajib dan berkuasa untuk membuat keputusan melalui ketetapan dan prosiding yang sewajarnya.
3. Kami menyeru semua pihak agar menghentikan polemik isu baiah talak tiga ini dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum dengan sewenang-wenangnya.

Sebenarnya masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan wanita dan keluarga pada tahap yang sebenar-benarnya sebagaimana yang dikehendaki Islam. Ayuh kita sama-sama berganding bahu membangun dan memartabatkan wanita.

Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Monday, 3 August 2015

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Pandang Serius Kenyataan Yang Meremehkan Larangan Agama


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3 Ogos 2015 bersamaan 18 Syawal 1436H

IKRAM PANDANG SERIUS KENYATAAN YANG MEREMEHKAN LARANGAN AGAMA

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius laporan berita yang dikaitkan dengan pandangan YB Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Kenyataan yang menyebut bahawa “…isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat…” amat mendukacitakan.

Sekiranya laporan ini benar, adalah tidak wajar bagi seorang Menteri beragama Islam yang telah diberikan amanah kepimpinan dan bakal menjadi teladan kepada rakyat di negara ini untuk membuat komen sedemikian.

IKRAM berharap beberapa peraturan yang telah diperkenalkan oleh pihak LPF khasnya merujuk kepada Panduan Penapisan Filem Stesen TV ke atas elemen seks / lucah / kelakuan sumbang perlu dipertahankan malah ditambah baik selaras dengan peraturan-peraturan yang telah disarankan oleh syarak selari dengan Islam sebagai agama rasmi negara.

IKRAM suka merujuk kepada Indeks Syariah Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Februari tahun ini yang telah menganjurkan agar perjalanan kementerian dan agensinya mengambil kira Maqasid al-Syariah.

Sudah pasti kesemua kementerian dan agensinya tidak boleh tidak harus berpaksi kepada tuntutan Maqasid al-Syariah iaitu meletakkan elemen pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta diberi perhatian dalam membuat polisi dan peraturan. Malah diharapkan LPF juga mengguna pakai Indeks Syariah Malaysia sebagai rujukan.

IKRAM menyeru pemimpin negara dan rakyat bersama-sama membangunkan negara ini atas prinsip yang telah disebut dalam al-Quran yang berbunyi:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (al-Maidah: 2)

Hj Abdul Aziz Bin Abd Jalal

Thursday, 30 July 2015

| KENYATAAN MEDIA | Rombakan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Jejas Siasatan 1MDB


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
29 Julai 2015 bersamaan 13 Syawal 1436H

Rombakan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Jejas Siasatan 1MDB

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin melahirkan kegusaran mengenai tindakan Perdana Menteri melakukan rombakan kabinet terutamanya dengan melantik empat orang Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, termasuk Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri.

Rombakan ini beserta tindakan menamatkan perkhidmatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang terlibat secara langsung mengetuai Pasukan Petugas Khas menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB amat membimbangkan.

Setiap kali bila dibangkitkan isu 1MDB, jawapan yang diberikan adalah agar kita tunggu siasatan tersebut selesai dijalankan. Termasuklah yang mutakhir, persoalan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Cheras yang telah dijawab oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang sekali lagi meminta agar rakyat menunggu hasil siasatan tersebut selesai dijalankan.

IKRAM berpandangan, tindakan-tindakan tersebut hanya menghakiskan lagi kredibiliti Perdana Menteri dan Kerajaan yang seterusnya akan menjejaskan lagi usaha mengembalikan kredibiliti dan maruah negara serta keyakinan para pelabur.

IKRAM mengharapkan agar segala tindakan yang ingin diambil perlu meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.

Dengan ini, sekali lagi IKRAM mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bertanggungjawab kepada Parlimen bagi menyiasat kes 1MDB.

Moga Allah s.w.t. memelihara dan menyelamatkan Malaysia daripada sebarang malapetaka yang lebih buruk.             

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad        
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Wednesday, 22 July 2015

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Kekal Sebagai NGO Islam, Ahli Boleh Terlibat Dalam Parti Politik

  Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
22 Julai 2015 bersamaan 7 Syawal 1436H

IKRAM Kekal Sebagai NGO Islam, Ahli Boleh Terlibat Dalam Parti Politik 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum kenyataan media Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut tentang penglibatan IKRAM dalam pembentukan gagasan baru pembangkang.

Dalam kenyataan media sebelum ini, IKRAM telah mengalu-alukan usaha penubuhan gerakan rakyat yang lebih inklusif dan progresif supaya sistem dwi parti terus kukuh bagi melakukan proses semak dan imbang kepada proses demokrasi negara secara efektif.

Walau bagaimanapun, IKRAM akan tetap kekal sebagai NGO Islam yang akan terus bergiat dalam bidang dakwah, tarbiah dan kebajikan.

Dalam pada itu, IKRAM menghormati keputusan mana-mana ahlinya yang memilih untuk meneruskan usaha islah melalui parti politik Islam yang progresif dan inklusif yang bakal ditubuhkan nanti.

Ahli-ahli IKRAM yang terlibat dalam parti dan memegang jawatan eksekutif dalam parti akan diminta melepaskan jawatan eksekutif dalam IKRAM bagi mengelakkan berlaku sebarang pertembungan kepentingan kerananya.

Sebagai NGO yang berprinsip, IKRAM akan terus bekerjasama dengan, dan membuat teguran kepada, semua pihak termasuk pihak pemerintah mahupun pembangkang untuk sama-sama membina negara dan memperkuat ummah. 

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia