Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
1 Muharram 1437H bersamaan 14 Oktober 2015
Muharram: Bulan Perubahan Diri dan Meningkatkan Tekad Perjuangan
Hari ini 1 Muharram kita sama-sama melangkah ke tahun 1437 Hijrah. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua rakyat Malaysia. Semoga kita diberi taufik dan kekuatan untuk terus memperbaiki diri dan masyarakat agar Malaysia dirasai sebagai sebuah Negara Rahmah untuk semua warganya.
Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah setapak. Kecemerlangan dan kegemilangan diri, masyarakat dan negara kita bermula dengan langkah permulaan yang tampak kecil, namun besar impaknya. Langkah permulaan itu, tidak lain dan tidak bukan, adalah hijrahnya diri kita ke arah yang lebih baik: baik akhlaknya, santun dalam bicaranya, ihsan kepada sesama manusia, itqan (profesional) dalam muamalah atau pekerjaannya.
Seperti mana seikat lidi menjadi utuh dan bermanfaat daripada sebatangnya sendiri, bayangkan bagaimana hebatnya, aman damai dan bahagianya kita rakyat Malaysia sekiranya setiap daripada kita, 30 juta rakyat Malaysia, berakhlak mulia dan hidup atas prinsip-prinsip kebenaran, keadilan, dan penuh muhibbah.
Masyarakat sebeginilah yang mampu mendokong dan menegakkan Malaysia yang maju, Malaysia yang harmoni, Malaysia yang rahmah.
Jika kita susuri satu per satu sirah Nabi Muhammad saw, terdapat banyak kisah perjuangan nabi dan sahabat dalam mendaulatkan Islam di atas muka bumi.
Perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan ini diteruskan pula oleh pengikut –pengikut nabi dan Rasul, baik lelaki mahupun wanita hingga ke akhir zaman. Hari ini, kita melihat banyak pergolakan dan ketidakadilan yang berlaku di negara-negara umat Islam khususnya, yang menuntut seribu kekuatan dan ketabahan dalam meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah s.w.t.
Ketidakadilan ini bukan sahaja menuntut pengorbanan dari kaum lelaki, malahan golongan wanita, kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman para penzalim. Seperti satu tragedi menyayat hati yang berlaku di Palestin baru-baru ini apabila seorang ibu muda beranak tiga bernama Israa Abed berusia 29 tahun ditembak di Stesen Bas Pusat di Afula, berhampiran dengan Nazareth kerana dianggap berbahaya oleh polis dan tentera Israel.
Ironinya, media Israel melaporkan bahawa beliau ditembak ketika cuba menikam seorang pengawal keselamatan walaupun hakikatnya, tiada sebarang bukti yang menunjukkan Israa sebagai satu ancaman. Begitu mahal sebuah keadilan dan keamanan di tanah mereka sehinggakan darah dan nyawa terpaksa menjadi galang gantinya. Perubahan sememangnya memerlukan pengorbanan. Semangat juang yang ditunjukkan oleh mereka patut dicontohi oleh semua umat Islam demi menghapuskan segala kekejaman dan kebatilan di muka bumi ini.
Justeru sempena permulaan tahun baru hijrah hari ini, Wanita IKRAM Malaysia mengajak masyarakat Malaysia seluruhnya supaya:
1. Berazam untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan menyeru masyarakat untuk turut bersama berhijrah ke arah kebaikan.
2. Menambah ilmu supaya matlamat hidup dan perjuangan kita sebagai warganegara Malaysia jelas, iaitu menjadikan Malaysia sebuah Negara maju yang terbangun atas dasar kesaksamaan dan kasih sayang dan rakyatnya penuh profesionalisma dan integriti.
3. Menggerakkan diri , keluarga dan seluruh anggota masyarakat supaya terus berperanan dalam menyumbang ke arah perubahan yang lebih baik dalam bidang masing-masing.
4. Mencontohi semangat juang warga Palestin dan Syria yang tinggi dan tidak mengenal erti penat lelah, seterusnya membantu dengan pelbagai cara, mereka yang dizalimi ini.
Ayuh kita jadikan bulan Muharram ini sebagai satu titik tolak dalam memperkasakan masyarakat dan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara rahmah yang rakyatnya hidup aman damai walaupun berbeza bangsa dan bahasa.
Selamat tahun baru Hijrah
DATIN PADUKA HAJAH CHE ASMAH IBRAHIM
Ketua Wanita IKRAM Malaysia


No comments:
Post a Comment