Wednesday, 31 August 2016

Perutusan Hari Kemerdekaan ke-59


Perutusan Presiden IKRAM
Sempena Hari Kemerdekaan ke-59
31 Ogos 2016

 
"Ke Arah Negara Rahmah Mithali"

Assalamu’alaikum wbt.
Kita sekali lagi berkesempatan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara kita Malaysia daripada penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 2016 ini, sejak tanggal 31 Ogos 1957, negara kita telah mencapai status sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Perkara yang paling penting kepada rakyat seluruhnya berhadapan dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara ialah memahami hakikat kemerdekaan, bagaiman ia sepatutnya diisi atau disambut, dipertahankan oleh rakyat dan pemerintah, bagaimana ia dapat dijadikan asas kepada perkembangan negara menuju sebuah negara rahmah mithali.

Hakikat kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat dalam perspektif Islam ialah kebebasannya daripada cengkaman-cengkaman kehidupan yang membelenggu pilihan dan kebebasan mereka, seperti cengkaman nafsu, pemikiran dan pemahaman yang salah, sesat, perbuatan-perbuatan yang jahat, cengkaman syaitan, taghut, penjajah dan manusia yang jahat.

Kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat hanya akan wujud sesudah ia bebas daripada cengkaman-cengkaman dan belenggu-belenggu tersebut.

Sewaktu kemerdekaan itu wujud, sesebuah negara dan masyarakat akan bergerak bebas mengendalikan perjalanan hidupnya berasaskan pilihannya sendiri dengan penuh kebijaksanaan, lepas bebas daripada cengkaman-cengkaman di atas, aktif melakukan kerja-kerja kebaikan yang akan memajukan negara dan kehidupan masyarakatnya, memakmurkan dunia dan hubungan sesama manusia sejagat.

Rakyat dan pemerintah akan berperanan memajukan negara, menjaga hak-hak semua warganya secara adil, tidak melakukan tindakan-tindakan atau amalan-amalan yang akan memburukkan keadaan atau memundurkan negara serta menambah kesusahan rakyat, meningkatkan keupayaan negara dan rakyat untuk terus berkembang maju, mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi sehingga ia menjadi masyarakat dan negara yang berprestasi tinggi, maju dan kuat, menjadi ikutan dan contoh kepada dunia antarabangsa.

Tidak cukup dengan perkembangan tersebut, negara dan masyarakat di dalamnya berasaskan asas-asas kekuatan yang telah sedia dibina akan dapat berkembang maju lagi, melahirkan sebuah tamadun kemanusiaan yang akan semakin sempurna dengan berlalunya masa, menjadi sebuah negara rahmah mithali terhadap rakyatnya, negara-negara tetangga dan masyarakat manusia sejagat.

Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang prihatin, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menginginkan kebaikan untuk semua rakyat dan negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini. Harapan IKRAM sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaaan Malaysia yang ke-59 ini ialah:

"Semoga semua pihak dalam negara ini, pemerintah dan rakyat, akan terus melaksanakan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya, tulus ikhlas bagi memajukan negara serta mengangkat status kesejahteraan kehidupan rakyatnya ke tahap yang lebih tinggi dengan perjalanan masa, Malaysia tampil sebagai sebuah Negara Rahmah Mithali ke atas semua, berjaya menggerakkan pembangunan sebuah tamadun kemanusiaan yang mendekati kesempurnaaan dan mengkhidmati masyarakat manusia sejagat."

Dalam kesempatan ini juga, marilah kita perhatikan ucapan seorang sahabat Nabi kita yang tersohor, Rib’i bin ‘Amir RA tentang kandungan kemerdekaan yang perlu dicari dan dimenangi dalam hidup ini sebagai satu misi kepada kehidupan dan perjuangan:
"Membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."

Sekian, selamat maju jaya, rakyat bersatu, Islam didaulatkan, negara dimajukan, redha Ilahi dimenangi, bahagia kekal abadi.

Saturday, 27 August 2016

| KENYATAAN MEDIA | Percambahan Pusat Tahfiz Sesuatu Yang Dialu-alukan Tetapi Perlu Dikawal Selia


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
27 Ogos 2016 bersamaan 24 Zulkaedah 1437H

PERCAMBAHAN PUSAT TAHFIZ SESUATU YANG DIALU-ALUKAN TETAPI PERLU DIKAWAL SELIA

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius beberapa insiden yang dilaporkan yang melibatkan pusat tahfiz baru-baru ini. Ini termasuk kes guru yang dilaporkan membelasah pelajar di Sungai Petani, kebakaran madrasah tahfiz di Sabak Bernam dan Tawau serta isu mutakhir yang melibatkan dakwaan penderaan seksual terhadap pelajar di sebuah pusat tahfiz di Ipoh.

IKRAM berpandangan penubuhan pusat-pusat tahfiz di serata pelosok negara mencerminkan satu trend yang baik dari segi kesedaran ibu-bapa tentang peri pentingnya didikan agama. Permintaan dan harapan yang tinggi ini mendorong ramai pengusaha untuk menyediakan pusat-pusat tahfiz.

Walau bagaimana pun, IKRAM prihatin dengan kualiti dan standard yang disediakan oleh pusat-pusat tahfiz berkenaan.  Ini termasuk falsafah pendidikan yang dijadikan panduan, kelayakan kepimpinan dan pendidik, kurikulum dan kokurikulum, sistem pengurusan dan pentadbiran, standard prasarana dan infrastruktur, kaedah pengajaran dan pembelajaran, ciri keselamatan asrama dan seumpamanya.

IKRAM menggesa pihak kerajaan menyediakan satu sistem kawal selia dan jaminan kualiti untuk meningkatkan kualiti dan standard dalam bidang-bidang berkenaan. Satu garis panduan perlu digubal bagi mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku.

IKRAM bersedia berkongsi pengalaman dalam mengendalikan lebih 40 buah sekolah rendah dan menengah Islam serta maahad tahfiz di seluruh negara.

Prof. Dr. Omar bin Yaakob

Tuesday, 9 August 2016

| HEBAHAN | Jom sertai Qurban Kaseh Ummah 1437H / 2016. Tahun ke 18 penganjuran

 MAKLUMAT LANJUT, SILA LAYARI:

PERMOHONAN PENYERTAAN SECARA ONLINE:


| BERITA | Video perkongsian Konvensyen Keluarga Sejahtera Siri 2 2016, 6 Ogos 2016

Assalamualaikum. Alhamdulillah, Konvensyen Keluarga Sejahtera 2 telah berjaya dianjurkan oleh Wanita IKRAM Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Mufti Pulau Pinang dan UiTM Pulau Pinang pada hari Sabtu, 6 Ogos 2016 yang lalu.

Syabas diucapkan kepada semua JK Penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran konvensyen ini. Juga, terima kasih kepada para peserta KKS2 yang ghairah menimba ilmu daripada perkongsian yang diberikan.

Antara pengisian KKS2 yang dikongsikan bagi manafaat bersama.

a. Forum Keluarga Sejahtera di Bawah Naungan Syariah




b. Bual Bicara: "Mendidik Gen-Alfa: Psikologi & Islamik", Puan Azlina Roszy Mohamad Gaffur


| BERITA | Konvensyen Keluarga Sejahtera Siri 2 anjuran Wanita IKRAM Pulau Pinang pada Sabtu, 6 Ogos 2016


6 Ogos, Sabtu
- Pada hari ini telah berlangsungnya Konvensyen Keluarga Sejahtera siri 2  di Dewan Seminar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.



PENGISIAN UTAMA KONVENSYEN
 

Dato' Mufti memberikan ucaptama dan menerima cenderahati daripada Ketua Wanita IKRAM Pulau Pinang, Dr Lilis Surienty

Majlis sidang media
Dato' Mufti bergambar bersama sebahagian AJK IKRAM Pulau Pinang

Monday, 8 August 2016

| KENYATAAN MEDIA | IKRAM Mengalu-alukan Akaun Simpanan Syariah KWSP


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
8 Ogos 2016 bersamaan 5 Zulkaedah 1437H

IKRAM Mengalu-alukan Akaun Simpanan Syariah KWSP

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas pengumumannya untuk menyediakan pilihan simpanan persaraan baharu berteraskan Syariah yang akan bermula pada awal 2017 dan dibuka pendaftarannya untuk ahli KWSP pada hari ini.

IKRAM amat mengalu-alukan langkah ini dan percaya umat Islam telah lama menantikan pengumuman sebegini.

IKRAM mengucapkan syabas kepada orang ramai yang telah berpusu-pusu beratur sejak awal pagi di hadapan pejabat-pejabat KWSP. Ini menunjukkan kesungguhan masyarakat untuk memastikan simpanan mereka diuruskan secara halal.

Ini juga berkemungkinan disebabkan mereka tidak mahu terlepas peluang kerana jumlah simpanan Syariah yang ditawarkan kali ini hanya berjumlah RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP yang bernilai RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu.

Sehubungan dengan itu, IKRAM menyeru pihak KWSP agar berusaha untuk memenuhi semua permintaan umat Islam ini dengan menyediakan dana patuh Syariah yang lebih besar seberapa segera.

IKRAM juga mencadangkan KWSP untuk menambah baik lagi sistem pendaftaran dan menjadikannya lebih mesra pengguna seperti membenarkan pendaftaran melalui sistem atas talian (online), melalui telefon pintar atau melalui majikan masing-masing.

IKRAM menggalakkan semua ahli KWSP Muslim dan seluruh ahli IKRAM khususnya untuk segera mendaftarkan pertukaran kepada akaun Simpanan Syariah agar harta mereka diuruskan dengan cara yang halal dan diredhai Allah SWT.

Allah SWT menyebutkan dalam al-Quran yang bermaksud:
"Wahai manusia makanlah apa dalam dunia ini daripada yang halal lagi baik, dan janganlah ikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia bagimu adalah musuh yang nyata." (al-Baqarah 2:16)

IKRAM juga menyeru pihak kerajaan untuk memastikan semua dana milik negara dan masyarakat diuruskan secara patuh Syariah sepenuhnya.

"Rezeki yang halal membawa keberkatan dan kemakmuran."

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Ustaz Hj Burhanuddin Lukman
Naib Presiden
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ulama
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Thursday, 4 August 2016

| HEBAHAN | DIBUKA SEKARANG! Pendaftaran Pelajar Baru Tingkatan 1, 2 dan 4 ke Sekolah Menengah Al-Itqan Pulau Pinang bagi sesi 2017.


Pendaftaran pelajar baru bagi sesi 2017 Sekolah Menengah Al-Itqan Pulau Pinang dibuka sekarang.

Layari http://alitqan.edu.my/permohonan-smi/ bagi pendaftaran secara atas talian (online).

Aliran yang disediakan:
Tingkatan 1 sehingga 3: Mata Pelajaran Akademik dan Mata Pelajaran Diniah (Agama)
Tingkatan 4 dan 5: Aliran Sains Tulen / Sains Iktisas / Sains Sosial

Tarikh tutup permohonan:
a. TINGKATAN 1: 7 hari selepas keputusan UPSR 2016 diumumkan.
b. TINGKATAN 2 dan 4: 1 Oktober 2016

Maklumat lanjut, sila hubungi:
Pejabat Sekolah Menengah Al-Itqan 04-649 5644 atau lawati website PPAIQ http://alitqan.edu.my