Thursday, 22 October 2015

| INFO | Cadangan teks khutbah Tahun Baru 1437H: Sumbangan dari JK Pembelaan Umat Sejagat, Pertubuhan IKRAM Malaysia.


Cadangan teks khutbah Tahun Baru 1437H 
Sumbangan dari JK Pembelaan Umat Sejagat , Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Assalamualaikum wbt.

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memanjangkan usia dan memberi kesempatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Kita sudah pun memasuki Tahun Baru hijrah 1437.

Khatib mengajak setiap umat menginsafi apa yang berlaku saat ini di Baitul Makdis, di Tebing Barat di Gaza, di Syria di saat kita memasuki gerbang tahun baru hijrah. Khatib mengajak kita memberi tumpuan kepada Masjid Al Aqsa yang kini sedang diancam. Yahudi Zionis merancang untuk membahagikan Masjid al Aqsa kepada dua; separuh untuk tempat ibadat orang-orang Yahudi. Mereka akan melaksanakan impian membina sinagog atau kuil mereka; Haikal Sulaiman, dan melengkapkan agenda jahat untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa. Sebelum ini mereka telah mewartakan tembok Buraq pada tahun 1967 kepada Kottel – tembok tangisan ’Wailing wall’ orang-orang yahudi. Mereka telah merobohkan masjid al Maghariba dan pintu masuknya. Kini mereka akan melengkapkan cita-cita ini setelah diberi lampu hijau oleh parlimen haram Israel Knesset pada tahun lalu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Al murabitoon dan al murabitaat iaitu pemuda dan pemudi siap mempertahankan Masjid al Aqsa. Mereka berkubu di dalamnya dengan hanya bersenjatakan batu yang dilonggokkan di dalam masjid. Dengan senjata inilah mereka menentang tentera Zionis dan orang-orang Yahudi yang memasuki masjid dengan kasut dan senjata api. Mereka terus tetap pada kedudukan mereka, tidak berganjak dan bersedia untuk syahid demi kesucian Masjid al Aqsa.

Sehingga kini beberapa bahagian masjid sudah mengalami kerosakkan akibat dibakar oleh Yahudi Zionis. Ratusan pemuda telah tercedera dan ditahan. Wanita juga tidak terkecuali dan tidak mahu ketinggalan di dalam mempertahankan Masjid al Aqsa bagi pihak seluruh umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Kini Israel telah menutup masjid al Aqsa dan tidak membenarkan umat Islam bersolat di dalamnya. Tindakan biadap ini dijawab dengan kebangkitan umat Islam di segenap tempat. Pada hari ini para pemuda dan pemudinya bersiap siapa untuk satu kebangkitan bagi membebaskan diri dari pendudukan dan belenggu penjajahan Israel.

Israel bertindak balas dengan melengkapkan penduduk yahudi dengan senjata api dan membiarkan mereka melakukan pembunuhan rambang ke atas rakyat Palestin termasuk kanak-kanak. Tindakan biadap membunuh anak-anak muda yang tidak bersenjata dan pelajar sekolah yang dituduh sebagai pengganas telah memdedahkan siapa sebenarnya yahudi Zionis. Mereka tidak teragak-agak melakukan pembunuhan ke atas rakyat Palestin meskipun kanak-kanak. Mereka bercita-cita untuk menghapuskan bangsa Palestin. Sehingga saat ini sudah 40 orang terbunuh dalam bulan Oktober sahaja dan kesemua mereka berumur di bawah 30 tahun. Sebahagian besar pada awal 20’an dan beberapa orang pelajar sekolah berumur belasan tahun yang ditembak secara beramai-ramai pada jarak dekat. Jelas mereka mensasarkan golongan muda untuk memadamkan kebangkitan dan intifadan rakyat Palestin.

Sidang Jumaat yang diramati Allah.
Mereka menyangka mereka dapat memadamkan api jihad umat Islam. Mereka lupa bahawa Masjid al Aqsa dan bumi suci al Quds adalah jantung hati umat Islam. Itulah kiblat pertama umat Islam dan di situlah pusat keberkatan dan tempat berlakunya peristiwa Isra' Mi’raj.

Firman Allah: 
.سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير

Maksudnya: Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Al-Israa` ayat 1-4:)

Apakah umat Islam tidak merasakan apa-apa dengan kejadian yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin, bahkan apa yang sedang berlaku di Syria, di Myanmar dan di merata tempat? Apakah kita lupa dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

Dari shahabat Abu Sa’id Al Khudri, bahawa Rasulullah  bersabda:
“Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaknya dia mengingkarinya dengan tangan. Bila ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya. Bila ia tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya, yang demikian ini selemah-lemahnya iman.” (Muttafaqun ‘alaihi)
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ٠

(al-Hujurat ayat 10)

Apakah yang akan kita jawab nanti apabila Malaikat menanyakan soalan ‘Siapakah saudara-saudara kamu’? Apakah jawapan yang akan kita berikan? Apakah kita sanggup menjawab ‘seluruh umat islam saudara-saudara kita’ sedang ketika hidup di dunia kita tidak pernah memikirkan tentang mereka, bahkan kita khianati mereka dan kita bantu musuh-musuh kita memusnahkan kehidupan mereka dan membunuh mereka.Walhal apa yang sepatutnya kita lakukan ialah berjihad bersungguh-sungguh untuk membela umat Islam.
“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: “”Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!” (Al-Nisaa` : 75)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. 
Di saat kita menyambut kedatangan tahun baru dengan pelbagai cita-cita dan harapan yang menggunung tinggi untuk melakukan perubahan dalam hidup kita. Kita semua bercita-cita untuk hidup makmur, hidup bahagia, hidup selesa, hidup penuh dengan pelbagai nikmat. Ingatlah kehidupan yang sebenar ialah apabila kita meletakkan agenda Islam sebagai azam utama kita dalam hidup. Orang yang benar-benar merasai kenikmatan hidup ialah mereka yang berazam untuk berjuang pada jalan Allah. Orang yang benar-benar memenuhi matlamat hidup ialah mereka yang meninggikan kalimah Allah di muka bumi. Orang-orang yang benar-benar hidup ialah mereka yang memperjuangkan al-haq dan kebenaran. Orang-orang yang hidup dalam ertikata sebenar ialah mereka yang berjihad pada jalan Allah sehingga mereka menemui Allah dalam keadaan sedemikian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Marilah kita ajak diri kita, keluarga dan anak-anak kita untuk menghayati perjuangan umat Islam pada hari ini dalam pelbagai lapangan dan medan. Mari kita persiapkan generasi hari ini dan akan datang dengan persiapan-persiapan iman.

Renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Baqara
أَمۡ كُنتُمۡ شُہَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِى قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبۡرَٲهِـۧمَ وَإِسۡمَـٰعِيلَ وَإِسۡحَـٰقَ إِلَـٰهً۬ا وَٲحِدً۬ا وَنَحۡنُ لَهُ ۥ مُسۡلِمُونَ 

“Dan apakah engkau hadir ketika Yaakub didatangi tanda-tanda kematian. Dia memanggil anak-anaknya dan bertanya kepada mereka “Siapakah yang akan engkau sembah sepeninggalanku. Jawab anak-anak Yaakub ‘Kami akan sembah Tuhannya Ibrahim, tuhannya Ismail, Tuhanya Ishaq, iaitu Tuhan yang satu, dan kami akan tetap muslim.” (al-Baqarah ayat 133)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْم

Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE)
(Aqsa Syarif adalah agensi dibawah MyCARE)

Download Teks Khutbah disini

No comments:

Post a Comment