Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Hentikan Diskriminasi, Berikan Hak Wanita Islam untuk Bertudung
17 November 2017/ 28 Safar 1439H
17 November 2017/ 28 Safar 1439H
Larangan
bertudung ke atas pekerja dan pelatih perkhidmatan pelanggan di hotel
tertentu sebagaimana didedahkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja
Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini bukanlah perkara baharu
melibatkan diskriminasi terhadap pekerja wanita.
Wanita
IKRAM menzahirkan rasa kesal atas perkembangan terbaru ini kerana
walaupun sudah 60 tahun merdeka, dalam sebuah negara yang pemimpin
nombor satu dan majoriti rakyatnya beragama Islam, perlembagaannya
meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun wanita Islam masih
tertindas dan dinafikan hak asasi untuk mengamalkan ajaran Islam
sepenuhnya termasuk berpakaian sesuai dengan tuntutan agama mereka. Bagi
wanita Muslim, bertudung bukan sekadar fesyen tetapi satu kewajipan
yang dituntut agama.
Situasi
ini jelas menunjukkan kegagalan pihak kerajaan yang telah memerintah
sejak merdeka membela hak asasi umat Islam walaupun telah termaktub
dalam Fasal 8 Perlembagaan Malaysia, jaminan setiap warga mendapat hak
mereka dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi.
Pihak
berkuasa gagal memastikan supaya syarikat-syarikat yang beroperasi di
Malaysia termasuk syarikat antarabangsa dilesenkan dengan sah dan
menghormati budaya dan agama masyarakat setempat dimana mereka
beroperasi.
Kebebasan
berpakaian mengikut tuntutan agama adalah hak asasi wanita Islam
sebagai warganegara Malaysia tanpa mengambil, melibatkan mahupun
menjejaskan hak kaum dan agama lain.
Dengan ini Wanita IKRAM menyeru dan mendesak agar:
1. Pihak
kerajaan bertindak tegas bagi memastikan majikan dan syarikat yang
beroperasi di Malaysia menghormati sensitiviti agama dan keperluan
pekerja mengikut adat dan norma yang dianuti pekerjanya.
Syarikat-syarikat
tersebut perlu dipastikan beroperasi mengikut SOP negara ini yang tidak
bercanggah dengan tuntutan agama dan budaya masyarakat Malaysia dan
bukan SOP antarabangsa semata-mata.
2. Pihak
kerajaan melalui agensinya hendaklah bertindak tegas terhadap mana-mana
majikan yang mengenakan polisi yang mendiskriminasikan rakyat Malaysia
seperti menghalang wanita Islam melaksanakan tuntutan agama mereka dari
sudut berpakaian dan pekerja lelaki daripada melakukan solat Jumaat
umpamanya.
3. Semua
pihak diseru agar berhenti mempolemikkan isu ini. Sebaliknya usaha harus
ditumpukan untuk memperkemaskan polisi dan pelaksanaan dalam membela
hak semua pekerja khususnya wanita dengan menghentikan sebarang bentuk
diskriminasi.
Semoga dengan ini, kita benar-benar dapat membina Malaysia sebagai sebuah negara rahmah lagi sejahtera untuk semua.
Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment