Perutusan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sempena Ramadan 1436H
Rabu 30 Syaaban 1435H bersamaan 17 Jun 2015
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu
berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Orang
yang berpuasa mendapat pakaian takwa. la merupakan perisai yang
melindungi diri daripada kejahatan dan fitnah. Ibadat puasa lebih
istimewa daripada ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus
kepada Allah.
Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: Allah Azzawajalla berfirman:
“Setiap
amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untuk-Ku
dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu
berpuasa pada suatu hari maka jangan sekali-kali dia mengungkapkan
perkataan yang kotor (lucah) dan janganlah menengking. Sekiranya
seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah: “Sesungguhnya
aku sedang berpuasa “Demi yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila dia berbuka, dia bergembira dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya.” (Muttafaqun Alaih)
Allah
Subhanahu wa Taala telah mengkhususkan pada bulan Ramadan kebaikan
yang banyak. Jika kita mengetahuinya nescaya kita akan bercita-cita
agar sepanjang tahun dijadikan sebagai bulan Ramadan. Pada bulan ini
al-Quran diturunkan:
“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)
Manusia
adalah makhluk ciptaan Allah yang menakjubkan. Allah menjadikannya
terdiri daripada unsur tanah (material) dan unsur ruhi (spiritual).
Mereka adalah makhluk yang dihidupkan untuk dua alam. Mereka sentiasa
berhubungan antara bumi dan langit. Mereka sentiasa berhajat kepada
unsur yang keluar dari bumi untuk makan, minum, pakai dan hidup.
Allah berfirman:
Maksudnya: “Dan
Kami tidak menjadikan rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan
minum dan mereka tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia). (Al-Anbiya’: 8)
Mereka
juga berhajat kepada apa yang turun dari langit (wahyu Allah), demi
mengangkat darjat makrifat mereka di sisi Allah, berada dalam kebenaran,
suka akan kebaikan, menikmati keindahan dan beramal soleh. Allah
membekalkan manusia dengan naluri yang membantunya mengimarahkan bumi
dan menikmati kebaikannya sebagaimana Allah membekalkan manusia dengan
kesucian roh yang mengangkatnya berhubungan langsung dengan Tuhan yang
Maha Tinggi.
Peranan
ad-Din (agama Islam) adalah untuk mengangkat unsur roh ke atas unsur
tanah pada diri manusia. Jangan unsur tanah mengatasi unsur roh. Usaha
ini sukar memandangkan tabiat manusia sebati dengan unsur tanah dengan
segala kecenderungannya serta nafsu manusia pula amat cenderung kepada
godaan syahwat dan syaitan.
Islam
telah mensyariatkan beberapa ibadat khusus untuk merealisasikan
objektif di atas sebagai rukun-rukun terpentingnya; solat, puasa, zakat
dan haji selepas mengucap dua kalimah syahadah. Maka puasa diibaratkan
sebagai medan jihad ruhi dalam Islam.
Dorongan iman pada insan
menjadikannya meninggalkan makan, minum dan syahwat ikhlas semata-mata
untuk mendapat keredhaan Allah. Kesabarannya menahan diri daripada semua
perkara yang membatalkan puasa itu adalah ujian sebenar insan. Seorang
mukmin pasti akan berjaya menempuh ujian sukar ini yang akhirnya
membebaskan mereka daripada ikatan yang bersifat metarial dan unsur
haiwan. Benarlah penyair Abu al-Fath al-Basti berkata:
يا خـادم الجسم كم تسعى لخدمته
|
أتطلب الربح مما فيه خسران؟! |
أقبل على الروح واستكمل فضائلها
|
فأنت بالروح لا بالجسم إنسان! |
Wahai khadam jasad! Berapa kuat kamu berusaha berkhidmat untuknya?
Adakah kamu menuntut suatu keuntungan yang tersirat padanya kerugian?
Datangilah roh dan sempurnakanlah kelebihannya,
Kamu dengan roh, bukan dengan jasad menjadi insan!
Bulan
Ramadan adalah bulan penyucian, bulan mengingati akan nikmat kebesaran
Allah, bulan kasih sayang dan kasihan belas. Pada bulan ini hati
manusia lebih lunak dan senang ditarbiah ke arah takwa dan kebaikan.
Kita berasa hairan melihat kesan kedatangan bulan yang mulia ini saban
tahun, sehingga ada orang yang terputus hubungannya dengan Allah
tiba-tiba kembali menghubungkan dirinya dengan Allah pada bulan
Ramadan; masjid dipenuhi, al-Quran dibaca dan sebahagiannya pula akan
menyempurnakan puasanya walaupun dia tidak bersolat.
Bagaimana sepatutnya kita manyambut bulan Ramadan?
Pertubuhan
IKRAM Malaysia berpandangan bahawa antara kebaikan bulan mulia ini
juga ialah apabila ia dilihat dari sudut keluarga dan masyarakat. Di
sana terdapat peluang untuk mempertautkan hubungan kekeluargaan melalui
program berbuka dan bersahur secara bersama. Hidupkan usaha
ziarah-menziarahi, undangan berbuka antara satu sama lain serta menolong
yang miskin dan fakir. Sehubungan dengan itu juga Pertubuhan IKRAM
Malaysia telah melancarkan tabung Rayuan Ramadhan bagi menyalurkan
bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan tersebut dan
mengalu-alukan sebarang sumbangan. Kita berasa terpanggil untuk
membantu dan tampil membuka ruang untuk umat Islam menyumbang.
Pertubuhan
IKRAM Malaysia dengan ini juga menyeru semua pihak agar menghormati
bulan Ramadan yang mulia ini. Kita percaya atas dasar takwa, pihak-pihak
berkepentingan seperti pengamal media, penerbit filem, penerbit
majalah dan akhbar serta semua saluran televisyen akan berusaha agar
kesucian bulan Ramadan ini tidak dicemari unsur-unsur yang tidak selari
dengan kesucian bulan mulia ini. Marilah sama-sama kita mencari pahala
dari semua ruang yang dipermudah Allah untuk kita. Semoga dengan usaha
kita semua, roh menjadi suci, iman meningkat, nilai-nilai kebaikan
bertambah, jiwa menjadi suci, kemungkaran dapat dihindari.
Akhirnya
marilah kita bersama-sama menyingsing lengan berusaha ke arah
ketakwaan dan bermunajat kepada Allah agar Islam ini kembali ke
kedudukannya yang sebenar sebagai ad-Din yang memerintah. Rebutlah
peluang yang mungkin terakhir buat kita pada bulan Ramadan tahun 1436H
ini.
Wassalam….
Saudaramu,
Ustaz Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rabu 30 Syaaban 1435H bersamaan 17 Jun 2015
No comments:
Post a Comment