Ir JAMALUDDIN BIN
ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang
12 Jun 2015RAMADHAN YANG DINANTI!
Ahli-Ahli IKRAM sekalian,
Dalam
beberapa hari sahaja lagi, tetamu yang mulia akan menemui kita, tetamu
yang penuh kerahmatan, kekayaan dan pengampunan. Inilah bulan Ramadhan
al Mubarak.
Imam al Baihaqi telah meriwayatkan sebuah hadith dari Jabir katanya, bersabda Rasulullah saw yg bermaksud,
"Ramadhan
telah datang kepada kamu. Ia adalah bulan yang Allah swt memenuhkannya
dengan keberkatan, menurunkan rahmat kepadanya, memadamkan kesalahan,
memaqbulkan doa, menunggu mereka yang berlumba melakukan kebajikan dan
malaikat Allah berbalah mengenai kebajikan kamu. Maka tunjukkanlah
kepada Allah kebaikan, kerana orang yang celaka ialah mereka yang tidak
mendapat rahmat Allah swt dalam bulan tersebut."
Kita seharusnya berasa gembira dengan kedatangan Ramadhan kerana
istimewanya bulan Ramadhan sebagai satu peluang besar untuk mendapat
pulangan pahala yang hebat, pengampunan atas kesilapan dan kealpaan
yang lalu serta peluang membebaskan diri dari azab api neraka.
Namun,
dikalangan kita ada yang puluhan atau belasan tahun mengerjakan ibadah
puasa. Tahun demi tahun Ramadhan datang dan pergi tanpa meninggalkan
apa-apa kesan pada pembentukan insan yang soleh. Mengenai perkara ini Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya,
"terdapat umat Islam berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali sekadar lapar semata-mata."
Mengikut
pemerhatian, ada beberapa sebab mengapa tarbiah Ramadhan tidak
mengesani jiwa kita dan tidak membentuk insan yang soleh:-
1. Ibadah puasa dibuat tanpa ilmu. Ibadah puasa adalah ritual atau dibuat sekadar ikut-ikutan sahaja.
2. Kita tidak membuat persiapan teliti untuk menerima tetamu yang mulia ini.
Oleh
itu ikhwah dan akhawat sekalian, amat wajar sekali bagi orang yang
berakal untuk memberi perhatian dan bersiap sedia sebelum ketibaannya.
Malahan
Ramadan berhak meminta kesungguhan dari sekarang kerana ianya telah
diperuntukkan oleh Allah dalam firmanNya melalui hadis Qudsi
(bermaksud):
“Puasa adalah untuk Ku dan Akulah yang akan memberi ganjaran untuknya”.
Maka, saya amat menyarankan beberapa persiapan2 berikut-
1.
Hendaklah kita berazam dengan berikrar kepada diri sendiri dan Allah,
bahawa kita akan menggembling sepenuh tenaga pada bulan Ramadan untuk
berzikir, membaca al-Quran, berbuat ihsan dan mengubah diri kepada yang
lebih baik daripada sekarang, menyubur dan mengembangkan hubungan antara
kita dan Allah, antara kita dan Nabi kita, antara kita dan
isteri-isteri dan anak-anak kita, antara kita dan dunia seluruhnya.
2. Persediaan ilmu untuk mengenali Allah
Satu aspek persediaan untuk bulan yang mulia ini ialah benar-benar mengenali Allah dan membetulkan pengetahuan tentangNya,
memperkemaskan niat dan membaharuinya secara berterusan kepada Allah semata-mata
tanpa mensyirikkan dengan sesuatu dalam setiap amalan sama ada kecil ataupun besar, yang zahir atau batin.
Hati
yang mengetahui bahawa Allah adalah pemilik sebenar ialah hati yang
akan mengindahkan akhlak dan membangunkan tingkah laku sehingga ia
menjadi seorang yang begitu istimewa dan berbeza. Hanya kepada Allah dia
bersandar, kepada Allah dia bekerja, kepada keredhaanNya dia berusaha
dan kepada kerelaanNya sahaja dia patuhi.
3. Persediaan di sudut ilmu fiqah
ibadah puasa termasuk adab-adab berpuasa, syarat2 sah puasa dan amalan2
yang dituntut seperti sedeqah, qiamullail, iktikaf di masjid, membaca,
mentadabbur dan memahami mesej ayat2 Quran. Perlu difahami juga bahawa
puasa adalah sia-sia jika solat 5 waktu tidak ditunaikan.
4. Persediaan dengan melakukan muhasabah diri
Ramadan
yang penuh kebaikan memerlukan majlis muhasabah dari sekarang sebelum
Ramadan datang dan pergi. Seorang muslim jika dia mahu menjalani
kehidupan yang rabbani dan soleh, dia mesti sentiasa memuhasabah diri
dengan lebih serius.
“dan
hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah
sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). (Al-Hasyr: 18)
Melalui musahabah diri,
1 - Kenal pasti kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya.
2
- Soal diri sendiri, adakah kita sudah menjalin hubungan silaturrahim
atau masih bermusuhan menyimpan perasaan dendam dengan sesama saudara
seIslam?
3 - Masih adakah lagi amalan riba, adakah rezeki & pemakanan dari sumber yang haram atau secara penipuan?
Dengan muhasabah ini, kita dapat menyucikan hati kita dan hati yg bersih ini akan mudah menyerap kesan tarbiah bulan Ramadhan.
5. Persediaan jiwa dan emosi
Kesabaran
merupakan sifat yang mendasari kekuatan jiwa seseorang mukmin. Didiklah
kesabaran dengan meyakini bahwa Allah berserta dengan orang yang sabar,
Sabar juga datang dengan melatih diri bersikap positif, hati terbuka
memaafkan orang lain dan hati yang bersangka baik dengan muslim yang
lain.
Seorang
daripada kita tidak tidur sementara di dalam hatinya terdapat
kebencian, iri hati dan hasad dengki terhadap salah seorang saudaranya
yang Islam. Kita semua tahu kisah Abdullah ibn Amr ibn al-‘As dengan
Saad bin Abu Waqas dan sebab Nabi Muhammad saw menyatakan berita gembira
bahwa syurga untuk-Nya, "..iaitu orang yang tidak tidur sementara di
dalam hati ada perasaan dendam terhadap seorang Islam yang lain."
6. Persediaan untuk sentiasa beristiqamah:
Ini kerana jiwa yang beristiqamah akan meningkatkan kekuatan ruh ..
Firman Allah SWT :
Sabda nabi saw (bermaksud):
"Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian aku beristiqamah" (Riwayat Muslim).
Kerana
tidak istiqamahlah kita lihat fenomena masjid-masjid yang pada awal
Ramadhan ramai memenuhi berpusu-pusu mengerjakan solat isya dan terawih
tetapi semakin hampir Syawal semakin dingin ahli jamaah nya. Malah lebih
malang lagi, bilangan ahli jamaah nya tidak berubah selepas berlalunya
Ramadhan.
7. Persediaan fizikal
Marilah
kita sentiasa memastikan tubuh badan kita dalam keadaan yang baik,
amalkan budaya hidup yang sihat dengan makan minum yang berkhasiat,
makan bersederhana, jagalah persekitaran rumah yang bersih dan juga
amalkan senaman. Bila kesihatan kita baik barulah dapat melaksanakan
ibadah puasa, solat terawih dan qiamullail dengan sempurna.
8. Persediaan suasana sekitar rumahtangga:
Ibu
bapa bertanggungjawab membimbing ahli keluarga membuat persiapan teliti
serta mewujudkan suasana keimanan seperti solat fardhu berjamaah, solat
terawih di rumah atau dimasjid.
Dalam
pada itu, sama2 bersiap sedia membersih dan menghiasi rumah awal-awal
lagi tanpa menunggu saat akhir Ramadhan. Begitu juga membeli belah
pemakaian hari raya dan persiapan lain-lain menjelang 1 Syawal. Ini
adalah supaya kita tidak terlalu disibukkan sehingga kita lalai memberi
keutamaan kepada ibadah i’tikaf dan memperhebatkan marathon ibadah di
10 malam terakhir.
Sebagai
mengakhiri perutusan ini, suka saya mencadangkan agar setiap
kita memikirkan satu sasaran / target individu untuk
dicapai pada Ramadhan tahun ini, contohnya:-
-
Berazam untuk mengerjakan solat 5 waktu secara berjamaah 100% atau
berazam untuk berada di saf pertama setiap solat 5 waktu di
masjid/surau.
-
Bertekad untuk menghafal satu surah dari al Quran atau mensasarkan "pada
29 hb Ramadhan tahun ini saya dapat memahami pengajaran dari satu surat
tertentu dari al Quran"
-
Berazam untuk menyimpan sedikit wang supaya dapat membantu 5 keluarga
fakir miskin tahun ini atau bertekad mengurangkan belanja di pasar
ramadhan supaya dapat menyimpan wang tunai RM100 untuk diinfaqkan fi
sabilillah.
Semoga Ibadah bulan Ramadhan tahun 1436H adalah lebih maqbul dan lebih berkesan bagi diri kita dari Ramadhan yang lalu.
Amin yaa robbal 'alamin.


No comments:
Post a Comment