Mari melihat ramadhan daripada perspektif dakwah. Di antara
pencapaian terpenting Nabi Muhammad saw dalam bulan Ramadhan ialah
kemenangan di medan jihad fisabilillah. Pada masa perang jihad qital,
pada masa aman jihad berdakwah di jalan Allah swt.
Firman Allah swt dalam surah Al Fushilat 33 : “Dan tidak ada yang
lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan
dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang
salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam
(yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”
Kesedaran berdakwah kepada yang belum Islam masih rendah di Malaysia.
Hatta dalam kalangan pendakwah masih kurang melakukan dakwah kepada
yang belum Islam. Oleh itu mari semarakkan Ramadhan dengan jihad
berdakwah di jalan-Nya. Dengan kemenangan jihad dakwah ramai yang akan
memeluk Islam.
Rasulullah saw mengatakan kepada aidina Ali bahawa “Sekiranya
seorang memeluk Islam lantaran dari usahamu itu lebih baik dari segala
dunia ini dan segala isi-isinya. Rasulullah saw sentiasa menyampaikan
dan berusaha menarik semua manusia di sekeliling baginda sehingga
semuanya memeluk Islam.”
Hakikatnya baginda Rasulullah saw meninggalkan dunia ini dengan semua
manusia di sekeliling baginda telah memeluk agama Islam. Bermula dengan
hanya diri baginda saw, berakhir dengan tidak ada lagi orang bukan
Islam di Mekah dan Madinah. Sehingga kini tidak ada bukan Islam di Mekah
dan Madinah kerana telah diperintahkan bahawa kedua tanah suci ini
haram dimasuki oleh orang bukan Islam.
Sejarah menunjukkan bahawa semua orang yang dapat dicapai oleh
Rasulullah saw telah dicapai dengan mesej Islam oleh baginda dan para
sahabat. Yang dekat disantuni dan disampaikan terus risalah Islam kepada
mereka, yang jauh seperti Najasyi, Heraclius, Kisra, hatta di Negara
Cina di hantar utusan kepada mereka oleh Rasulullah saw dan para
sahabat. Kesedaran berdakwah kepada yang belum Islam ini sebenarnya
seharusnya timbul daripada kecintaan kita kepada Allah swt. Ini kerana
jika kita cinta Allah maka kita pasti cinta kepada RasulNya saw.
Allah swt telah berfirman: Katakanlah, “Jika kamu mencintai Allah,
maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni
kamu akan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengampuni lagi Maha
Mengasihani”. (Ali Imran 3:31). Seharusnya amal kita dijuruskan kepada
perkara ini sebenarnya. Contohnya, jika kita memikirkan kebaikan
mengajar Al Quran, Nabi saw pernah bersabda: “Yang terbaik di kalangan
kamu ialah yang belajar Al Quran dan mengajarkannya” (Riwayat Bukhari)
Ini sebenarnya berkait terus dengan dakwah, kerana jika anda
mengajarkan Al Quran kepada kalangan yang tidak mengetahuinya, apabila
mereka tahu, mereka akan mengajar pula isteri, suami, anak-anak mereka.
Betapa besarnya pahala orang yang mengajar Al Quran. Bayangkan besarnya
pahala mengajar Al Quran kepada yang belum Islam sehingga mereka memeluk
Islam dan meneruskan mengajarkan Al Quran kepada keturunannya dan
masyarakatnya. Inilah pahala berganda yang tidak ada ganjarannya yang
mencukupi untuk di balas di dunia ini melainkan disisi Allah dia akhirat
kelak. Terlalu banyak sebab mengapa kita perlu berdakwah kepada yang
belum, ini hanya sebahagian darinya. Marilah berdakwah kepada yang belum
Islam.
Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah
Pengerusi Hidayah Centre Foundation
Pengerusi JK Dakwah IKRAM
Tokoh Maal HIjrah 1435H
Pengerusi Hidayah Centre Foundation
Pengerusi JK Dakwah IKRAM
Tokoh Maal HIjrah 1435H

No comments:
Post a Comment