Showing posts with label Ramadhan 2015. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan 2015. Show all posts

Thursday, 16 July 2015

| HEBAHAN | Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1436H / 2015

| BICARA YDP | Perutusan YDP IKRAM Pulau Pinang bersempena Hari Raya Eidul Fitri 2015 (1436H)

  Ir JAMALUDDN BIN ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang 
  16 Julai 2015

Sempena Hari Raya Eidul Fitri 2015 (1436H)

Segala puji-pujian bagi Allah robb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga dan para sahabat seluruhnya.

Bersyukur kita kerana telah sebulan berlalu kita dapat sempurnakan ibadah puasa. Setelah mengharungi tarbiah ramadhan ini, melalui petunjukNya bukan sahaja kita beroleh rahmat, malah juga pengampunan dari Allah swt serta pembebasan dari neraka.

Semoga kita mencapai tahap taqwa seperti yang dimaksudkan dalam ayat 183 surah al Baqarah.



Maka pada ayat 185 surah yang sama, 



Allah menyuruh kita mengagungkanNya dengan bertakbir dan jangan lupa taqwa yang dicapai hendaklah diteruskan sampai bila-bila. Ibadah bukan semata-mata bertumpu di masjid sahaja. Redha Allah juga turun kepada mereka yang berbuat amar maaruf nahi munkar, berbakti dan menyantuni masyarakat di luar masjid.

Dalam konteks hala tuju Pertubuhan IKRAM, sudah tiba masanya kita melihat dakwah dan tarbiah melangkau bulatan usrah dan halaqah. Kita perlu bersikap inklusif, ummah-centered serta melonjakkan banyak khidmat kepada masyarakat.

Percayalah, masyarakat sentiasa  menanti sentuhan Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam, yang membawa kepada kesejahteraan dan  kasih sayang.

Maka, minda kita mestilah minda kasih sayang merentas diri, keluarga kepada masyarakat. Minda inilah minda para sahabat Rasulullah saw yang berjaya meluaskan dakwah dari kota Mekah ke pelosok dunia. Manfaatkan ruang dan masa yang terbuka untuk membangun umat di bawah naungan Islam yang makmur, penuh rahmat agar manusia memperolehi santunan kemanusiaan sejati. 

".... mudah2an kita termasuk org yg bersyukur." (Al-Baqarah: Ayat 185) 

Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, saya memesan semua ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia Pulau Pinang agar meneruskan azam, tingkatkan amal ke arah memperbaiki keadaan umat dan masyarakat sejajar dengan kehendak syariah dan wawasan kita.

Dalam kesempatan ini juga, saya mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli, keluarga anda dan umat Islam Pulau Pinang seluruhnya. 

Taqobbalallahu minna wa minkum

Ir Jamaluddin Abdullah

Yang DiPertua

Pertubuhan IKRAM Malaysia Pulau Pinang

| BICARA YDP | Selamat Tinggal....

SELAMAT TINGGAL ...

Sahabat2 ....
Kamu kata AKU mulia,
tapi kamu perlakukan AKU biasa-biasa sahaja ...

Kamu kata AKU bulan turunnya Al-Quran,
tapi mengapa kau tidak ada waktu untuk tadarrus ...
sekarang malah sibuk fikirkan tentang HARI RAYA ...

Kamu kata AKU bulan ibadah,
sekadar terawih saja banyak yang tidak dikerjakan ...
alasannya susah & letih ...

Kamu kata AKU bulan keampunan,
AKU tunggu doamu,
tapi kamu lebih asyik dengan gurauan, Whatsapp dan FB ...

Kamu kata AKU lebih baik daripada seribu bulan,
AKU tunggu rukuk, sujud & tilawah kamu di 10 hari terakhir,
tapi kamu lebih memilih malammu dengan tidur dibuai mimpi serta selimut ...

Sahabat ...
Sebentar lagi AKU akan pergi,
meninggalkan kamu untuk waktu yang lama,
11 bulan lagi AKU pasti kembali,
tapi AKU tidak pasti apakah akan menemukan kamu lagi ...

Kecewa, menyesal & menangislah sekarang ...
ketika kamu masih dalam pelukan AKU,
jika ini menjadi perjumpaan terakhir kita ...
yang kelak akan jadi saksi cintamu kepadaku ....❤️

Nukilan,
Ir. Jamaludin Abdullah
15 Julai 2015, 28 Ramadhan 1436H

Wednesday, 15 July 2015

| BERITA | Sumbangan Ramadhan daripada i-Bantu Seberang Perai Utara, 12 Julai 2015


15 Julai 2015, Tasek Gelugor - i-Bantu Seberang Perai Utara telah mengadakan majlis Sumbangan Ramadhan bertempat di Sek Men Arab Tahfiz, Tasek Gelugor pada 12 Julai 2015 yang lalu.

Seramai 50 keluarga telah menerima sumbangan di dalam majlis ini yang telah disampaikan oleh YDP IKRAM Seberang Perai Utara, Ustaz Mohd Norzalan Mohd Hassan, dan Ketua Wanita IKRAM SPU, Puan Zaiton Abdullah.

YDP IKRAM Seberang Perai Utara, Ustaz Mohd Norzalan Mohd Hassan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

| BERITA | Berita bergambar: Program Iktikaf Muallaf Pulau Pinang 2015 berlangsung dengan jayanya!


15 Julai 2015, Georgetown - Program Iktikaf Muallaf Pulau Pinang 2015 telah berjaya dilaksanakan pada 11 hingga 12 Julai 2015 yang lalu di Masjid Negeri Pulau Pinang. 

Program ini telah dianjurkan oleh Hidayah Centre Pulau Pinang dan beberapa NGO dakwah lain yang bertujuan untuk mengajak para Muallaf khususnya, untuk mengejar hari-hari terakhir Ramadhan.

Pengisian khusus telah diberikan oleh pihak IslamiCare Revert Support yang dibawakan khas dari Kuala Lumpur. 

| BERITA | Berita bergambar: Program IKTIKAF PERDANA RAMADHAN IKRAM PULAU PINANG 1436H / 2015 memupuk jiwa dan akal!


15 Julai 2015, Nibong Tebal - Program Iktikaf Perdana Ramadhan 1436H/2015M IKRAM Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Qaryah Seri Ampangan (Masjid Putih), Seberang Perai Selatan pada 10 hingga 12 Julai 2015 yang lalu.

Sepanjang program iktikaf ini, pelbagai pengisian fikrah dan rohani disusun bagi mengoptimakan masa peserta mengejar ganjaran 10 hari akhir Ramadhan.

Peserta program iktikaf ini mula berkumpul seawal jam 10 malam Jumaat seusai solat tarawikh dan bersedia untuk mengerjakan qiammullail yang akan bermula pada jam 4.30 pagi, Sabtu 11 Julai 2015. 

Sebaik sahaja selesai solat Subuh berjamaah, majlis diteruskan dengan pengisian Kuliah Subuh oleh Ustaz Soid Mohd Amin. 

Tak kenal maka tak cinta! Justeru itu, sesi ta'aruf mengambil tempat seusai wirid Ma'thurat.

Sebanyak tiga pengisian telah diberikan oleh tiga penceramah, Ustaz Syazalie Hirman Ahmad Najib, Prof. Dr. Md Roslan Hashim, dan Dr. Danial Zainal Abidin.

Iktikaf hari pertama diakhiri dengan solat terawih dan tadarus Al-Quran sebanyak 1 juzu' secara berkumpulan.

| BERITA | Resolusi Program IKTIKAF PERDANA RAMADHAN IKRAM PULAU PINANG 1436H / 2015



RESOLUSI IKTIKAF PERDANA RAMADHAN 1436H/2015
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Pulau Pinang

Masjid Qaryah Seri Ampangan, Nibong Tebal
Ahad, 12 Julai 2015 / 25 Ramadhan 1436H

Semua ahli IKRAM Pulau Pinang akan:
1. Meneruskan iktikaf di masjid berdekatan rumah masing-masing sehingga selesai Ramadhan.

2. Meneruskan katibah dan qiyamullail jamaie mengikut mustawa (tahap) pada setiap bulan.

3. Meneruskan puasa dan iftar jamaie terutama sunat Syawal dan puasa sunat yang lain.

4. Meneruskan tadarus dan tilawah Al-Quran setiap hari pada bulan-bulan berikutnya.

5. Meneruskan taaruf dan mu'ayasyah sesama ahli sehingga tumbuh ikatan hati yang kuat antara ahli.

6. Meneruskan "infaq fi sabilillah" pada bulan-bulan selepas Ramadhan.

7. Meneruskan kehadiran ke majlis kuliah ilmu bagi memantapkan ilmu pengetahuan.

8. Meneruskan amalan menjaga kebersihan dan kekemasan di premis awam seperti masjid, dewan dan sebagainya.

9. Meneruskan komitmen dengan program anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia. Ini merupakan tanda kebenaran ucapan setiap ahli dalam halaqah yang dihadiri.

10. Selalu mengadakan majlis makan bersama sesama ahli walaupun pada masa di luar halaqah.

USTAZ MOHD ROZEE ABDUL RAZAK
Pengerusi
Jawatankuasa Tarbiah,
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Pulau Pinang