Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
2 Julai 2015 bersamaan 15 Ramadhan 1436H
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
2 Julai 2015 bersamaan 15 Ramadhan 1436H
IKRAM SARAN AMAL POLITIK MATANG
Selaras
dengan perkembangan zaman dan juga detik-detik menghampiri tahun 2020,
di mana Malaysia mensasarkan untuk menjadi sebuah negara maju yang
berpendapatan tinggi, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru
seluruh warga Malaysia dari segenap bangsa, agama, pangkat dan latar
belakang untuk bersama-sama melakukan satu revolusi minda dalam
berinteraksi dengan pelbagai isu politik tanah air.
Paksi
berpolitik warga Malaysia perlulah diubah dari sekadar menjadi
penyokong taksub dan membuta tuli berdasarkan sentimen kumpulan dan
kepentingan peribadi sahaja kepada sokongan berasaskan pemikiran yang
kritis, kepentingan rakyat teramai dan kesejahteraan yang mapan untuk
hidup bersama bertunjangkan semangat ukhuwah insaniah (persaudaraan
sejagat).
Sikap
'you are either with us, or against us' yang membelenggu jiwa rakyat
Malaysia dalam berpolitik, perlu dirungkaikan dan digantikan dengan
sikap yang lebih matang dengan melihat setiap ahli politik dan
parti-parti politik sebagai 'khadam' rakyat dan bukannya 'tuan' mereka.
Sindrom
untuk melihat dan mengangkat parti politik dan orang politik sebagai
'tuan' hanya akan menjadikan rakyat Malaysia berterusan dirundung minda
tertawan (captive mentality) yang akhirnya membawa kepada perhambaan
kepada sesama manusia dan budaya 'patronage' yang tiada kunjung padam.
Hal
ini amat tidak sihat bagi warga negara maju, Malaysia yang baru.
Budaya politik sedemikian hanya akan menjumudkan pemikiran rakyat dan
akhirnya membawa kepada sikap prejudis dan buruk sangka.
Sangat
malang pada hari ini di Malaysia masih berleluasa budaya politik
kurang matang. Apabila seseorang menyokong secara terbuka sesebuah
parti politik pilihannya maka orang itu dianggap telah bermusuh atau
berkonfrontasi dengan parti politik yang lain. Budaya ini tidak
mencerminkan minda kelas pertama, bahkan ia mempamerkan sikap primitif
sebuah masyarakat dunia ketiga.
Begitu
juga halnya, apabila seseorang atau sesebuah NGO memberi penghargaan
terhadap satu kebaikan sesebuah parti politik, masyarakat lantas
menisbahkannya sebagai taksub dan membela parti tersebut. Sebaliknya,
jika sesiapa mengkritik sesuatu parti, maka dia dengan segera
dinisbahkan berada dengan parti lawan.
Masyarakat
sepatutnya dididik untuk menyedari bahawa mereka adalah 'king maker'
yang menentukan nasib parti dan ahli politik. Maka, mereka bebas untuk
memilih, memuji, berpihak, mengkritik dan membangkang mana-mana parti
politik ataupun pemimpin politik, berdasarkan hujah dan rasional.
Pertimbangan
bagi rakyat dalam memilih untuk menyokong atau membangkang sesuatu
parti politik pula sewajarnya berdasarkan polisi dan idea membangun
negara bangsa dan juga pencapaian (track record) parti atau ahli-ahli
politik tersebut.
IKRAM
mengajak warga Malaysia menghayati prinsip penegakan keadilan dan
penunaian amanah sebagai paksi kepada penglibatan mereka dalam politik
selaras dengan tuntutan Surah an-Nisaa', ayat ke-58:
إِنَّ
اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا
وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ
اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا
بَصِيرًا
Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum
di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat.
IKRAM
juga menyeru agar semua warga Malaysia konsisten dalam meletakkan
kepentingan negara dan ummah sejagat berteraskan nilai-nilai Islam yang
universal mengatasi kesempitan sikap kepuakan dan asabiyah kepartian
dalam berpolitik.
Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment