![]() |
| Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Tn Haji Kamarul Zaman Shaharul Anwar |
22 Disember 2014, SERI
KEMBANGAN - Badan kemanusiaan Palestin, Aqsa Syarif telah menerima
penghargaan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) kerana memberikan
komitmen dan kerjasama sepenuhnya untuk mewakili negara dalam dalam satu
sesi penilaian dan audit peringkat antarabangsa.
Aqsa
Syarif telah dicalonkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan
Bank Negara Malaysia pada November lalu untuk mewakili Malaysia dalam
sesi Mutual Evaluation Exercise (MEE) On-Site Assessment yang
dikendalikan oleh sebuah badan antarabangsa, Financial Action Task Force
(FATF).
FATF
adalah sebuah badan antarabangsa yang berperanan menetapkan piawai dan
memastikan pelaksanaan langkah-langkah efektif dari sudut undang-undang,
pengawalaturan dan pengoperasian, bagi memerangi aktiviti pengubahan
wang haram, pembiayaan kegiatan pengganas dan ancaman-ancaman yang
seumpamanya dalam usaha memelihara integriti sistem kewangan
antarabangsa.
Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Tn
Haji Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, Aqsa Syarif amat berbangga
dapat mewakili negara dalam sesi MEE ini dan telah memberikan komitmen
dan kerjasama sepenuhnya kepada SSM dan Bank Negara bagi memastikan
Malaysia mendapat maklum balas yang positif daripada FATF.
“Alhamdulillah,
minggu ini Aqsa Syarif menerima penghargaan daripada Bank Negara atas
komitmen dan kerjasama yang telah diberikan.
“Kami
juga dimaklumkan bahawa hasil penilaian yang diperoleh akan dimuatkan
dalam laporan Malaysia yang akan dibentangkan di Sidang Pleno dan
Mesyuarat Kumpulan Kerja FATF yang akan berlangsung pada bulan Jun 2015
nanti,” tambahnya.
Kamarul
Zaman merakamkan penghargaan kepada SSM dan Bank Negara kerana memberi
kepercayaan kepada Aqsa Syarif untuk mewakili negara dalam sesi
penilaian ini. Baginya,
kepercayaan tersebut merupakan pengiktirafan kepada kerja-kerja
kemanusiaan yang telah dijalankan sepanjang lebih empat tahun penubuhan
Aqsa Syarif.
Mewakili
Aqsa Syarif, beliau turut memberikan penghargaan tinggi kepada rakyat
Malaysia yang telah memberi kepercayaan penuh kepada Aqsa Syarif untuk
menguruskan derma Palestin yang telah disumbangkan.
“Penghargaan
yang diterima oleh Aqsa Syarif daripada Bank Negara pada hari ini juga
merupakan penghargaan buat rakyat Malaysia yang selama ini berdiri teguh
di belakang Aqsa Syarif,” katanya.
Aqsa
Syarif kini bernaung di bawah MyCARE, sebuah agensi kemanusiaan di
bawah IKRAM sebagai salah satu langkah pemerkasaan bantuan kemanusiaan
sejagat daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin, Syria, Iraq,
Rohingya dan pelbagai negara lain yang memerlukan bantuan. Selain Aqsa
Syarif, MyCARE turut menaungi i4Syria, Salam Iraq, Nusantara Care,
Rose2Rose dan Palestine Centre of Excellence (PACE).


No comments:
Post a Comment