Profesor Dr Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM
Sumber: Laman web Pertubuhan IKRAM Malaysia
Bencana
banjir yang melanda Semenanjung Malaysia baru-baru ini berkemungkinan
besar sudah sampai ke penghujungnya. Hanya beberapa kampung di Mukim
Kampung Gajah, Perak yang masih ditenggelami air. Manakala di
tempat-tempat lain (kecuali di Sarawak), air sudah pun surut.
Namun,
kesan terhadap kehidupan mereka yang ditimpa bencana ini masih kekal.
Ada yang telah kehilangan orang yang dikasihi akibat kematian. Manakala
ribuan yang telah kehilangan tempat tinggal sama sekali dan ramai lagi
yang mengalami kerugian besar akibat dari kerosakan harta benda mereka.
Di Kelantan sahaja, setakat ini, 2,677 rumah telah dikenal pasti musnah
sepenuhnya. Ribuan lagi telah rosak dan perlu dibaik pulih.
Beberapa
iktibar boleh dipelajari akibat dari bencana ini. Iktibar pertama
adalah menyedari hakikat bahawa kita dan segala harta kita adalah
sebenarnya milik Allah SWT semata-mata. Allah SWT berkuasa atas segala
sesuatu dan boleh mengambil balik nikmat yang telah diberikan kepada
kita dengan sekelip mata sahaja dan tanpa disangka-sangka.
Beberapa keadaan pasca banjir di Kg Sungai Lebir, Gua Musang
Siapa
yang dapat menyangka bahawa tahap banjir di Kuala Krai boleh sampai ke
tingkat tiga di sekolah Menengah Kuala Krai? Perkara ini tidak pernah
berlaku di dalam sejarah tempat tersebut. Begitu juga siapa yang
menyangka banjir boleh melimpah ke atas Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di
Temerloh selama seminggu? Saya yakin pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia
(LLM) menyangka tapak LPT sudah cukup tinggi untuk menghadapi
kemungkinan banjir.
Namun,
bila Allah menghendakinya berlaku, maka tertutuplah LPT selama seminggu
sehingga menyebabkan kerugian kepada pelbagai pihak terutama sekali
peniaga stesen minyak di kawasan LPT yang terlibat dengan banjir di
Pahang.
Natijah
daripada bencana ini serta kejatuhan harga minyak mentah di pasaran
dunia, perancangan belanjawan kerajaan Malaysia sudah tentu terpaksa
dirombak kembali. Ini juga perkara yang tidak disangka-sangka oleh
kerajaan. Besar kemungkinan defisit belanjawan negara akan bertambah dan
oleh itu, keadaan kewangan kerajaan adalah dalam keadaan yang semakin
tenat.
Iktibar
kedua adalah khusus kepada kerajaan yang memerintah sesebuah negara.
Sepatutnya mana-mana kerajaan perlulah mempunyai dana simpanan untuk
membantu dalam menangani masalah-masalah yang timbul selepas bencana
atau kejadian lain yang mengancam ekonomi negara.
Contoh
terbaik telah pun diberikan kepada kita di dalam Al-Quran melalui kisah
Nabi Yusuf AS. Nabi Yusuf AS telah menasihati raja Mesir bahawa
walaupun keadaan ekonomi negara adalah baik untuk beberapa tahun
pertama, namun ianya tidak akan berkekalan. Suasana kesenangan akan
diganti dengan suasana kesusahan akibat kemarau yang akan menimpa negara
Mesir dan oleh itu, adalah penting untuk kerajaan Mesir mempunyai
simpanan bekalan makanan gandum dalam perbendaharaan negara.
Itu
adalah cara yang betul untuk mentadbir ekonomi negara. Sudah tentu cara
ini tepat dan bijak kerana cara tersebut adalah berdasarkan pengetahuan
yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Yusuf AS.
Malangnya,
kebanyakan kerajaan di dunia, termasuk kerajaan Malaysia, beramal
dengan kaedah yang sangat berbeza. Sekarang ini perbendaharaan negara
bukan sahaja kosong, bahkan ianya adalah negatif kerana kerajaan
Malaysia sudah pun berhutang sebanyak lebih daripada RM800 bilion atau
hampir 55% berbanding Keluaran Negara Kasar (KNK). Malahan, hutang
terkumpul kerajaan telah berkembang selama 15 tahun berturut-turut.
Sebenarnya
sebelum bencana banjir ini berlaku, keadaan kewangan kerajaan telah pun
merosot apabila berlakunya kejatuhan harga minyak dunia. Ini kerana,
30% dari pendapatan kerajaan adalah bergantung kepada hasil minyak.
Bencana banjir ini, yang paling dahsyat dalam sejarah negara sudah tentu
akan membuat keadaan kewangan kerajaan bertambah tenat kerana rakyat
masih mahukan kerajaan memberi bantuan kepada mereka yang menjadi
mangsa.
Oleh
yang demikian, kerajaan masih terpaksa berbelanja walaupun
pendapatannya terhad. Ini bermakna hutang kerajaan akan meningkat lagi.
Implikasinya ialah rakyat akan terpaksa membantu kerajaan menyelesaikan
hutangnya melalui sumbangan cukai termasuk GST.
Dalam
erti kata yang lain, bantuan kerajaan kepada rakyat untuk mengatasi
bencana, yang setakat ini sudah pun melebihi RM800 juta, sebenarnya pada
masa yang sama adalah tambahan bebanan hutang kerajaan ke atas rakyat.
Kaedah
songsang ini yang tidak berdasarkan cara yang diajar oleh Al-Quran,
juga diamalkan di negara-negara lain seperti Singapura, Jepun, United
Kingdom dan Amerika Syarikat. Oleh itu, tidak hairanlah kenapa kerajaan
di negara-negara tersebut sedang menghadapi masalah hutang yang tinggi
berbanding KNK negara.
Di
Singapura ianya adalah lebih dari 111.4%, di Jepun ianya adalah lebih
dari 226.1%, di United Kingdom sebanyak 90.6%, dan di Amerika Syarikat
ianya adalah 101.5%. Oleh yang demikian, tidak hairanlah juga di
negara-negara tersebut kadar cukai nilai tambah atau cukai jualan adalah
tinggi iaitu 7% di Singapura, 8% di Jepun (akan ditingkatkan menjadi
10% pada bulan Oktober 2015), 20% di UK, dan 7% di beberapa negeri di
Amerika Syarikat.
Sebenarnya
sikap menyimpan untuk masa yang terdesak bukan sahaja amalan yang baik
untuk kerajaan tetapi ianya juga adalah sikap yang baik untuk diamalkan
oleh rakyat Malaysia. Simpanan perlu diutamakan dari kecil lagi.
Malangnya
apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya. Satu kajian oleh
Institut Penyelidikan Khazanah (KRIS) mendapati bahawa isi rumah di
Malaysia mempunya kadar simpanan yang rendah dan suka membeli
barang-barang mahal seperti televisyen, peti sejuk dan kereta dengan
cara berhutang.
Kajian
tersebut juga mendapati 71.4% terbawah (dari segi pendapatan) dalam
kalangan rakyat Malaysia mempunyai simpanan sebanyak RM554 sahaja dalam
tabung ASB. Data daripada Employees Provident Fund (EPF) juga
menunjukkan kadar simpanan yang sangat rendah dalam kalangan 44%
terbawah. Tambahan pula, 13.5% daripada pencarum EPF mempunyai purata
pendapatan sebanyak RM3,580 sahaja.
Apa
yang lebih membimbangkan ialah kadar hutang yang tinggi di kalangan isi
rumah di Malaysia. Data menunjukkan hutang isi rumah berbanding KNK
negara telah meningkat dari 76% pada tahun 2010 menjadi 87% pada tahun
2013 dengan jumlah mutlak hutang sebanyak RM854.3 bilion.
Bayangkan,
bagaimanakah seseorang yang berhutang untuk membeli rumah, kereta,
perabot rumah dan lain-lain kelengkapan tiba-tiba kehilangan kesemua
harta yang dibeli itu akibat banjir, sedangkan hutangnya belum sempat
dilangsaikan? Sudah tentu keadaannya adalah tersangat tenat.
Semasa
saya melawat kawasan banjir di Kelantan baru-baru ini, saya telah
dimaklumkan bahawa amalan berhutang untuk membeli peralatan rumah yang
canggih dan mahal sudah berleluasa di sana walaupun negeri itu dikenali
sebagai ‘Serambi Mekah’. Ini bermakna, kemampuan mereka yang ditimpa
bencana untuk bangun kembali akan mengambil masa yang panjang.
Akhir
sekali, iktibar yang patut diambil dari bencana banjir ini ialah
kerajaan yang memerintah janganlah bersikap angkuh dan yakin bahawa ia
boleh menjadi ‘wira serba boleh’ kepada rakyat. Selama ini ramai di
kalangan pemimpin yang memerintah merasa terlampau yakin dengan
kemampuan jentera kerajaan untuk menangani sebarang bencana yang menimpa
negara.
Dengan
angkuh, ada di antara mereka yang menyatakan bahawa kemampuan mereka
untuk mentadbir dan memberi kesenangan kepada rakyat bermakna rakyat
sepatutnya tidak membazirkan undi dengan melantik selain daripada mereka
sebagai pemimpin.
Namun,
jelas terbukti kini bahawa jaminan mereka tersebut adalah palsu sahaja.
Sekarang, sepatutnya rakyat boleh melihat sendiri bahawa hanya akibat
hujan yang tidak berhenti selama beberapa hari di beberapa kawasan yang
tertentu di Malaysia, kerajaan sudah tidak mampu menyelesaikan
kesengsaraan rakyat.
Pada
tahap awal bencana, jentera kerajaan termasuk bomba, askar dan polis
jelas tidak mampu memberi bantuan kepada rakyat kerana jumlah mangsa
yang terlibat adalah terlalu ramai.
Aktiviti pembersihan oleh sukarelawan i-Bantu Wilayah Persekutuan di Kuala Krau, Temerloh, Pahang
Sebaliknya,
apa yang terbukti sekarang ialah betapa pentingnya peranan yang
dimainkan oleh NGO seperti IKRAM, IMARET, MyCARE, ABIM,
persatuan-persatuan lain dan individu yang baik hati dan pemurah dalam
membantu mangsa banjir. Jelaslah bahawa sebenarnya kerajaan terpaksa
bergantung kepada pihak lain untuk membantu rakyat dalam mengatasi
bencana yang besar.
Sebenarnya,
tidak ada mana-mana kerajaan di dunia pun yang mampu menyelesaikan
masalah rakyat jika bencana berlaku pada skala yang besar. Ini terbukti
di Amerika Syarikat sendiri apabila kerajaan Amerika gagal untuk
menyelesaikan masalah rakyat selepas berlaku taufan Katrina di kawasan
sekitar New Orleans dan taufan Sandy di New York.
Oleh
sebab itulah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menjanjikan kepada
rakyat Madinah bahawa pemerintahan beliau mampu menyelesaikan masalah
masyarakat jika berlaku bencana seperti banjir besar, ribut taufan dan
lain-lain. Sebaliknya Rasulullah SAW mendidik rakyat supaya saling bantu
membantu semasa mereka dalam kesusahan.
Dalam
Al-Quran, banyak ayat yang memuji sikap ahli masyarakat yang suka
membantu orang yang dalam kesusahan atau tersepit. Di Malaysia
sebenarnya, jika kesemua rakyat yang berjumlah 30 juta memberikan fokus
untuk membantu beberapa ratus ribu rakyat sahaja yang terbabit dalam
bencana banjir, sudah tentu bencana ini akan dapat diatasi dengan
senang.
Malangnya,
ramai juga masih yang mengambil sikap tidak peduli, sambil menyatakan
bahawa tanggungjawab membantu golongan yang ditimpa bencana adalah di
atas bahu kerajaan semata-mata melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan
agensi kerajaan yang lain. Ini adalah sikap yang salah dan tidak
mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 177, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Bukanlah mengadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat itu adalah
suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah barang
siapa yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat,
kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada
kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, ibnu sabil (musafir),
dan orang-orang yang meminta-minta dan orang-orang yang memerdekakan
hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang
yang menepati janjinya ketika ia berjanji, dan orang-orang yang sabar
dalam kesempitan dan penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah
orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang
bertaqwa”.
Rakyat
Malaysia perlu sedar bahawa tanggungjawab membantu mangsa banjir adalah
sebenarnya terletak di atas bahu mereka sendiri. Usaha mentarbiahkan
masyarakat supaya lebih prihatin dan mempunyai sikap belas kasihan
kepada golongan yang susah perlu digiatkan lagi.
Akhir
sekali, rakyat perlu ditarbiahkan supaya pemikiran politik mereka
menjadi lebih matang. Dengan itu, mereka akan melantik pemimpin yang
bertanggungjawab menjaga khazanah rakyat, yang akan tidak membazirkan
dana negara, yang tidak berbelanja semata-mata untuk menambahkan
populariti diri mereka sendiri sambil menambahkan bebanan hutang yang
berat ke atas rakyat.
Jika
usaha tarbiah ini berjaya, insyaAllah pada masa akan datang, kesan
kesengsaraan yang akan dialami oleh rakyat akibat bencana tidaklah
sepahit seperti yang dialami sekarang ini.
Penulisan artikel oleh:
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM
Foto keadaan pasca banjir di Kg Sungai Lebir, Gua Musang: http://on.fb.me/1Ce5N8E
Foto aktiviti sukarelawan i-Bantu WP di Kuala Krau, Temerloh: http://on.fb.me/1Cvx1p7

No comments:
Post a Comment