Sunday, 4 January 2015

| CATATAN SUKARELAWAN | Misi OSEM 1.0 : Kg. Gajah, Perak



Ahad, 4 Januari 2015 Hari ini sepatutnya menjadi Ahad yang terakhir dalam minggu cuti sekolah akhir tahun. Namun, kerana bencana banjir yang melanda hampir di separuh bumi Malaysia, sesi persekolahan ditangguhkan lagi seminggu. Hari ini juga satu misi kemanusiaan ke sebuah kampung di negeri Perak telah dirancang di bawah Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Negeri Pulau Pinang (GEMA PP) dan i-Bantu IKRAM Pulau Pinang.

PAGI : PERMULAAN SEBUAH MISI
Jam 5:00 pagi aku sudah bangun untuk bersiap menyertai misi tersebut. Aku dan suami menaiki pacuan 4 roda milik sukarelawan lain pada jam 5:30 pagi bergerak dari rumahku di Nibong Tebal menuju ke ‘check-point’ pertama, R&R Sg. Perak.

Usai solat subuh dan sarapan ringkas, semua sukarelawan yang berhimpun di R&R Sg. Perak diberi satu taklimat khas sebelum bergerak ke ‘check point’ seterusnya iaitu Terminal Aman Jaya untuk bersama kumpulan kedua dari Perak menuju ke Pusat Gerakan Banjir Perak Tengah di Bandar Seri Iskandar.
Kami tiba di Pusat Gerakan Banjir Perak Tengah pada lebih kurang jam 10.30 pagi. Selepas taklimat tentang keadaan banjir terkini dan tempat-tempat yang masih memerlukan bantuan sukarelawan, kami dibahagikan kepada 3 kumpulan. Kumpulan-kumpulan ini akan menuju ke 3 lokasi berlainan - Lambor Kiri, SK Kepayang dan MRSM Pasir Salak yang menjadi pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir dari Kg. Gajah. 

TENGAHARI : MRSM PASIR SALAK
Jam 12.30 tengahari, aku bersama sekumpulan sukarelawan lain tiba di MRSM Pasir Salak. Misi kami pada hari ini harus mencapai objektif untuk membuat aktiviti bersama anak-anak mangsa banjir dan melakukan kerja-kerja penyusunan dan pembersihan yang diperlukan di pusat pemindahan tersebut.

Selepas makan tengahari dan solat Zohor, kumpulan kami dibahagikan pula kepada 3 kumpulan kecil - Menyusun pakaian, aktiviti kanak-kanak dan kerja mencuci tandas. Perlunya aktiviti menyusun pakaian adalah kerana longgokan pakaian yang amat banyak memenuhi setiap meja di dewan makan. Aku anggarkan kira-kira 30 meja dipenuhi longgokan baju yang tidak berlipat dan sebahagian lantai juga menjadi tempat longgokan pakaian. Terlintas juga di fikiran, alangkah eloknya jika mangsa-mangsa banjir yang memenuhi pusat pemindahan banjir mengisi masa lapang mereka dengan melipat kain-kain ini.

Kebanyakan daripada mangsa banjir di sini sudah menghuni pusat pemindahan selama 9 hari. Rumah yang ditenggelami air banjir tidak ketahuan bagaimana keadaannya. Barang-barang eletrik yang ditenggelami air sudah pasti rosak. Dari raut wajah masing-masing, jelas kelihatan tanda-tanda keletihan dan keresahan. 


Aktiviti bersama anak-anak di pusat pemindahan ini berjalan dengan lancar dan mereka memberikan kerjasama yang agak baik, walaupun tetap berlaku pergaduhan kecil tetapi masih dalam kawalan. Fasilitator bertugas memang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam menguruskan anak-anak yang sentiasa riang ini, mungkin kerana anak-anak ini masih belum mengerti makna ‘musibah’.

PETANG : PERKONGSIAN SUKARELAWAN
MISI OSEM ke Kg. Gajah berakhir jam 6:00 petang. Kami semua berkumpul semula di Masjid UTP, Seri Iskandar. Dalam sesi perkongsian bersama para sukarelawan, pelbagai cerita dapat didengar. Ada yang perlu mencuci rumah yang digenangi air sehingga ke para dapur. 

Ada juga yang menyertai kumpulan memasak untuk mangsa banjir. Pengalaman berharga bagi kumpulan ini adalah apabila mereka belajar memasak daripada bekas tentera yang mengajar cara memasak ketika darurat. Ketika itu, ayam tidak perlu lagi dibasuh banyak kali dengan air bersih kerana bekalan air bersih yang sangat kritikal. Juga diketahui bagaimana lauk baki makan tengahari dimasak sekali lagi untuk makan malam sehingga tiada apa pun yang akan dibazirkan. Menu masakan juga tiada dalam jadual. Apa yang datang ke pusat memasak, itulah yang akan menjadi hidangan pada hari tersebut.

Dalam salah satu perkongsian sukarelawan, ada satu kisah yang menyayat hati, dikongsikan oleh seorang bekas doktor yang kini belajar dalam bidang psikologi. Ketika sesi ‘Pengurusan Tekanan Ketika Musibah Banjir’, seorang makcik ditakdirkan bercerita kepada sukarelawan kami tentang kejadian yang menimpanya ketika hari kejadian. Makcik ini baru 7 bulan kematian suami dan sebelum itu, anak lelakinya meninggal dunia setahun yang lepas meninggalkan isteri dan 4 orang cucu yang mana 3 orang daripada cucunya adalah OKU. Kehidupan mereka ditanggung oleh cucu sulung yang bekerja sebagai 'boiler' di sebuah kilang berhampiran. 

Makcik ini bercerita, ketika air banjir sudah mula melimpahi rumah mereka di mana air naik terlalu mendadak dari buku lali sehingga paras dada dalam masa yang sangat singkat, mereka sekeluarga bersama anak saudaranya berusaha untuk menyelamatkan diri. Namun malangnya, anak saudaranya telah lemas, jatuh ke dalam longkang dan terus tenggelam. Jenazahnya dijumpai selepas 5 hari dalam keadaan separuh mereput, tanpa sebelah tangan dan kaki serta tempurung kepalanya hampir pecah. Dan sehingga hari kami di sana, jenazahnya masih belum dapat disempurnakan kerana kampung mereka masih dibanjiri air dan ahli keluarga semuanya masih di pusat pemindahan. Bercucuran air mata makcik ini sehingga sukarelawan yang berada berhampiran pun menitiskan air mata.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Cerita mereka selepas ini tidak mungkin sama lagi dengan apa yang mereka impikan sebelum ini. Sebelum tragedi banjir pun mereka sudah terpaksa membanting tulang 4 kerat untuk sesuap nasi. Selepas ini, sengsaranya mungkin bertambah atau mungkin juga Allah SWT akan gantikan dengan yang lebih baik.

Kami menutup tirai MISI OSEM 1.0 di Kg. Gajah dengan 1001 cerita tentang rakyat marhaen. Selagi maut belum menjemput, jalan untuk membuat kebajikan sentiasa ada di hadapan.

- SHY -
Sukarelawan GEMA & i-Bantu IKRAM Pulau Pinang
Kg. Gajah, Perak
4 Januari 2015

No comments:

Post a Comment