Thursday, 29 January 2015

| BERITA | Perginya Seorang Srikandi Pendidikan

 
Almarhum Malindah Baba
Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) merakamkan ucapan takziah kepada Md Sidin bin Mardan dan seluruh anggota keluarganya di atas kembalinya ke rahmatullah isteri tercinta, Almarhum Malindah Baba pada 9 Rabiul Akhir 1436 bersamaan 29 Februari 2015.

Almarhum Malindah Baba merupakan seorang yang sangat komited dan cekal dalam memartabatkan sistem Pendidikan Islam IKRAM-Musleh. Beliau telah terlibat dalam dunia pendidikan sejak awal hinggalah menghembus nafas terakhir, dengan tidak pernah mengenal lelah dan mengeluh kalah.

Beliau telah memegang pelbagai tanggung jawab dan amanah. Di antaranya ialah guru di SRI Al Islah Sg. Petani, Guru Besar Sekolah Alif Brunei, Guru Besar SRI As Saidiyyah, Seremban, Eksekutif Pendidikan di Musleh Bhd, dan Ketua Pegawai Operasi (COO) SRI i-Musleh, Melaka.


Sentuhan pendidikan beliau pastinya terpahat dalam diri generasi anak didiknya. Jasa beliau dalam membantu mengasaskan sistem pendidikan IKRAM-Musleh yang terlaksana di sekolah rangkaian IKRAM-Musleh pastinya tidak akan dilupakan. Kecekalan dan kegigihan beliau harus dicontohi oleh para pejuang pendidikan IKRAM-Musleh, baik dalam kalangan guru-guru mahupun golongan pentadbir.

Ya Allah, Engkau terimalah segala amal dan jasanya, ampunilah segala kesilapan dan kesalahannya, rahmatilah rohnya, lapangkanlah kuburnya, bahagiakanlah dia di sisi-Mu ya Allah. Ya Allah, Engkau himpunkanlah dia bersama orang-orang yang Engkau redhai, para solehin dan para syuhada’. Sesungguhnya dia tidak pernah kenal penat lelah dalam menegakkan deenul Islam semasa hayatnya, baik dalam keadaan susah atau senang.

Amiin amiin ya rabbul alamin.

Prof. Dr. Omar bin Yaakob

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment