Thursday, 15 January 2015

| BERITA | Ketua Wanita IKRAM Pusat menulis dalam Harakah Daily terhadap isu artis Korea memeluk remaja Muslim

 

Kekalkan kesusilaan Islam melalui pendekatan kasih sayang

Oleh DATIN PADUKA CHE ASMAH IBRAHIM
Penulis ialah Pengerusi Gabungan IMAANA 2014-2015.


IMAANA (Intergrated Muslimah Association and Network Alliance), iaitu Gabungan Wanita NGO-NGO Islam Malaysia yang prihatin terhadap pembangunan dan perkembangan isu-isu wanita dan kanak-kanak di Malaysia dan peringkat antarabangsa juga terkesan dengan kedua-dua peristiwa tersebut.

IMAANA berasa kesal dan sedih dengan perkembangan dunia hiburan tanah air kebelakangan ini. Perbuatan di luar batas agama dan adab ketimuran yang dipertontonkan di khalayak ramai ini telah mencemarkan maruah wanita Muslim terutamanya di negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasminya dan terkenal dengan nilai-nilai ketimuran yang tinggi. Namun demikian IMAANA menganggap kedua-dua peristiwa ini perlu dijadikan satu kejutan kecemasan (‘wake up call’) kepada negara mengenai tahap kebejatan gejala sosial dan kerendahan akhlak yang sedang mengancam masa depan generasi pelapis negara ini.

Adalah tidak memadai untuk umat Islam negara ini hanya sekadar bertindak mengecam mereka yang terlibat, menuding jari dan melepaskan geram di laman-laman sosial semata-mata dan mengharapkan perubahan berlaku dengan mudah. IMAANA menggesa agar semua ahli masyarakat terdiri daripada ibu bapa, masyarakat Muslim keseluruhan dan pihak berkuasa untuk menilai dengan rasional petanda-petanda daripada gejala ini bagi mengenal pasti tahap permasalahan yang sedang dihadapi negara, serta bertindak mencari penyelesaiaan yang terbaik untuk mencegahnya daripada berulang. Di atas roh mencari penyelesaian dan memperbaiki apa yang berlaku, IMAANA mencadangkan langkah-langkah berikut:

- IMAANA menggesa supaya kawalan dan penguatkuasaan yang lebih ketat dibuat ke atas program-program hiburan yang dibenarkan di negara ini. Pihak berwajib yang meluluskan konsert dan program hiburan dan penganjur perlu sensitif dengan agama dan budaya setempat sama ada ia melibatkan artis-artis tempatan atau pun dari luar. Misalnya, acara-acara yang melibatkan penyertaan artis wanita dan penglibatan penonton wanita melakukan lakonan di atas pentas perlu mematuhi garis panduan tertentu. Pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada berubat’ perlu diambil dengan menutup semua ruang kepada berlaku maksiat dan gejala tidak sihat dalam kalangan masyarakat sebelum lebih parah. Penilaian terhadap impak sesuatu aktiviti itu kepada kehidupan rakyat dan negara perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan sekadar melihat dari sudut pulangan material tertentu sahaja seperti bagi meraih pulangan ekonomi daripada aktiviti pelancongan umpamanya. Hiburan yang diluluskan hendaklah yang bermanfaat dan sejahtera kepada semua pihak.

- IMAANA mengajak individu Muslim, NGO Islam dan badan dakwah agar bekerja dengan lebih kuat dalam menganjurkan aktiviti ‘amar makruf dan nahi mungkar’ yang pro dan mesra remaja untuk menangani masalah kerapuhan akidah dan jati diri remaja masa kini. Perlu diperbanyak lagi aktiviti alternatif yang sihat, mendidik dan kreatif dalam mendekati remaja hari ini. Menyantuni mereka dengan pendekatan kasih sayang bagi mendidik, bukan menghukum semata-mata adalah selaras dengan pendekatan hikmah yang dituntut oleh Islam. Mereka yang telah melakukan kesalahan perlu diberi keyakinan untuk kembali kepada kebenaran dan bahawa ruang dan peluang untuk kembali bertaubat masih terbuka luas buat mereka. Mereka perlu diberi kefahaman yang sempurna mengenai tujuan dan matlamat hidup agar mereka boleh bersandarkan kepada panduan yang jelas dalam membuat penilaian kepada pilihan gaya hidup mereka untuk kembali kepada kehidupan berlandaskan syariat.

- IMAANA mengajak gadis-gadis bertudung mencari kefahaman yang jelas mengenai konsep hijab yang tidak hanya terletak pada pemakaian bersyariat semata-mata, tetapi merupakan asas kepada penjagaan batas pergaulan lelaki dan perempuan dalam erti kata ‘malu’ yang sebenarnya. Tudung tanpa sifat malu tidak melengkapkan konsep hijab. Ia hanya merupakan fesyen yang membaluti tubuh tanpa isi (substance) dan kefahaman jitu. Sifat malu yang tertanam akan dapat mengawal batas dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

- IMAANA mengajak ibu bapa memantapkan dan menyemarakkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Ibu bapa perlu mengambil tahu keberadaan dan aktiviti anak-anak mereka, dan sentiasa berasa ‘cemburu’ dan prihatin terhadap setiap tindak-tanduk anak-anak mereka. Hubungan yang rapat  penuh kasih sayang dan cinta tanpa syarat daripada ibu bapa kepada anak remaja perlu dizahirkan bukan hanya diucapkan. Aktiviti bersama ibu bapa dan anak perlu dijadikan agenda dalam pemantapan akidah dan pembentukan akhlak dan tata susila. Dalam meraikan kehendak remaja kepada hiburan, mereka perlu diberi panduan untuk pemilihan hiburan yang sihat dan sekali gus menjaga batas-batas susila timur dan akhlak Islam.

- IMAANA menyeru pihak pemimpin di semua peringkat memberikan keutamaan kepada usaha menangani gejala sosial secara serius dan berterusan. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan secara bersepadu dan bukan diletakkan pada institusi-institusi agama semata-mata. Semua polisi dan dasar pembangunan yang melibatkan rakyat hendaklah dibentuk sejajar dengan nilai dan budaya Malaysia yang berteraskan Islam tanpa menindas kaum lain mengamalkan agama mereka. Sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada anak-anak remaja, yang juga dilarang oleh semua ajaran agama hendaklah dibendung dan dikawal bagi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara rahmah untuk semua kaum hidup sejahtera dengan mengekalkan keutuhan nilai dan jati diri masing-masing.

Mari kita semua menggerakkan usaha di peringkat apa jua penglibatan kita bagi memastikan anak-anak remaja Malaysia yang kita sayangi berada di atas landasan yang betul dan dilengkapi dengan akidah yang betul, matlamat hidup yang jelas, akhlak berhemah, bertatasusila dan punya jati diri yang mantap.

No comments:

Post a Comment