Wednesday, 28 January 2015

| KENYATAAN MEDIA | Kaji Semula Cadangan Merotan Sebagai Satu Kesalahan Jenayah.

KENYATAAN MEDIA
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
27 Januari 2015

KAJI SEMULA CADANGAN MEROTAN SEBAGAI SATU KESALAHAN JENAYAH 

Kenyataan YB Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung cadangan untuk menjadikan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi kerisauan di kalangan anggota masyarakat. Wanita IKRAM terpanggil untuk menyatakan pandangan dalam isu ini.

Wanita Pertubuhan IKRAM menggesa agar sebarang pindaan atau pemurnian yang hendak dibuat ke atas akta penjagaan hak kanak-kanak hendaklah dinilai secara menyeluruh serta bertujuan meningkatkan keberkesanan kawalan ke atas penjagaan kebajikan kanak-kanak. Ianya mestilah mengambil kira sudut pandang Islam selaku agama Persekutuan negara ini, adat serta budaya masyarakat. Pindaan yang hendak dibuat hendaklah bukan semata-mata untuk akur dengan prinsip dan perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child,(CRC)  yang mana Malaysia telah menjadi Negara pihak setelah CRC diratifikasikan oleh Malaysia pada tahun 1995. Kenyataan YB Menteri bahawa merotan anak merupakan sebahagian dari budaya masyarakat kita juga adalah kurang tepat dan boleh memberi tanggapan yang negatif terhadap masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan masyarakat antarabangsa dalam konteks pelaksanaan CRC.

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menyarankan perkara-perkara berikut dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang pindaan dibuat kepada Akta Kanak-Kanak 2001:

1. Mengadakan rundingan khusus dengan semua pihak yang berkepentingan terutama dari kalangan agensi-agensi agama, pakar-pakar psikologi dan NGO agar pandangan yang menyeluruh dapat diperolehi.

2. Memberi keutamaan dalam mendidik ibubapa secara khususnya dan rakyat secara umumnya sebelum melaksanakan akta yang membawa kepada hukuman. Ibubapa perlu diberi kefahaman mengenai disiplin dan menghukum anak-anak. Disiplin bermakna meletakkan batas dalam semua urusan kehidupan dan perlu dilatih dan diterapkan di kalangan kanak-kanak sejak kecil. Ia bertujuan menjadikan hidup lebih teratur, sejahtera dan harmoni bukan untuk menakutkan apalagi mendera. 

3. Memberi kefahaman kepada ibubapa secara khususnya dan rakyat secara umumnya bahawa walaupun rotan disebut di dalam Islam sebagai salah satu kaedah hukuman, namun ianya tidak boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenang. Sebagai contoh rotan tidak boleh digunakan untuk menghukum kanak-kanak di bawah umur sepuluh tahun. Merotan kanak-kanak yang tidak mempunyai kematangan fikiran dan belum mampu mengerti implikasi tindakan mereka adalah satu penderaan. Merotan juga adalah usaha terakhir untuk mendisiplinkan setelah usaha lain gagal. 

4. Usaha meningkatkan kesedaran dan kepekaan dalam menjaga kebajikan kanak-kanak perlu dilaksanakan secara berterusan. Ibubapa yang didapati mengabaikan anak-anak mereka perlulah diberikan peringatan dan dikenakan tindakan. 

Datin Paduka Hajjah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment