Saturday, 18 April 2015

| INFO | PACE: 17 April - Hari Mengingati Tahanan Palestin

17 APRIL: HARI MENGINGATI TAHANAN PALESTIN

Sejak tahun 1974, rakyat Palestin telah memulakan kempen mengingati dan memperjuangkan nasib saudara-mara mereka yang ditahan dan dipenjarakan secara haram oleh rejim Zionis Israel. Tahun ini merupakan tahun yang ke-41.

Isu tahanan Palestin merupakan salah satu daripada isu besar di Palestin selain serangan dan kepungan ke atas Gaza, pencerobohan Masjid al-Aqsa, pembunuhan, rampasan tanah, kemusnahan harta benda, penafian hak pelarian untuk pulang ke kampung halaman mereka serta dasar diskriminasi dan apartheid Israel.

Statistik daripada Addameer, Prisoner Support and Human Rights Association, menunjukkan bahawa seramai 6000 rakyat Palestin kini meringkuk dalam penjara Palestin. 17 daripada jumlah itu merupakan Ahli Parlimen, 22 wanita dan 163 lagi adalah remaja di bawah 18 tahun. Sebahagian daripada tahanan ini (15 orang) telah dipenjarakan sejak Intifada yang pertama pada tahun 1987!

Sungguhpun menerima tekanan fizikal dan psikologikal yang dahsyat di dalam penjara Israel, semangat perjuangan mereka tetap teguh.

Berikut adalah testimoni salah seorang tahanan Palestin, Saeed Al-ataba Dweilkat yang meringkuk dalam penjara Israel selama 31 tahun sebelum dibebaskan pada tahun 2008:
"...pada satu aspek kami diperlakukan secara brutal, sadis dan penuh tekanan sedang pada aspek yang lain kami dapat bertahan dan memelihara maruah diri, mengekalkan identiti sebagai pejuang dan terus mendepani ujian ini sekaligus menukar penjara kepada sebuah sekolah revolusi."

InsyaAllah sempena kempen tahun ini, PACE akan mendedahkan secara berperingkat derita yang dihadapi para tahanan Palestin untuk makluman kita semua. Teruskan membantu dan mendoakan keselamatan para tahanan Palestin dan ahli keluarga mereka. Mereka sangat memerlukannya. [kj]
____________________

Teruskan bersama PACE untuk isu-isu terkini di Palestin.
‪#‎PrisonersofFreedom‬ ‪#‎PrisonersDay‬ ‪#‎CaptiveDay‬

Sumber: https://www.facebook.com/palestinecentreofexcellence?fref=nf

No comments:

Post a Comment