KOTA
BHARU - Timbalan Ketua Wanita IKRAM, Dr Hafidzah Hj Mustakim dinobat
sebagai Tokoh Wanita Kelantan dalam kategori Kepimpinan dan
Kemasyarakatan dengan menerima Anugerah Saidatina Zainab Khuzaimah dalam
Sambutan Hari Saidatina Khadijah sempena Hari Wanita 2015 peringkat
negeri di sini.
Anugerah dikurniakan oleh YM Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Dato’ Hajjah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Dewan Besar Balai Islam Lundang di sini hari ini.
Selain
Dr Hafidzah, empat tokoh wanita lain turut menerima anugerah
masing-masing dalam kategori Keusahawanan (Siti Aminah Abdul Wahab),
Pendidikan (Prof Dr Siti Amirah Sulaiman), Armalah (Wan Siti Normah Wan
Ishak) dan Orang Kurang Upaya (Hajjah Che Minah Awang) dalam program
anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Dan
Kesejahteraan Rakyat ini.
Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan, YB Hajjah Mumtaz Md Nawi dan isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Hajah Siti Zabidah Abdul Hamid.
Mendapat
pendidikan dalam bidang perubatan di Monash University di Melbourne,
Australia, beliau mula bertugas sebagai doktor perubatan di Hospital
Besar Kuala Lumpur pada tahun 1991 dan di Hospital Universiti Sains
Malaysia di Kubang Kerian pada tahun 1996.
Aktif
dalam Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan kini Wanita Pertubuhan
IKRAM Malaysia (IKRAM), beliau juga terlibat membimbing remaja melalui
pusat bimbingan remaja puteri, Raudhatus Sakinah.
Beliau
juga aktif dalam mengadakan program pembangunan wanita dan remaja
seperti kempen Anda Bijak Jauhi Zina, Solidariti Aman Wanita Malaysia
Memperjuangkan Nasib Rakyat Palestin dan perjuangan wanita di PBB,
selain aktif sebagai penceramah dalam modul pengurusan kesihatan, kursus
pra-perkahwinan, pengendali kursus kaunseling dan kursus pengukuhan
perkahwinan.
Dr
Hafidzah terlibat dalam menyampaikan ceramah bagi program-program
anjuran kerajaan negeri dan beliau juga antara panel penggubal Dasar
Kerajaan Negeri Kelantan bagi Dasar Wanita Negeri Kelantan pada 2001 dan
Dasar Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan pada 2008.
Semoga
anugerah ini memberi inspirasi untuk beliau terus menyumbang bakti
untuk pembangunan wanita, remaja, masyarakat dan negara insya-Allah.



No comments:
Post a Comment