SABITAN bersalah ke
atas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari lepas di Mahkamah Tinggi
Persekutuan turut mendapat reaksi langsung daripada Pertubuhan IKRAM
Malaysia (IKRAM).
Sambil melahirkan rasa simpati kepada
keluarga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan, Presiden IKRAM, Ustaz
Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad dalam kenyataannya pada 12 Februari lepas
menasihatkan rakyat supaya bersabar untuk menegakkan kebenaran dalam
proses demokrasi tanah air ini.
“IKRAM berharap rakyat terus bersabar
dan meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. “IKRAM
ingin memperingatkan bahawa segala kebenaran akan digambarkan oleh Allah
Subhanahu wa Taala di Mahkamah Agung-Nya di mana tiada apa yang boleh
disembunyikan,” jelas Dr. Mohd. Parid.
Kenyataan tersebut menggamit perhatian
banyak pihak, sehingga ada yang bertanya, apakah IKRAM ini adalah sebuah
pertubuhan politik?
Ikuti wawancara wartawan akhbar Buletin Mutiara
(BM), ZAINULFAQAR YAACOB dengan Yang di-Pertua IKRAM Pulau Pinang, Ir. Jamaluddin Abdullah, 50, (JA) di pejabatnya di sini baru-baru ini.
BM : Adakah IKRAM ini sebuah pertubuhan politik?
JA : Bukan pertubuhan
politik, tapi sebuah NGO dakwah, tarbiyyah dan kebajikan. IKRAM ini
adalah pertubuhan yang prihatin dengan kehidupan bermasyarakat, sejajar
dengan cara hidup Islam, berlandaskan kepada Al-Quran, as-Sunnah, Ijmak
dan Qias. IKRAM ini ditubuhkan pada 22 Oktober 2009, dengan keahlian
kira-kira 5,500 di peringkat nasional, yang mana mereka ini terdiri
daripada pelbagai pertubuhan, antaranya, Pertubuhan Jamaah Islah
Malaysia (JIM), Musleh, Aqsa Syarif, Medical Interest Group (MIG),
Majlis Syura Muslimun (MSM) UK dan Ireland (kini dikenali IKRAM UKE) dan
Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS).
Di Pulau Pinang, kita ada 652 ahli sekarang. Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan
Ketua Menteri I), Mohd. Tuah Ismail (Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan
Undangan Negeri Pulau Betong), Mohd Bakhtiar Wan Chik (Ahli Majlis bagi
Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) merupakan antara ikon
pertubuhan-pertubuhan yang saya sebutkan tadi, kini, mereka aktif dalam
organisasi parti politik dan Kerajaan Negeri di Pulau Pinang.
Seorang lagi, Syed Ibrahim Syed Noh di
Selangor, iaitu bekas Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia
(MAFREL) pun kini menyertai sebuah parti politik di Selangor.
IKRAM dianggap sebagai pertubuhan
politik mungkin kerana ada begitu ramai bekas ikon pertubuhan-pertubuhan
tersebut kini aktif dalam wadah politik. Bagaimanapun, IKRAM sehingga kini secara langsung menyertai MAFREL. Ini, berdasarkan (resolusi) kita, iaitu
“berjuang melalui proses demokrasi dengan pendekatan aman serta menolak
sebarang bentuk keganasan”, yang diluluskan dalam Dewan Perwakilan
Nasional (DPN) pada bulan Disember tahun lepas.
BM : Adakah reaksi kepada isu Anwar Ibrahim ini berpijak pada resolusi DPN ini?
JA : Sebelum Anwar ke penjara lagi pun, IKRAM telah menyertai MAFREL kerana komitmen kita dalam memulihkan sistem demokrasi ini.
Ini amalan Islam sebagaimana dalam
firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “…Dan sekiranya Allah tidak menolak
(keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah
telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah
orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama
Allah…” [Surah Al-Hajj: 40] Inilah, maksud “semak dan imbang”, inilah
Islah (pemuliharaan) demokrasi.
IKRAM mahu terus berperanan sebagai NGO
yang bebas (serta menjadi) agen semak dan imbang kepada semua pihak,
tanpa mengira ideologi politik.
Sebagai contoh, IKRAM baru-baru ini
memberi nasihat secara langsung kepada seorang pemimpin Kerajaan Negeri
untuk memberi nasihat berhubung pandangan salah non-Muslim dalam isu
kewajipan wanita Islam memakai tudung.
Yang paling penting bagi IKRAM adalah
Malaysia terus aman, menjunjung syiar Islam serta memulihkan sistem
demokrasi yang lebih sihat dan adil, sebagaimana dijamin dalam
Perlembagaan Malaysia, walaupun kita rakyat majmuk.
BM : Selain usaha memulihara sistem demokrasi, apa lagi aktiviti IKRAM?
JA : Dari segi dakwah, IKRAM melalui Hidayah Centre giat melaksanakan dakwah kepada nonMuslim di Pulau Pinang ini.
Selain itu, kita ada juga buat Street
Dakwah dengan kerjasama beberapa NGO lain, serta Pejabat Exco Hal Ehwal
Agama Islam (Dato’ Abdul Malik Abul Kassim).
Kita juga ada mengadakan beberapa majlis
penerangan mengenai keindahan Islam. Majlis penerangan (NGO) ABIM
(Angkatan Belia Islam Malaysia) mengenai status qazaf dalam isu Datuk
Seri Anwar Ibrahim pun, kita (IKRAM) sertai baru-baru ini di Pulau
Pinang.
Usrah, muqayyam (perkhemahan), ijtimak
(perhimpunan ahli), majlis ilmu, qiyammullail (membangunkan malam dengan
ibadah), daurah (program latihan) antara tarbiyyah IKRAM untuk
membentuk jatidiri ahli.
Kebajikan, macam misi bantuan banjir ke
Kalantan, kita buat baru-baru ini. Selain itu, kita anjur Bingkisan
Ramadan untuk fakir miskin, program membela OKU (orang kurang upaya) dan
banyak lagi.
Kita juga ada program pendidikan, iaitu
Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Al-Itqan di Teluk Kumbar. Satu lagi,
Sekolah Tahfiz Arab Al-Islah di Tasek Gelugor.
Nak sertai IKRAM mudah, hanya isi borang
pertubuhan sahaja atau datang ke pejabat pertubuhan di NO. 21, Tingkat
2, Lorong Kelasah 1, Taman Kelasah dekat Seberang Jaya.
BM : Sebagai akhir, apa harapan IKRAM khususnya di Pulau Pinang?
JA : Sebagai NGO
dakwah, kita berharap suatu peruntukan daripada bukan sumber zakat boleh
disalurkan kepada IKRAM untuk membantu pembangunan pendidikan dan
dakwah kami, sebagaimana yang selalu dibincangkan dengan wakil Kerajaan
Negeri.
Sesungguhnya, IKRAM senantiasa berusaha
untuk mendaulatkan Islam di Malaysia pada tahun 2020, iaitu Islam
sebagai rahmatulil’alamin (Rahmat Ke Seluruh Alam).
Sebab itu, IKRAM begitu komited dalam memulihkan sistem demokrasi tanah air supaya lebih sihat dan adil.
Kita sangat memahami realiti Pulau
Pinang yang majmuk, dan akan terus berusaha untuk mendidik masyarakat
mengenai keindahan nilai Islam yang sebenar melalui pendekatan dakwah,
tarbiyyah dan kebajikan.
BIODATA: Ir. Jamaludin
Abdullah, merupakan Jurutera Perunding Profesional merangkap Pengarah
Urusan Ilham Jurutera Sdn. Bhd.. Beliau sudah berkeluarga dan mempunyai
tujuh cahaya mata. “Amal Islami, buat baik dengan semua orang” merupakan
prinsip hidup personaliti dakwah berkenaan.

No comments:
Post a Comment