Oleh:
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Himmah
boleh diertikan sebagai sesuatu yang mendorong seseorang untuk
melakukan sesuatu perbuatan atau mengambil sesuatu tindakan. Himmah ada
yang tinggi dan ada yang rendah. Himmah aaliah adalah himmah yang
tinggi.
Salah
seorang soleh berkata: Jagalah himmahmu kerana himmah merupakan
muqaddimah kepada segala sesuatu. Jika himmah itu baik dan benar,
baiklah amalan yang mengekorinya.
Himmah terletak di dalam hati
Himmah
adalah amalan hati. Hati seseorang tidak boleh dikuasai oleh orang lain
daripada tuannya. Sebagaimana burung yang terbang tinggi dengan dua
sayapnya, begitulah seseorang itu terbang dengan himmahnya. Dia meluncur
laju mencapai ufuk paling tinggi, lepas bebas dari segala belenggu yang
melingkungi jasadnya.
Kata
Ibn Qutaibah: Orang yang mempunyai himmah, andainya dia jatuh dia tidak
akan mengalah, laksana pucuk api. Sekalipun dihembus tetap akan
menjulang tinggi.
Himmah mukmin menyampaikannya ke destinasi lebih dahulu daripada amalnya
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa ber’hamma’
dengan kebaikan tetapi dia tidak melakukannya, Allah tulis himmah itu
di sisiNya satu kebaikan sepenuhnya.” Riwayat al-Bukhari.
Sabdanya
lagi maksudnya: “Sesiapa yang meminta kepada Allah syahadah (mati
syahid) dengan benar, Allah sampaikannya ke manzilah (darjat) syuhada’
sekalipun dia mati di atas tilamnya.” Riwayat Muslim
Di
kesempatan lain, Rasulullah s.a.w. bersabda mengenai orang yang telah
membuat persiapan untuk pergi berjihad, kemudian dia meninggal sebelum
berangkat, sabda baginda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah
kurniakannya ganjaran mengikut kadar niatnya.” Riwayat Ahmad.
Baginda
juga bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang mukmin yang telah berniat
untuk solat malam, lalu dia ditewaskan oleh tidur, melainkan ditulis
untuknya ganjaran solatnya. Dan tidurnya itu menjadi sedekah untuknya.”
Riwayat an-Nasa’e dan Abu Daud
Keistimewaan mereka yang mempunyai himmah yang tinggi
i.
Sedia berkorban. Sesungguhnya orang yang memiliki himmah yang tinggi
sedia berkorban apa saja demi mencapai matalamatnya dan merealisasikan
cita-citanya kerana dia yakin bahawa kemuliaan dipagari dengan
kesukaran, kesenangan tidak akan tercapai tanpa kesulitan. Seorang
penyair bermadah:
Katakan kepada orang yang mengharap pada ketinggian
Tanpa berpenat lelah, anda sebenarnya mengharap pada perkara yang mustahil.
Penyair yang lain pula menukilkan madah yang menggambarkan ketinggian himmahnya:
Kesedihan hatiku tidak akan luntur
Selagi aku tidak menerima berita gembira amalku diterima
Dan aku dapat mencapai kitabku dengan tangan kanan
Dan mataku belum menatap wajah Rasul.
Orang
yang mempunyai himmah aaliah meluncur dengan penuh yakin, kuat dan
pantas memburu matlamat yang jelas meredah segala rintangan tanpa
keluhan bak kata pepatah membujur lalu melintang patah.
Nabi
s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang takut, dia akan berjalan
dengan pantas. Sesiapa yang berjalan dengan pantas dia akan segera
sampai ke destinasinya. Ketahuilah bahawa barangan Allah itu mahal.
Ketahuilah bahawa barangan Allah itu adalah syurga.” Riwayat at-Tirmiz.
Firman
Allah Ta’ala bermaksud: “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan
berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang
layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian
keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.” (Al-Isra’:19)
ii.
Tidak akan merombak tekadnya. Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk
membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Aali Imran:159)
Seorang
tokoh bernama Ja’far al-Khaladi al-Baghdadi berkata: “Aku tidak pernah
bertekad untuk lakukan sesuatu kerana Allah, kemudian aku
memungkirinya.”
iii.
Sangat menjaga waktu. Daripada Mu’az bin Jabal r.a. Rasulullah s.a.w.
bersabda maksudnya: “Tidak ada yang disesali oleh ahli syurga melainkan
saat-saat yang berlalu tanpa diisi dengan zikrullah.” Riwayat al-Baihaqi
dan at-Tabrani, dikategorikan sebagai dhaif.
Orang
yang mempunyai himmah aaliah tidak akan membiarkan masa berlalu tanpa
diisi dengan perkara berfaedah. Ini digambarkan dalam serangkap syair
mereka yang memiliki himmah aaliah:
Apabila berlalu satu hari aku tidak menghasilkan sesuatu
Dan tidak menambah sebarang ilmu,
Maka hari itu tidak dihitung sebagai umurku
iv.
Tidak berpuas hati kecuali mendapat syurga. Pemilik himmah aaliah tidak
mengejar sesuatu yang fana, hidup yang sementara.Sebaliknya dia
sentiasa mencari kebahagiaan yang tinggi, hakiki dan abadi.Dia
mengetahui nilai dirinya.Lantas dia memeliharanya dari terjerumus ke
lembah yang hina, sesat di belantara dunia yang menggoda.Dia adalah
makhluk yang dimuliakan Allah dengan akal dan agama yang diredhaiNya.
Tidak mungkin akan ditukar kemuliaan dengan kehinaan.
Nas-nas berkaitan dengan himmah aaliah
- Allah mencela orang tidak mempunyai himmah dan menggambarkan mereka dengan gambaran yang sangat menjelikkan. “Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.” (Al-A’raf: 175-177)
- Allah memuji pula orang yang mempunyai himmah yang tinggi yang dipelopori oleh para Nabi dan Rasul. “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulul Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu);…” (Al-Ahqaf:35)
- Mereka disifatkan sebagai ‘rijal’ yang mempunyai kemahuan yang kental, kuat berpegang kepada agama, gigih melakukan kebaikan dan istiqamah di dalam ketaatan kepada Allah. “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab:23)
- Allah menggalakkan para mukminin agar bersegera dan berlumba-lumba ke arah kebaikan. “…Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Al-Maidah:48)
- Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sekiranya berlaku qiamat, dan ketika itu di tangan kamu ada anak benih, sekiranya kamu mampu untuk menanamnya, tanamlah!” Riwayat Muslim. Baginda juga bersabda maksudnya: “…. Apabila kamu memohon kepada Allah, pohonlah al-Firdaus kerana ia syurga paling tengah dan paling tinggi. Di atasnya ‘Arasy ar-Rahman dan darinya terpancar sungai-sungai syurga.” Riwayat al-Bukhari.
Bidang-bidang yang memerlukan himmah aaliah
- Menuntut ilmu. Nabi Musa a.s. merupakan sebaik-baik contoh ketika baginda berazam untuk berjalan walaupun terpaksa melintas waktu yang lama untuk menuntut ilmu dengan Khidhir a.s. “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun.” (Al-Kahf:60)
- Dalam ibadah. Al-Hasan al-Basri berkata: “Sesiapa yang mengejar kamu dalam urusan agamamu, maka kejar dia kembali. Dan sesiapa yang mengejarmu dalam urusan dunia, maka lemparkan saja ke atas tengkuknya.” Al-Wahib bin al-Ward pula berkata: “Sekiranya kamu mampu bahawa tiada siapa yang mendahuluimu dalam mendekatkan diri kepada Allah, lakukanlah!”
- Dalam mencari kebenaran. Banyak contoh-contoh yang boleh dipelajari daripada sirah orang-orang dahulu dan kemudian. Antaranya kisah Salman al-Farisi, Abu Dzar al-Ghifari dan lain.
- Di dalam dakwah. Ini jelas tergambar pada kegigihan para Nabi a.s. terutama Nabi Muhammad s.a.w., Nabi Nuh dan lain-lain.
- Di dalam jihad. Sejarah mencatatkan betapa kegigihan dan kesungguhan Rasulullah s.a.w. serta para sahabat r.a. di medan jihad menyebar dan mempertahankan Islam sehingga baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga itu terletak di bawah bayangan pedang-pedang”. Riwayat Ahmad dan Muslim
Sesungguhnya
mereka yang memiliki himmah aaliah sahaja yang mampu bertahan dalam
perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Merekalah yang boleh
diharapkan merubah pemikiran dunia dan mengalih aliran kehidupan.
Bilangan mereka tidak ramai, tetapi merekalah yang akan menarik umat ini
segera bangkit dari tidur yang lena dan mimpi yang panjang.
No comments:
Post a Comment