BUKIT BERUNTUNG - Timbalan
Presiden IKRAM, Ustaz Hj Hasanuddin Mohd Yunus menggesa ahli-ahli IKRAM
supaya giat berusaha meneruskan tarbiah untuk melahirkan lebih ramai
generasi yang soleh serta berupaya meyakinkan masyarakat bahawa
keindahan Islam mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah.
Beliau berkata demikian ketika Daurah “Malaysia Menuju Negara Rahmah” di
Dewan Abu Bakar, Pejabat IKRAM Hulu Selangor pada Ahad 19 April lalu di
sini, bagi menghadapi isu perkauman yang menjadi perangkap yang
dipasang oleh penjajah untuk memecah belahkan masyarakat di Malaysia.
Turut
hadir dalam daurah tersebut Timbalan Yang Dipertua IKRAM Hulu Selangor,
Ir Hj Ariffin Abdul Manaf dan ahli-ahli IKRAM Hulu Selangor yang
memenuhi dewan tersebut.
Menurut
Ustaz Hasanuddin, bagi mencapai gagasan Malaysia Menuju Negara
Rahmah, ahli IKRAM perlu berpegang kepada firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (Al-Anbia’: 107)
Tambah
beliau, salah satu elemen yang perlu ada sebelum mencapai Negara Rahmah
ialah prinsip keadilan seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah
ayat 8 yang bermaksud:
“Wahai
orang-orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang
yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran;
“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatau kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
“Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa.
“Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.”
Oleh
kerana umat Islam adalah duta kepada Islam, mereka perlu bersikap adil,
sensitif dan melibatkan diri dengan masyarakat. Menurutnya, perlakuan
umat Islam yang tidak menuruti neraca keadilan seperti ayat di atas
akan menyebabkan Islam ditolak oleh bukan Islam.
Menurut
beliau lagi, IKRAM sentiasa menilai kaedah-kaedah penyampaian dakwahnya
dan ahli IKRAM disaran menyampaikan dakwah dengan salah satu kaedah
bagi menjayakan visi dan misi IKRAM berpandukan hadis Rasulullah SAW
yang bermaksud: “Berbicaralah dengan manusia menurut kadar kemampuan mereka.” (HR Bukhari)
Di
samping menggunakan pelbagai pendekatan dakwah ketika berhadapan dengan
pelbagai latar belakang masyarakat, ahli IKRAM diseru agar melakukan
amal yang tinggi darjatnya seperti yang digariskan dalam Surah Al-Balad
ayat 12-16 dan seterusnya menjauhi sifat orang yang mendustakan agama
seperti yang digariskan dalam surah Al-Maa’uun.
Beliau
turut menggariskan beberapa elemen penting yang lain untuk dilaksanakan
oleh ahli IKRAM bagi mencapai Negara Rahmah iaitu:
- Mengajak manusia untuk berfikir dan memerdekakan diri daripada perhambaan sesama manusia
- Mengeluarkan orang bukan Islam daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam
- Mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat
Semoga
perkongsian ini dapat meningkatkan lagi kefahaman dan komitmen ahli
IKRAM untuk mencapai visi dan misi IKRAM, seterusnya menjayakan agenda
Malaysia Menuju Negara Rahmah, insya-Allah.
Sumber: http://bit.ly/1GdgRnk
Foto Daurah: http://on.fb.me/1HOBGHW
No comments:
Post a Comment