KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
13 Mac 2015 bersamaan 22 Jamadilawal 1436H
IKRAM SARAN KERAJAAN BINA EKONOMI NEGARA ATAS LANDASAN SYARIAH
IKRAM SARAN KERAJAAN BINA EKONOMI NEGARA ATAS LANDASAN SYARIAH
Kerajaan
Malaysia akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1
April 2015 pada kadar enam peratus untuk menggantikan cukai jualan dan
perkhidmatan.
Sistem cukai yang akan dilaksanakan ini telah dibentangkan
dalam Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di
Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013.
Secara
umumnya, kita mengetahui perbelanjaan negara kita belakangan ini tidak
diurus dengan baik. Ini mendorong kerajaan Malaysia untuk mengenakan
GST. Namun begitu, sekiranya perbelanjaan umum tidak dapat dikawal
dengan baik, GST tidak akan mampu menyelesaikan masalah kewangan negara
dalam jangka masa panjang. Kita telah dapat melihat pelbagai reaksi
berkaitan keputusan kerajaan ini.
Pertubuhan IKRAM Malaysia berpandangan bahawa GST itu tidak haram
secara mutlak. Ia dibolehkan dalam beberapa keadaan. GST perlu dinilai
daripada aspek prosedur dan kesan pelaksanaannya sama ada ia patuh
syariah atau sebaliknya.
Terdapat
lapan syarat yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan sebelum memungut
cukai daripada rakyat berdasarkan pandangan Imam al-Syatibi dalam
kitabnya Al-I’tisam dan Imam al-Haramain al-Juwainy dalam kitabnya Al-Ghiyasi, iaitu:
- Wujud keperluan umum yang mendesak dari sudut pandangan syarak.
- Perbendaharaan negara tidak mampu memenuhi keperluan ini atau dijangka tidak mampu memenuhinya.
- Sesudah perbelanjaan mewah atau pembaziran dihentikan terlebih dahulu.
- Setelah masyarakat digalakkan untuk menyumbang.
- Pungutan cukai mestilah sekadar keperluan.
- Pungutan cukai hendaklah dilakukan secara adil dan saksama.
- Ia diambil dari lebihan keperluan setahun orang yang dicukai.
- Ia dibelanjakan untuk tujuan ianya telah dipungut.
Pertubuhan
IKRAM Malaysia menyarankan kerajaan Malaysia untuk mengawal
perbelanjaan dengan lebih teliti dan bijaksana. Pada masa yang sama,
rakyat Malaysia perlu diberi pendidikan dan kesedaran untuk membantu
kerajaan mengawal perbelanjaan.
Pada
jangka masa panjang, kita mengharapkan nilai-nilai Islam diterima ramai
dan mewarnai kehidupan rakyat Malaysia yang mana rakyat berlumba-lumba
untuk menyumbang secara sukarela untuk membantu kerajaan sehinggakan
tidak perlu lagi kepada pungutan cukai.
IKRAM
mengakui bahawa sistem ekonomi dan kewangan Malaysia mempunyai
keupayaan yang mapan dan kemas tetapi ia perlu mengutamakan
prinsip-prinsip syariah dalam pengurusannya terlebih dahulu untuk
memberi kesan yang positif kepada rakyat.
Pelaksanaan
ini memerlukan pentadbir awam yang berdisiplin dan amanah untuk
menghasilkan kesan yang baik kepada negara dan menyebarkan kebaikan
keatas seluruh rakyat. Malaysia perlu mengembangkan keupayaan dan daya
(capability & ability) yang didukung oleh prinsip-prinsip syariah
kepada yang lebih baik untuk menjadi negara contoh.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
President
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment