1. Hari ini seluruh dunia merayakan Hari Ibu. Wanita Pertubuhan
IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua ibu-ibu di
mana jua mereka berada.
2. Hakikatnya hari-hari adalah hari ibu
bagi semua kita. Kita mengambil iktibar dari kisah ‘Abd Allah ibn ‘Amr
radhiallahu 'anhu yang menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:
“Sesungguhnya aku
datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk
berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan
menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya:
“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa
(gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”
(Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai)
3. Sambutan Hari Ibu tahun ini
kita rayakan dalam suasana terkejut dan terharu dengan berita salah
seorang anak bangsa kita pelajar genius matematik yang dipenjara lima
tahun di London kerana memiliki 30 ribu bahan lucah kanak-kanak.
4. Kami melihat peristiwa ini sebagai satu petanda ancaman kecelaruan
seksual songsang yang sedang melanda masyarakat khususnya anak-anak
kita.
Ibubapa hari ini, perlu secara sedar peka kepada cabaran dan ancaman yang sedang dihadapi dalam mendidik generasi hari ini.
Kita perlu terus berusaha menjalankan tugas-tugas pencegahan mendidik
anak-anak kita melalui pendidikan reproduksi dan seksual berteraskan
lunas-lunas agama bermula di rumah.
Anak-anak perlu diawasi kecenderungan seksual mereka di semua peringkat kehidupan.
Secara umum pedofilia (kecenderungan seksual kepada kanak-kanak) lebih
mudah terjadi kepada orang lelaki maka ibu dan bapa mestilah berganding
bahu dalam memainkan peranan mendidik dan menghalakan perkembangan
seksual anak lelaki kita secara sihat.
Hanya pendidikan holistik
menekankan aspek spiritual dan keimanan , emosi, intelek, sosial dan
fizikal yang akan membantu anak-anak berhadapan dengan pelbagai cabaran
kehidupan hari ini.
5. Pihak berkuasa dan anggota masyarakat juga
digesa untuk meningkatkan usaha dalam membenteras pornografi dan
kelucahan dalam semua media.
Pada tahun 2013 pakar perlindungan
anak mengingatkan adanya trend pedofilia di Internet yang menggunakan
webcam yang dihubungkan Internet untuk mengakses anak-anak di negara
yang membangun.
Pusat Perlindungan Eksploitasi Anak dan Online
(Child Exploitation and Online Protection Centre) yang berpengkalan di
United Kingdom pada tahun 2012 menerima laporan berkaitan 70 ribu video
dan gambar lucah kanak-kanak yang disebarkan di internet, atau dua kali
ganda dari tahun sebelumnya).
6. Wahai Ibu, bukankah wajar untuk
kita juga melipat gandakan penguatkuasaan peraturan dan pemantauan gajet
dan akses internet anak-anak bermula di rumah kita?
7. Akhirnya
untuk sambutan Hari Ibu 2015, Wanita IKRAM Pusat menyatakan sokongan
kepada aktiviti sambutan Hari Ibu yang dijalankan Wanita IKRAM peringkat
Negeri dan Daerah mengikut kreativiti masing-masing .
Secara
khusus kami menyatakan sokongan kepada usaha pembelaan nasib masyarakat
terpinggir termasuk ibu tunggal dan ibu tinggal seperti usaha yang
dilaksanakan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Selangor meraikan ibu-ibu yang
kurang bernasib baik dalam Hi-Tea Istimewa Hari Ibu .
8. Selamat Hari Ibu. Kitalah Pencorak Keperibadian Generasi.
Datin Paduka Hajjah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment