Isu
1MDB semakin hangat dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat.
Terkini ialah kebimbangan rakyat bahawa dana Tabung Haji telah digunakan
untuk menyelesaikan masalah kewangan 1MDB.
Di
samping tanah berjumlah RM188 juta yang telah dibeli oleh Tabung Haji,
ada juga laporan menyatakan bahawa Tabung Haji juga telah membeli sukuk
berjumlah RM1.6 billion yang telah dikeluarkan oleh 1MDB.
Yang
membimbangkan orang ramai ialah terdapat beberapa individu yang sama
yang memegang jawatan tinggi dalam Tabung Haji dan juga di dalam 1MDB.
Mereka terlibat secara langsung dengan keputusan urusniaga tersebut.
Dengan
itu, timbul persoalan sama ada mereka memikirkan kepentingan pendeposit
Tabung Haji (yang terdiri dari berbagai lapisan masyarakat termasuk
yang berpendapatan rendah dan miskin) atau kepentingan 1MDB. Ini adalah
satu perkara yang serius dan akan menjejaskan kewibawaan Tabung Haji
sebagai institusi kewangan masyarakat Islam di negara ini.
Punca
utama kepada kemelut ini sebenarnya adalah keadaan kewangan 1MDB yang
dilaporkan dalam keadaan yang tenat dan mempunyai beban hutang yang
sangat besar iaitu lebih dari RM42 billion.
Oleh
itu, sebarang urusniaga yang melibatkan 1MDB dipandang serong oleh
hampir kesemua lapisan masyarakat. Sebenarnya jika keadaan kewangan 1MDB
adalah tidak setenat yang dilaporkan, tentu sekali urusniaganya dengan
badan lain termasuk Tabung Haji tidak akan mengundang kontroversi.
Tambahan
pula, perkara yang membimbangkan banyak pihak ialah status 1MDB itu
sendiri iaitu sebuah syarikat yang bukannya milik persendirian tetapi
adalah milik penuh kerajaan Malaysia. Oleh itu, sebahagian dari beban
hutangnya yang berjumlah puluhan billion itu dibimbangkan akhirnya akan
terjatuh ke atas bahu-bahu rakyat juga.
Satu
pengajaran yang boleh diambil dari episod ini ialah perlunya rakyat
peka terhadap amalan kerajaan dan semua entiti miliknya gemar berhutang
untuk menjalankan aktiviti. Hutang kerajaan dan entiti miliknya yang
menghadapi masalah tidak akan ditanggung oleh pengurus entiti tersebut
sahaja atau pun oleh pemimpin politik negara. Tetapi beban hutang
tersebut akan ditanggung oleh rakyat juga akhirnya.
Akibatnya
golongan miskin, lemah, kurang upaya dan berpendapatan lemah juga
terpaksa membantu menyelesaikan masalah kewangan kerajaan sama ada
dengan pengunaan dana dari entiti yang berkait dengan kerajaan, atau
melalui cukai yang dibayar termasuk cukai GST.
Ini adalah satu situasi
yg sangat tidak adil. Kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan ini
bukannya tidak berasas kerana ianya telah pun berlaku di beberapa negara
lain termasuk UK dan Jepun.
Di
Jepun, cukai 'penggunaan' (lebih kurang sama kaedahnya dengan cukai
GST) dulu hanya ditetapkan pada kadar 5% sahaja. Tetapi akibat dari
beban hutang kerajaan Jepun yang tinggi iaitu lebih dari 220% berbanding
KNK negara tersebut, maka kerajaan Jepun telah meningkat kadar tersebut
ke 8% dua tahun lepas. Baru-baru ini kerajaan Jepun mengumumkan kadar
tersebut akan dinaikkan lagi menjadi 10% dalam masa dua tahun akan
datang.
Di
UK, kadar cukai tambah nilai (atau VAT, iaitu yang sama kaedah dengan
GST di Malaysia) telah lama dinaikkan menjadi 20% bagi kebanyakan produk
dan perkhidmatan untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan kerajaan
UK.
Sebenarnya,
kemungkinan kerajaan Malaysia menaikkan kadar GST lagi pada masa akan
datang adalah amat tinggi kerana jumlah hutang kerajaan sentiasa
meningkat dari setahun ke setahun dan diramalkan oleh IMF akan menjadi
RM1 trillion pada tahun 2020.
Oleh
itu, rakyat tidak ada pilihan lain melainkan berusaha menyekat beban
hutang kerajaan dan semua entiti di bawah kawalannya dari terus
meningkat. Sebarang defisit dalam belanjawan akan menambahkan lagi
kepada beban hutang kerajaan.
Akhirnya,
yang akan menanggung beban hutang tersebut adalah kita semua. Jika kita
masih tidak mahu berbuat sesuatu, maka bersedialah dengan senario
kenaikan kadar cukai GST pada masa akan datang.
Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM
No comments:
Post a Comment