KUALA
LUMPUR - Umat Islam tidak sepatutnya hadir ke perayaan keagamaan
seperti Sambutan Thaipusam untuk mengelakkan fitnah, menurut Pengerusi
Hidayah Centre Foundation (HCF), Hj Nicholas Sylvester mengulas
kehadiran beberapa orang Islam ke perayaan tersebut untuk menunjukkan
kasih sayang kepada penganut agama Hindu baru-baru ini.
“Sambutan
Thaipusam dalam konteks Malaysia adalah perayaan keagamaan, maka
aktiviti-aktiviti tersebut tidak sepatutnya dilakukan di tempat dan masa
tersebut kerana ia bertentangan dengan garis panduan yang dikeluarkan
hasil Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaa, Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005,”
jelasnya dalam satu kenyataan HCF.
Tambahnya, ia adalah untuk mengelakkan fitnah kerana kehadiran beberapa orang Islam pada perayaan Thaipusam akan disalah tanggap sebagai bersekongkol dan meredhai sembahan selain daripada Allah subhanahu wata'ala.
Namun,
sifat untuk saling mengenali, memahami dan berbuat baik kepada sesama
manusia adalah sifat-sifat kemanusian yang dianjurkan oleh Islam,”
jelasnya lagi.
Katanya,
HCF menyeru masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menentang segala
bentuk sikap tidak bertoleransi, ketaksuban, kebencian dan provokasi
sama ada dalam bentuk kaum atau agama daripada meresapi masyarakat.
“Sebagai
sebuah NGO yang komited dalam menjalin hubungan baik dengan orang-orang
bukan Islam, HCF menyeru supaya masyarakat Islam melangkah ke hadapan
untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni di Malaysia
berdasarkan 'Negara Rahmah' yang didukung oleh prinsip-prinsip syariah,”
kata beliau.
Beliau memetik firman Allah dalam surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutuskanmu (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat kepada seluruh alam.”
Beliau turut memetik surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:
"Hai
manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang
laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling
mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."
Tambahnya
lagi, Islam sebagai agama yang menganjurkan keamanan tidak melarang
penganutnya saling mengenali, memahami, berbuat baik dan berlaku adil
kepada penganut-penganut agama lain, apatah lagi jika wujud pertalian
keluarga antara orang Islam dan bukan Islam.
Beliau percaya bahawa jalan ke hadapan bagi menyelesaikan isu kefahaman antara agama adalah melalui pendidikan dan dialog.
“Dengan
inisiatif ini, menjadi harapan kami agar usaha-usaha ini akan dapat
menghasilkan masyarakat Malaysia yang lebih harmoni, berkasih sayang dan
inklusif,” ujarnya.
Sumber: http://ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=1209%3Ahidayah-centre-jawab-polemik-i-am-muslim-i-love-hindus-ketika-perayaan-thaipusam&catid=1%3Aberita-pusat&Itemid=9
Sumber: http://ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=1209%3Ahidayah-centre-jawab-polemik-i-am-muslim-i-love-hindus-ketika-perayaan-thaipusam&catid=1%3Aberita-pusat&Itemid=9
No comments:
Post a Comment