9 Februari, KUALA
SELANGOR - Pihak delegasi Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam yang
turut disertai pegawai Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal
Ugama melahirkan rasa kagum dengan sistem pentaksiran pelajar
IKRAM-MUSLEH yang berasaskan penghayatan.
Puan
Hajijah Haji Moktal, Pemangku Penolong Pengarah, Bahagian Profesional
Jabatan Pengajian Islam berkata, sistem pentaksiran yang dilaksanakan di
sekolah-sekolah IKRAM-MUSLEH lebih menekankan kepada penghayatan agama
di samping penilaian terhadap akademik.
“Itulah
sebenarnya yang perlu diberi penekanan dalam pendidikan Islam
sebenarnya, penghayatan kepada agama itu,” jelasnya semasa melawat
Sekolah Menengah Islam Hira’ pada Rabu 4 Februari lalu di sini.
Tambah
beliau, pihaknya selama ini hanya menilai dari segi akademik seperti
bagaimana solat dan sebagainya tetapi bukan lebih mendalam hingga
merangkumi penghayatan dari segi akhlak. Beliau turut mendapati adanya
sesi pementoran dengan mentee dalam sistem pentaksiran yang
dilaksanakan oleh IKRAM-MUSLEH di sekolah-sekolahnya.
“Itulah yang masih belum ada dengan kami, jadi pelaksanaan itu yang ingin kami ketahui macam mana pelaksanaannya,” ujarnya.
Menurut
Hajijah lagi, sistem pentaksiran IKRAM-MUSLEH yang terperinci seperti
dalam aspek ibadah dan akidah contohnya, banyak membentuk faktor dalaman
pelajar dalam aspek spritual dan membentuk peribadi pelajar, sesuai
dengan objektif untuk melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah rabbani.
Dengan
percambahan idea semasa lawatan ini, pihak Jabatan Pengajian Islam dan
rakan strategiknya dari Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian
Pendidikan Brunei akan bersama-sama merancang untuk menggarap sistem
tersebut mengikut kesesuaian budaya dan falsafah pendidikan di Brunei.
Beliau
turut mengalu-alukan pihak IKRAM-MUSLEH untuk mengadakan lawatan ke
sekolah-sekolah jabatan tersebut di Brunei di samping mengadakan
kerjasama untuk mengadakan pelbagai aktiviti ko-kurikulum seperti
pertandingan debat dan sebagainya.
Pegawai
Pelajaran Kanan Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan
Brunei, Haji Mohamad Yusuf Haji Tengah yang merupakan ketua delegasi
berkata, IKRAM-MUSLEH mempunyai banyak pencapaian dan kejayaan yang
diperolehi, bukan sahaja dalam aspek akademik, tetapi juga bukan
akademik (ko-kurikulum) termasuk pencapaian di dalam dan luar negeri.
“Pencapaian
IKRAM-MUSLEH ini sangat membanggakan, maka dari itu, pihak jabatan
ingin melihat lebih dekat lagi bagaimana IKRAM-MUSLEH ini boleh
melahirkan sepertimana yang dihasratkan, iaitu insan rabbani,” jelasnya.
Menurut
Pengetua SMI Hira’, Bat Kamaruzzaman Abdul Kadir, pihaknya telah
berjaya untuk berkongsi dengan delegasi Brunei bagaimana sekolah itu
membangunkan pelajar supaya mereka menjadikan sahsiah sebagai satu
perkara yang utama dalam kehidupan mereka.
Beliau
turut berkongsi dengan delegasi tersebut cara pentaksiran dalam aspek
ibadah dan juga akidah yang bersifat abstrak dan sukar untuk dinilai
ataupun diberikan pemarkahan.
Tambah
beliau, SMI Hira’ yang sedang menyambut sambutan 30 tahun penubuhannya,
akan turut melaksanakan dua kursus kurikulum baru iaitu Kurikulum
Bersepadu Tahfiz dan Kurikulum Baru Dini yang menggunakan Bahasa Arab
sepenuhnya untuk pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek agama.
Lagi berita lawatan:
IKRAM ingin menjelaskan bahawa Falsafah Pendidikan Islam (FPI) yang didokongi oleh penggiat Pendidikan Islam termasuk IKRAM berbunyi seperti berikut:? ?"Pendidikan Islam adalah suatu proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang seimbang, menyeluruh, bersepadu dan berterusan".
ReplyDelete