KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
28 Disember 2014 bersamaan 6 Rabiulawal 1436H
IKRAM LANCAR MISI KASIH BANTUAN BENCANA BANJIR
Pertubuhan
IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa simpati yang amat sangat dengan
situasi banjir yang melanda negara ini, terutamanya yang paling teruk
kini di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak. Banjir yang berlaku kali
ini amat luar biasa dan dahsyat berbanding banjir-banjir yang berlaku
sebelum ini, menyamai atau mungkin lebih besar daripada banjir besar
yang berlaku pada tahun 1926.
1.
IKRAM menyarankan agar kita semua sama-sama menerima bencana ini
sebagai suatu ujian dari Allah SWT dan melihatnya sebagai peluang untuk
kita rakyat Malaysia daripada pelbagai latarbelakang agama dan bangsa
supaya bersatu menghadapi dan menanganinya.
2.
Selaras dengan situasi banjir yang semakin meruncing ini, IKRAM
melalui agensi khidmat masyarakatnya iaitu i-Bantu telah dan akan terus
mengambil inisiatif untuk menyusun dan menyelaras usaha-usaha bantuan
bersama-sama agensi-agensinya yang lain seperti IKRAM Health, IKRAM
Siswa dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama
agensi-agensi kerajaan dan swasta, NGO-NGO, kelab-kelab,
rangkaian-rangkaian pasar raya dan orang-orang perseorangan. Sehubungan
itu, Pusat Gerakan Banjir i-Bantu Nasional dan Bilik-bilik Gerakan
i-Bantu Negeri telah diaktifkan di seluruh negara untuk tujuan tinjauan,
penyelarasan dan penyaluran bantuan.
3.
Misi-misi bantuan khas yang disertai para doktor perubatan bersama
bekalan ubat-ubatan dan makanan telah dihantar ke Kelantan, Terengganu,
Pahang dan Perak sejak seminggu yang lepas. Di samping itu,
pasukan-pasukan sukarelawan i-Bantu seluruh negara telah digerakkan bagi
menyalurkan bantuan segera ke kawasan yang terjejas.
5.
Pada fasa yang pertama, semasa berlakunya banjir, tindakan segera
adalah untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat-pusat
pemindahan dan di kawasan-kawasan penempatan di pedalaman. Keperluan
utama seperti makanan asas seperti beras, lauk-pauk, gula, minyak, dan
air minuman perlu dibekalkan. Di samping itu juga ubat-ubatan,
persalinan pakaian, keperluan wanita, selimut, keperluan bayi, dan
makanan ringan kanak-kanak juga seharusnya diusahakan.
6.
Setelah surut banjir, pada fasa yang kedua, apabila mangsa-mangsa
banjir kembali ke kediaman masing-masing, bantuan bagi kerja-kerja
pembersihan diperlukan secara tersusun dan dengan peralatan yang sesuai.
7.
Seterusnya dalam fasa yang ketiga, bantuan bagi pemulihan diperlukan,
supaya mangsa dapat beransur-ansur kembali kepada kehidupan sediakala.
Ini termasuk membaiki kediaman yang rosak dan membina persekitaran yang
lebih kondusif untuk meneruskan kehidupan.
Selain
daripada keperluan fizikal, aspek-aspek sosial dan psikologi juga perlu
diambil kira, kerana ia selalunya memberikan kesan yang lebih mendalam
pada mangsa banjir, terutamanya apabila melibatkan anggota keluarga yang
terkorban atau mendapat kecederaan kekal.
8.
Kerja bantuan dalam ketiga-tiga fasa ini bergantung besar kepada dua
perkara iaitu tenaga sukarelawan dan dana. i-Bantu sedang giat
menggembleng tenaga ahli IKRAM di seluruh negara dan anggota masyarakat
yang prihatin untuk sama-sama menyumbang sebagai sukarelawan.
Pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi Bilik Gerakan i-Bantu Negeri
masing-masing yang boleh dirujuk di laman Facebook i-Bantu.
9.
i-Bantu juga telah melancarkan kempen rayuan dana untuk menampung
keperluan asasi mereka yang terjejas oleh bencana banjir ini. Sejak awal
lagi, i-Bantu telah menerima dan menguruskan dana hasil sumbangan
masyarakat untuk tujuan tersebut.
i-Bantu
amat menghargai sumbangan daripada seluruh warga Malaysia dan merayu
agar sokongan padu ini diteruskan. Sumbangan dalam bentuk kewangan boleh
dihulurkan melalui Tabung Kasih Bencana Banjir i-Bantu (Akaun Maybank:
5621 4240 5154; atas nama “Pertubuhan IKRAM Malaysia”).
10.
IKRAM dan i-Bantu juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas
kerjasama ikhlas yang telah diberikan oleh sektor korporat seperti
Econsave, Firefly, Malindo Air dan AF Jet Company dalam mejayakan
misi-misi bantuan i-Bantu dan pertubuhan bantuan bencana lain.
i-Bantu
mengharapkan kerjasama sebegini dapat diteruskan dan lebih banyak
agensi swasta turut sama terlibat demi membantu mangsa-mangsa banjir
melalui saat yang kritikal ini. Semua ini membuktikan rakyat Malaysia
amat prihatin dan mampu bersama dalam membantu pihak-pihak yang
memerlukan.
11.
Seterusnya, i-Bantu menyeru kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama
berdoa dan melaksanakan solat hajat bagi memohon pertolongan kepada
Allah SWT agar bencana banjir ini segera berakhir dan segalanya
digantikan dengan yang lebih baik.
Prof Madya Ainullotfi bin Abdul Latif
Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat
merangkap Pengarah i-Bantu
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat
merangkap Pengarah i-Bantu
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Laman FB i-Bantu: facebook.com/iBantu.IKRAM.Prihatin
Sumber: http://www.ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=1165%3Aikram-lancar-misi-kasih-bantuan-bencana-banjir&catid=47%3Aperhubungan&Itemid=13
Sumber: http://www.ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=1165%3Aikram-lancar-misi-kasih-bantuan-bencana-banjir&catid=47%3Aperhubungan&Itemid=13

No comments:
Post a Comment