Tuesday, 25 November 2014

| BERITA | Tahniah! Wanita IKRAM Pulau Pinang Muncul Sebagai Juara Dalam Pertandingan Lagu Wanita IKRAM


BANGI - Wanita IKRAM Pulau Pinang menjuarai Pertandingan Lagu Wanita IKRAM dalam Malam Apresiasi Seni Wanita IKRAM (MASWI) 2014 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada Sabtu malam, 7 Jun 2014 yang lalu. Naib Juara pertandingan disandang oleh Wanita IKRAM Negeri Sembilan sementara Wanita IKRAM Selangor di tempat ketiga.

Lagu ciptaan Puan Syalina Ahmad dan lirik oleh Dr Lilis Surienty Abd Talib dan Puan Mardiana Abd Rahim untuk Wanita IKRAM Pulau Pinang ini turut memenangi kategori Persembahan Terbaik sementara bagi kategori Vokalis Terbaik, ia dimenangi oleh Wanita IKRAM Negeri Sembilan.

Sebanyak enam Wanita IKRAM Negeri yang terpilih ke peringkat akhir mempersembahkan lagu masing-masing iaitu Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan (dua lagu), Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

 Acara selingan turut dipersembahkan dengan penampilan istimewa trio dari Sabah, Puan Afizah Datuk Hj Shuhaibun dan anak-anaknya. Kemudian, ia diikuti dengan deklamasi puisi oleh beliau bersama trionya yang bertajuk "Serikandi Hiasan Dunia".


Persembahan kemuncak dan istimewa pula dipersembahkan oleh Nurul Iman Dzulkefly, pengacara TV Alhijrah dengan lagu “Oh Umayrah” daripada album “Aku Ori Bukan Fotokopi”.

MASWI 2014 yang julung kali diadakan oleh Wanita IKRAM yang melihat seni sebagai sebagai salah satu sisi penting bagi meningkatkan semangat dan roh perjuangan wanita Islam, setelah Perhimpunan Ahli Teras Wanita IKRAM (PATWA) berlangsung pada sebelah siangnya.

Tahniah kepada semua pemenang dan pihak penganjur, Wanita IKRAM Pusat yang mengadakan acara ini dengan jayanya.

Thursday, 30 October 2014

| INFO | Puasa Sunat Muharam

Jom manfaatkan 9 dan 10 Muharam ini untuk berpuasa.

"Solat yang lebih utama (afdhal) selepas solat fardhu adalah solat malam, manakala puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram."(Sahih Muslim)

Selamat Berpuasa!

Sunday, 5 October 2014

| BICARA YDP | Perutusan Hari Raya Eidul Adha 1435H

 Ir JAMALUDDIN BIN ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang 
Sempena Hari Raya Eidul Adha 1435H


Segala puji-pujian bagi Allah robb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga dan para sahabat seluruhnya. 

Sambutan Hari Raya Qurban
Seluruh umat Islam akan menyambut  Hari Raya Qurban sebagai memperingati ketaatan Nabi Ibrahim menurut perintah Allah s.w.t. dengan mengorbankan anakandanya Nabi Ismail. Sesungguhnya kisah pengorbanan ini adalah pengorbanan seisi keluarga yakni seorang ibu, seorang ayah dan anak.  Ketika Siti Hajar bersama Nabi Ismail ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di padang gurun yang kering kontang dan tidak berpenghuni. Beliau bertanya, “Adakah ini perintah Allah?”. JIka begitu, Allah akan memelihara kami”. Beliau pasrah dan tunduk kepada Allah s.w.t. 

Wednesday, 2 July 2014

| BERITA | Program CAHAYA ILAHI Ke Udara Bersama Mutiara FM

Cahaya Ilahi disiarkan buat julung-julung kalinya di Mutiara FM (RTM Pulau Pinang) di sepanjang bulan Ramadhan tahun lalu. Program radio ini diterbitkan oleh DJ Nurul Husna, Mutiara FM dengan kerjasama Hidayah Centre Pulau Pinang.

Seramai lapan orang reverts telah berkongsi pengalaman, juga kisah suka duka mereka sebelum dan selepas kembali kepada agama fitrah - Islam.

Alhamdulillah, sekali lagi Cahaya Ilahi bersiaran pada setiap hari Selasa dan Khamis jam 12.30 tengahari di sepanjang Ramadhan tahun ini bermula 1 Julai 2014.

Thursday, 26 June 2014

| BERITA | Ahli Jawatankuasa Media IKRAM Pulau Pinang terkini

Berikut adalah barisan penggerak IKRAMedia Pulau Pinang terkini.

Semoga kami dapat memikul amanah ini sebaiknya....


Monday, 16 June 2014

| BERITA | Suatu hari yang penuh aktiviti untuk aktivis Hidayah Centre, Ahad, 15 Jun 2014

Alhamdulillah... Allah kurniakan kita kekuatan untuk bekerja di hari minggu yang diberkati. AJK Hidayah Centre Pulau Pinang (HCPP) dan sukarelawan telahpun menjalankan beberapa aktiviti pada hari  Ahad 15 jun 2014.

Aktiviti-aktiviti ini adalah antara aktiviti Hidayah Centre Pulau Pinang sepanjang tahun dan akan berterusan selagi diizinkan ALLAH.

Sukarelawan yang gigih bersama dengan Pengarah Program Lawatan Hospital, Encik Rizal

Wednesday, 11 June 2014

| BERITA | Program Lawatan Hospital


Assalamualaikum...
Mungkin ini kali pertama kami memberitakan program ini.. namun hakikatnya, program ini telah lama bertapak di Hospital Besar Pulau Pinang dan telah dijayakan oleh ahli-ahli IKRAM Pulau Pinang  dan sukarelawan yang sudi meluangkan masa.

Sehingga hari ni, alhamdulillah Lawatan Hospital masih lagi bertahan  menjadi aktiviti setiap dua minggu sekali dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Hospital Besar Pulau Pinang.

Semua dijemput hadir, masa lawatan hanya memakan masa 1 hingga 2 jam sahaja, dan selepas itu, semua boleh bersurai.

Program in terbuka kepada semua, yang ingin berdakwah di samping menceriakan pesakit-pesakit yang diziarahi.

Friday, 6 June 2014

| KHUTBAH YDP | Khutbah Pertama di Masjid Kg Banggol pada 6 Jun 2014

Sidang Jumaat yang mulia sekalian,
Saya menyeru diri saya dan sidang Jumaat supaya bertaqwa kepada Allah. Dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangan Nya. Allah tidak memandang kepada banyaknya harta kita, Allah tidak melihat warna kulit dan rupa bentuk kita kerana Allah hanya memuliakan insan yang bertaqwa.
“Sesungguhnya orang mulia di kalangan kamu adalah mereka yang bertaqwa..”

Khutbah pada hari ini akan menyentuh kepada keutamaan dalam menuntut ilmu dan menyebarkannya. Sabda Rasulullah saw:
“Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya, nescaya Dia memahamkan nya dalam agama”

Hadith ini memberi erti bahawa Ilmu merupakan suatu perkara yang amat penting dan amat dititik beratkan di dalam Islam. Semasa awal gerakan Islam oleh Rasul saw, baginda menjadikan agenda keilmuan sebagai misi utama untuk sahabat-sahabatnya ketika itu. Berkumpulnya baginda dan para sahabat di rumah Arqam bin abi Arqam membuktikan ilmu adalah keutamaan dalam berdakwah. Bila ada ilmu, barulah terbentuk iman yang utuh, terbinalah akhlaq yang mulia dan akhirnya penyebaran Islam akan lebih cepat dan meluas.

Sidang Jumaat sekalian,
Dalam pada itu, untuk menggambarkan betapa hebat dan begitu mulia Allah kurniakan kepada orang yang menuntut ilmu ini, mari kita lihat satu hadith dari Abu Darda’ r.a., Nabi bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahnya jalan ke syurga. Sesungguhnya para malaikat merendahkan sayapnya sebagai redha kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dipohonkan keampunan oleh penduduk langit dan bumi sehingga ikan yang berada di dasar laut. Kelebihan seorang yang alim dibanding seorang abid adalah keutamaan bulan purnama di waktu malam keatas seluruh bintang di langit. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya maka ia telah mengambil bahagian yang banyak.”

Maknanya, Allah mempermudahkan kita beramal sebagaimana amal ahli syurga, Allah akan beri ilham untuk membuat kebajikan dan menjauhi kesalahan dosa. Dengan ilmu yang dituntut sepatutnya ia membuatkan kita menjadi lebih pandai, boleh menilai yang mana baik dan buruk, menimbang yang mana halal dan haram, memahamkan kita tentang tugas dan tanggungjawab sebagai muslim yang taat mengabdikan diri kepada Allah secara total dan tidak separuh-separuh.
Inilah yang dfahami oleh sahabat-sahabat Nabi saw. Berbekalkan ilmu dan kefahaman serta contoh tauladan baginda saw, sahabat menyampaikan ilmu yang mereka belajar dan berdakwah kepada umat manusia. Jika tanpa kefahaman ini, Islam tidak mungkintersebar seperti mana yang kita lihat sekarang ini. Tanpa ilmu yang disusuli dengan akhlaq yang mulia, manusia tidak akan tertarik dengan kemuliaan Islam. Tanpa ilmu yang disertai dengan amalan mana mungkin Allah akan melorongkan kita jalan-jalan ke syurga.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Akhir-akhir ini, kita melihat kuliah-kuliah agama semakin bertambah. Saban hari hampir seluruh masjid di Pulau Pinang ini menyediakan kuliah-kuliah ilmu dan ceramah-ceramah hari kebesaran Islam. Kita merakamkan syabas dan tahniah kepada muslimin muslimat yang rajin dan tidak jemu-jemu hadir majlis-majlis ilmu ini malah ada yang sanggup mengunjunginya walaupun jauh. Moga Allah mengampuni semua.
Namun, janganlah ilmu ini disimpan di dada sahaja. Alangkah baiknya sekiranya ilmu yang ditimba ini disampaikan pula kepada ahli keluarga di rumah. Di zaman cyber ini, sebar-sebarkanlah nota kuliah dengan rakan-rakan di media alam maya seperti Facebook, laman sesawang, laman blog dan sebagainya. Semoga ini menepati dengan maksud hadith Rasulullah saw, yang berbunyi:
 “Sampaikan lah dari aku walau sepotong ayat.”

Ini adalah kerana kita tidak boleh berbangga dengan penuhnya manusia di kuliah-kuliah masjid, lautan manusia di ceramah-ceramah perdana. Masih ramai lagi manusia yang bersikap culas terhadap program-program ilmu. Malah program-program hiburan dan karnival mendapat tajaan serta lebih hebat sambutannya. Ini adalah virus yang perlu diubati dengan dakwah dengan memahamkan mereka tentang hakikat kehidupan yang diredhai Allah, yang menjanjikan kebahagiaan sebenar di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam masa yang sama, kita risau sekiranya tradisi keilmuan ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh generasi masa kini. Para ibu bapa lebih pentingkan anak-anak cemerlang dihantar ke sekolah-sekolah sains menengah dan sekolah berprestij. Manakala anak-anak yang tidak cerdik, yang kurang berkualiti dihantar ke sekolah-sekolah agama. Seolah-olah ilmu agama tidak penting bagi mereka, yang lebih utama ialah ilmu yang dapat memberi kerjaya yang lumayan dan berprestasi tinggi di mata umum.

Akibatnya, tanpa menafikan kehebatan para ulama sekarang, kita dapati sebahagian kecil dari para ilmuan agama terdapat sedikit sebanyak kelemahan di sudut penguasaan ilmu agama yang luas dan ketajaman pemikirannya yang boleh diperbaiki kualitinya.
Perkara ini amatlah penting, kerana ulama dan para asatizah adalah golongan yang dihormati masyarakat, sentiasa menjadi rujukan umat, dalam hal hukum-hakam, ilmu yang ada pada merekalah yang dijadikan panduan.
Sekira budaya ini menjadi kebiasaan, kita merasa bimbang dengan tiada  penerusan oleh generasi akan datang, akan berlaku seperti mana hadith Rasulullah saw yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengangkat ilmu daripada manusia setelah ia berikan kepada mereka. Akan tetapi, Allah akan mengambil (mewafatkan) para ulama hingga jika setiap seorang alim pergi, akan pergi pula ilmu yang dimiliki. Sehingga di dunia ini, hanya yang tinggal ketua yang jahil, mereka memberi fatwa tanpa landasan ilmu hingga mereka sesat dan menyesatkan.”

Marilah kita sama-sama meneruskan tradisi kecintaan terhadap ilmu seperti generasi terdahulu. Lahirnya ulama kontemporari yang hebat seperti Dr Yusof Al Qardhawi.  Beliau merupakan seorang pemikir, sarjana dan intelek komtemporori yang tidak asing lagi di dunia Islam. Pada umur 10 tahun telah menghafaz al-Quran. Beliau dibesarkan dalam suasana budaya yang pentingkan al-Quran dan agama telah menjadi penunjuk arah kepada pemikiran dan kehidupan seharian masyarakat kampungnya.
Inilah yang menyebabkan beliau kehausan terhadap ilmu pengetahuan sehingga bukan sahaja buku-buku dalam silibus yang dibacanya bahkan buku-buku lain dikuasai untuk meluaskan ufuk pemikirannya. Sumbangan ilmu Dr Yusof al Qardhawi telah dimanfaatkan seluruh umat masa kini. Semoga Allah melahirkan ramai lagi ulama seperti beliau.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai mengakhiri khutbah, sama-sama kita renung kata-kata hikmah, “Harta yang banyak jika digunakan lama-kelamaan akan kehabisan. Tetapi ilmu yang sedikit dan digunakan lama kelamaan ia semakin banyak dan bertambah”
Wassalam.
Masjid Kg Banggol. 6 Jun 2014

Thursday, 1 May 2014

| BICARA YDP | Perutusan Beberapa Pengajaran Kebangkitan Rakyat Mesir

Ir JAMALUDDIN BIN ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam kepada Pesuruh Allah, Muhammad saw serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari ahli IKRAM yang dirahmati Allah sekalian,
Mutakhir ini, saya percaya ahli-ahli IKRAM mengikuti perkembangan yang menarik di bumi anbiya’ Mesir. Setelah 30 tahun pemerintahan kuku besi menindas rakyat, akhirnya dengan percikan kesan kejatuhan kerajaan Tunisia, Presiden Hosni Mubarak berundur oleh tekanan rakyatnya sendiri pada 11hb.Februari 2011.