Sunday, 5 October 2014

| BICARA YDP | Perutusan Hari Raya Eidul Adha 1435H

 Ir JAMALUDDIN BIN ABDULLAH
Perutusan Yang DiPertua
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Pulau Pinang 
Sempena Hari Raya Eidul Adha 1435H


Segala puji-pujian bagi Allah robb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga dan para sahabat seluruhnya. 

Sambutan Hari Raya Qurban
Seluruh umat Islam akan menyambut  Hari Raya Qurban sebagai memperingati ketaatan Nabi Ibrahim menurut perintah Allah s.w.t. dengan mengorbankan anakandanya Nabi Ismail. Sesungguhnya kisah pengorbanan ini adalah pengorbanan seisi keluarga yakni seorang ibu, seorang ayah dan anak.  Ketika Siti Hajar bersama Nabi Ismail ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di padang gurun yang kering kontang dan tidak berpenghuni. Beliau bertanya, “Adakah ini perintah Allah?”. JIka begitu, Allah akan memelihara kami”. Beliau pasrah dan tunduk kepada Allah s.w.t. 

Ketika Nabi Ibrahim diperintah menyembelih anakandanya, Nabi Ismail yang pada ketika itu sedang membesar, Nabi Ismail tidak menolak sedikit pun kerana ini adalah suruhan Allah kepada ayahandanya. Ini satu pengorbanan yang luarbiasa oleh ayah, ibu dan anak.

Erti Pengorbanan
Pengorbanan dari sudut bahasanya membawa erti menyerahkan sesuatu yang bernilai untuk memperoleh sesuatu yang lebih tinggi nilainya. Imam Hasan Al Banna memberi maksud pengorbanan dengan “ Berkorban jiwa, masa, harta, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat. Tiada jihad di dunia tanpa pengorbanan dan tidak akan lenyap pengorbanan demi memperjuangkan fikrah kita, melainkan ada ganjaran besar dan pahalanya.”

Bagi penggerak IKRAM, kita harus mengorbankan apa yang ada di sisi kita untuk mendapat redha dan syurga Allah. Tidak ada yang lebih bernilai di sisi kita selain dari janji Allah seperti mana yang dirakam kan di dalam al Quran,

 

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

الْفَوْزُ الْعَظِيمُ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” As-Soff: 10-12

 

Seharusnya kita mencontohi keluarga Nabi Ibrahim a.s. yang mana seluruh keluarga kita terlibat dalam perjuangan memenangkan agama Allah. Sesiapa yang merasakan dirinya mampu  berkhidmat untuk Islam serta memberi saham untuk menjulang panji-panji dakwah, sedangkan dia bakhil terhadap jiwa, harta dan waktunya maka hendaklah dia memeriksa dirinya, baca al Quran dengan teliti dan hayati sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. serta perhatikan kitab sejarah. Pasti dia akan menemui hakikat tiada hidup dakwah melainkan dengan jihad dan tidak ada jihad tanpa pengorbanan.

Ke Arah Negara Rahmat,  Perlukan Pengorbanan
Saya ingin peringatkan diri saya dan rakan seperjuangan, ada kalanya kita perlu mengorbankan rancangan peribadi dan  keluarga dalam menjayakan langkah-langkah dakwah mengikut perancangan strategi IKRAM. Agar mencapai sasaran indeks pencapaian utama (KPI), kita perlu mengaktifkan dakwah fardhiah, memasyarakatkan IKRAM melalui institusi-institusinya, memanfaatkan institusi masjid/persatuan dan melahirkan nuqaba baru dari lepasan SMI, IPT. 

Tambahan lagi, dalam konteks masyarakat berbilang kaum pula, kita perlu membuang tembok pemisah dengan kaum Tionghua dan India. Buatlah engagement dengan mereka bukan mencipta musuh. Mereka harus memahami dan menerima bahawa Islam membawa rahmat dan kesejahteraan kepada kehidupan mereka.

Penutup
Ya, memang tidak mudah jalan yang kita pilih ini. Tapi apakah kita lebih suka hidup senang lenang dalam buaian kebendaan, tidak peka (oblivious) kepada kegelapan jati diri umat yang dibutakan dan tunduk kepada sistem Dajjal ? Ambillah perhatian kepada peringatan ini,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
”Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.” At Taubah: 38

 
Mari kita isi kekosongan hidup umat ini dengan nasihat-nasihat, melalui sentuhan akhlaq kita, dengan fikrah Islam yang kita yakini dan aktiviti-aktiviti kita. Saya percaya sebenarnya kerja mulia ini tidak membebankan kerana kita mampu buat dan kerana Allah taklifkan ikut kemampuan kita. Lidah kita mampu bercakap dan suka berbicara dengan manusia, maka kita lorongkan kepada nasihat, ajak kepada Islam melalui aktiviti IKRAM. Tidak susah bukan?

Moga Allah bantu amal jama’i dan rahmati jiwa-jiwa yang ikhlas.
Wabillahi taufiq wal hidayah.

No comments:

Post a Comment