Friday, 6 June 2014

| KHUTBAH YDP | Khutbah Pertama di Masjid Kg Banggol pada 6 Jun 2014

Sidang Jumaat yang mulia sekalian,
Saya menyeru diri saya dan sidang Jumaat supaya bertaqwa kepada Allah. Dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangan Nya. Allah tidak memandang kepada banyaknya harta kita, Allah tidak melihat warna kulit dan rupa bentuk kita kerana Allah hanya memuliakan insan yang bertaqwa.
“Sesungguhnya orang mulia di kalangan kamu adalah mereka yang bertaqwa..”

Khutbah pada hari ini akan menyentuh kepada keutamaan dalam menuntut ilmu dan menyebarkannya. Sabda Rasulullah saw:
“Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya, nescaya Dia memahamkan nya dalam agama”

Hadith ini memberi erti bahawa Ilmu merupakan suatu perkara yang amat penting dan amat dititik beratkan di dalam Islam. Semasa awal gerakan Islam oleh Rasul saw, baginda menjadikan agenda keilmuan sebagai misi utama untuk sahabat-sahabatnya ketika itu. Berkumpulnya baginda dan para sahabat di rumah Arqam bin abi Arqam membuktikan ilmu adalah keutamaan dalam berdakwah. Bila ada ilmu, barulah terbentuk iman yang utuh, terbinalah akhlaq yang mulia dan akhirnya penyebaran Islam akan lebih cepat dan meluas.

Sidang Jumaat sekalian,
Dalam pada itu, untuk menggambarkan betapa hebat dan begitu mulia Allah kurniakan kepada orang yang menuntut ilmu ini, mari kita lihat satu hadith dari Abu Darda’ r.a., Nabi bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahnya jalan ke syurga. Sesungguhnya para malaikat merendahkan sayapnya sebagai redha kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dipohonkan keampunan oleh penduduk langit dan bumi sehingga ikan yang berada di dasar laut. Kelebihan seorang yang alim dibanding seorang abid adalah keutamaan bulan purnama di waktu malam keatas seluruh bintang di langit. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya maka ia telah mengambil bahagian yang banyak.”

Maknanya, Allah mempermudahkan kita beramal sebagaimana amal ahli syurga, Allah akan beri ilham untuk membuat kebajikan dan menjauhi kesalahan dosa. Dengan ilmu yang dituntut sepatutnya ia membuatkan kita menjadi lebih pandai, boleh menilai yang mana baik dan buruk, menimbang yang mana halal dan haram, memahamkan kita tentang tugas dan tanggungjawab sebagai muslim yang taat mengabdikan diri kepada Allah secara total dan tidak separuh-separuh.
Inilah yang dfahami oleh sahabat-sahabat Nabi saw. Berbekalkan ilmu dan kefahaman serta contoh tauladan baginda saw, sahabat menyampaikan ilmu yang mereka belajar dan berdakwah kepada umat manusia. Jika tanpa kefahaman ini, Islam tidak mungkintersebar seperti mana yang kita lihat sekarang ini. Tanpa ilmu yang disusuli dengan akhlaq yang mulia, manusia tidak akan tertarik dengan kemuliaan Islam. Tanpa ilmu yang disertai dengan amalan mana mungkin Allah akan melorongkan kita jalan-jalan ke syurga.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Akhir-akhir ini, kita melihat kuliah-kuliah agama semakin bertambah. Saban hari hampir seluruh masjid di Pulau Pinang ini menyediakan kuliah-kuliah ilmu dan ceramah-ceramah hari kebesaran Islam. Kita merakamkan syabas dan tahniah kepada muslimin muslimat yang rajin dan tidak jemu-jemu hadir majlis-majlis ilmu ini malah ada yang sanggup mengunjunginya walaupun jauh. Moga Allah mengampuni semua.
Namun, janganlah ilmu ini disimpan di dada sahaja. Alangkah baiknya sekiranya ilmu yang ditimba ini disampaikan pula kepada ahli keluarga di rumah. Di zaman cyber ini, sebar-sebarkanlah nota kuliah dengan rakan-rakan di media alam maya seperti Facebook, laman sesawang, laman blog dan sebagainya. Semoga ini menepati dengan maksud hadith Rasulullah saw, yang berbunyi:
 “Sampaikan lah dari aku walau sepotong ayat.”

Ini adalah kerana kita tidak boleh berbangga dengan penuhnya manusia di kuliah-kuliah masjid, lautan manusia di ceramah-ceramah perdana. Masih ramai lagi manusia yang bersikap culas terhadap program-program ilmu. Malah program-program hiburan dan karnival mendapat tajaan serta lebih hebat sambutannya. Ini adalah virus yang perlu diubati dengan dakwah dengan memahamkan mereka tentang hakikat kehidupan yang diredhai Allah, yang menjanjikan kebahagiaan sebenar di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam masa yang sama, kita risau sekiranya tradisi keilmuan ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh generasi masa kini. Para ibu bapa lebih pentingkan anak-anak cemerlang dihantar ke sekolah-sekolah sains menengah dan sekolah berprestij. Manakala anak-anak yang tidak cerdik, yang kurang berkualiti dihantar ke sekolah-sekolah agama. Seolah-olah ilmu agama tidak penting bagi mereka, yang lebih utama ialah ilmu yang dapat memberi kerjaya yang lumayan dan berprestasi tinggi di mata umum.

Akibatnya, tanpa menafikan kehebatan para ulama sekarang, kita dapati sebahagian kecil dari para ilmuan agama terdapat sedikit sebanyak kelemahan di sudut penguasaan ilmu agama yang luas dan ketajaman pemikirannya yang boleh diperbaiki kualitinya.
Perkara ini amatlah penting, kerana ulama dan para asatizah adalah golongan yang dihormati masyarakat, sentiasa menjadi rujukan umat, dalam hal hukum-hakam, ilmu yang ada pada merekalah yang dijadikan panduan.
Sekira budaya ini menjadi kebiasaan, kita merasa bimbang dengan tiada  penerusan oleh generasi akan datang, akan berlaku seperti mana hadith Rasulullah saw yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengangkat ilmu daripada manusia setelah ia berikan kepada mereka. Akan tetapi, Allah akan mengambil (mewafatkan) para ulama hingga jika setiap seorang alim pergi, akan pergi pula ilmu yang dimiliki. Sehingga di dunia ini, hanya yang tinggal ketua yang jahil, mereka memberi fatwa tanpa landasan ilmu hingga mereka sesat dan menyesatkan.”

Marilah kita sama-sama meneruskan tradisi kecintaan terhadap ilmu seperti generasi terdahulu. Lahirnya ulama kontemporari yang hebat seperti Dr Yusof Al Qardhawi.  Beliau merupakan seorang pemikir, sarjana dan intelek komtemporori yang tidak asing lagi di dunia Islam. Pada umur 10 tahun telah menghafaz al-Quran. Beliau dibesarkan dalam suasana budaya yang pentingkan al-Quran dan agama telah menjadi penunjuk arah kepada pemikiran dan kehidupan seharian masyarakat kampungnya.
Inilah yang menyebabkan beliau kehausan terhadap ilmu pengetahuan sehingga bukan sahaja buku-buku dalam silibus yang dibacanya bahkan buku-buku lain dikuasai untuk meluaskan ufuk pemikirannya. Sumbangan ilmu Dr Yusof al Qardhawi telah dimanfaatkan seluruh umat masa kini. Semoga Allah melahirkan ramai lagi ulama seperti beliau.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai mengakhiri khutbah, sama-sama kita renung kata-kata hikmah, “Harta yang banyak jika digunakan lama-kelamaan akan kehabisan. Tetapi ilmu yang sedikit dan digunakan lama kelamaan ia semakin banyak dan bertambah”
Wassalam.
Masjid Kg Banggol. 6 Jun 2014

No comments:

Post a Comment