Monday, 20 June 2016

| BERITA | Program Bingkisan Ramadhan 1437H / 2016 IKRAM Timur Laut, 19 Jun 2016


Ahad, 19 Jun 2016 - Program Bingkisan Ramadhan 1437H / 2016 IKRAM Timur Laut telah berjaya dilaksanakan dengan pengagihan sumbangan kepada seramai 44 orang penerima di Flat 100, Sungai Pinang, Pulau Pinang hari ini, manakala 4 lagi sumbangan telah diserahkan kepada Jawatankuasa Surat Flat 100 bagi diagihkan kepada golongan saudara baru (muallaf) di kawasan berkenaan.

Sejumlah 48 sumbangan telah diterima oleh IKRAM Timur Laut bagi tujuan pengagihan ini. Pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah menyumbang sebanyak 30 sumbangan berupa beras, gula, tepung, minyak masak, kordial dll) manakala sumbangan orang ramai melalui kaunter sumbangan di Mydin Bertam adalah sebanyak 18 buah berupa beras, gula dan tepung.

Seramai 14 orang ibu tunggal, 6 orang kurang upaya, 4 orang saudara baru da, selebihnya golongan asnaf miskin telah diraikan dalam program ini, alhamdulillah.

Semoga Ramadhan Al-Mubarak ini melonjakkan lagi amalan bersedekah di kalangan umat Islam. Terima kasih kepada semua penyumbang.

Petugas-petugas IKRAM Timur Laut bergambar kenangan bersama AJK Surau Flat 100

 

| BERITA | Lawatan Hospital: Ramadhan Special!

 

19 Jun 201, Ahad - Seramai 14 orang sukarelawan telah menziarahi dan menyantuni pesakit di wad sakit puan Hospital Pulau Pinang hari ini. Antara cenderahati yang dibawa adalah biskut raya, kurma, brooch, Al-Ma'thurat dan pamplet panduan solat bagi pesakit.


| BERITA | Sukarelawan Hidayah Centre Pulau Pinang bertungkus lumus melaksanakan "Donation Drive" Sepanjang Ramadhan 1437H


 

Sunday, 19 June 2016

| PERUTUSAN | HARI BAPA 2016, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

 
PERUTUSAN HARI BAPA 2016
WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA


"BAPA PEMACU KESEJAHTERAAN KELUARGA"
19 Jun 2016, 14 Ramadhan 1437

Hari Bapa diraikan pada Ahad minggu ketiga bulan Jun setiap tahun. Wanita IKRAM mengucapkan selamat menyambut Hari Bapa pada semua rakyat Malaysia yang bergelar bapa dengan panggilan ayah, abah, papa, abi, daddy, baba dan seumpamanya. Kesemua panggilan tersebut melambangkan kasih sayang ahli keluarga terhadap ketua keluarga dan juga penghormatan yang diberi kepada seorang lelaki seiring dengan tanggungjawab mulia yang perlu ditunaikan.

Firman Allah SWT di dalam ayat 6 surah At-Tahrim yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, tidak mendurhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." Ayat ini sewajarnya menjadi pedoman setiap insan bergelar bapa dalam memimpin ahli keluarganya.

Pembentukan sebuah keluarga sejahtera yang penuh rahmah terletak ditangan ketua keluarganya. Ianya juga memerlukan kepada penglibatan seimbang dan bersungguh-sungguh kedua ibubapa dalam mengendalikan urusan rumahtangga dan pendidikan anak-anak agar menjadi insan rabbani sebagaimana yang termaktub dalam syariat Islam untuk menjamin kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat.

Institusi keluarga hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik generasi masa depan. Ibubapa terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi, yang menuntut kedua ibu dan bapa keluar mencari rezeki di luar rumah bagi menyara ahli keluarga. Situasi ini kadang kala menjadikan ibubapa terlalai dari mendidik dan mengawasi anak-anak yang sedang membesar.

| BERITA | Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) Pulau Pinang 1437H / 2016

 
18 Jun 2016, Sabtu bersamaan 13 Ramadhan 1437H - Pihak Hidayah Centre Pulau Pinang (HCPP) telah berjaya melangsungkan Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) kali ke 7 hari ini di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas bermula dari jam 5 petang hingga 11 malam. 

Alhamdulillah, berkat sokongan masyarakat, HCPP telah berjaya mengumpul dana yang mencukupi setiap tahun untuk membolehkan HCPP menjalankan pelbagai aktiviti dakwah, pengislaman dan sokongan kepada muallaf di sekitar Pulau Pinang.

Majlis ini diadakan dengan tujuan utama adalah untuk menjana dana bagi meneruskan pengoperasian HCPP sepanjang tahun dan meraikan muallaf yang telah kembali kepada Islam. Majlis tahunan ini lebih bermakna kerana muallaf digalakkan untuk menjemput ahli keluarga, saudara-saudara dan kawan-kawan yang belum Islam untuk bersama-sama merasakan kemeriahan berbuka puasa.
Tiga jenis bentuk sumbangan melalui pembelian sebuah meja bernilai RM1000 (10 orang semeja), pembelian sebuah kerusi bernilai RM100 ataupun sebarang nilai sumbangan ikhlas telah diterima.


Terima kasih kepada para penyumbang budiman yang telah memberikan sokongan kepada majlis ini.

Saturday, 11 June 2016

| BERITA | Kenyataan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pendidikan Al-Itqan berhubung bantuan penuh bernilai RM 15 juta kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan


Rabu 8 Jun 2016 merupakan hari bersejarah kepada Pusat Pendidikan Al-Itqan kerana pada hari itu Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng, mengumumkan bantuan penuh bernilai RM15 juta untuk membina lengkap Pusat Pendidikan Al-Itqan di atas tapak milik sekolah di Jalan Sepakat, off Jalan Kg Masjid, Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Projek ini dijangka siap pada tahun 2018.

Pusat Pendidikan Al-Itqan ditubuhkan pada tahun 1998 sebagai Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Islah dengan seramai 70 orang murid dan 3 orang tenaga pengajar di sebuah rumah banglo beralamat Lot 347-348, Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, PulauPinang. Kini bilangan murid adalah 200 orang dengan 35 orang staf.

Kemudian, pada tahun 2008, Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Islah berjaya ditubuhkan di tapak tanah kekal milik institusi ini. Pada tahun yang sama, Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Islah telah didaftarkan sebagai Sekolah Rendah Al-Itqan. Sekolah menengah juga dijajarkan sebagai Sekolah Menengah Al-Itqan.
 
Dalam tahun kelapan operasi (2016) terdapat 70 orang murid dan 16 orang staf dan menawarkan aliran akaun dan sains. Sekolah menengah tidak mempunyai infra-struktur kekal kecuali bangunan sedia ada yang menempatkan pejabat dan kelas-kelas. Guru-guru dan staf sokongan ditempatkan di dalam 3 buah kabin (kontena), manakala bilik mesyuarat, perpustakaan, bilik multimedia ditempatkan di dalam 2 buah kabin. Surau, makmal sains, bengkel kemahiran hidup, kantin dan hostel pelajar asrama ditempatkan dalam struktur-struktur bangunan sementara. 

| BERITA | Mesyuarat Agung Tahunan 2014/15, Koperasi Persaudaraan Ummah Pulau Pinang Berhad (KPUPPB), 11 Jun 2016


Buat julung kalinya Koperasi Persaudaraan Ummah Pulau Pinang telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan 2014/15 hari ini di Bilik Seminar Masjid Jamek Seberang Jaya.
 

Wednesday, 8 June 2016

| BERITA | Pusat Pendidikan Al-Itqan menerima bantuan pembangunan sebanyak RM15 juta daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 
8 Jun 2016, Rabu - Alhamdulillah, pada hari ini telah berlangsung majlis kenyataan media tentang bantuan pembangunan sebanyak RM15 juta daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Pusat Pendidikan Al-Itqan (PPAIQ) di Bangunan Komtar Pulau Pinang.

Dr Abdul Halim (kanan) dan Tuan Haji Yusoff (tengah) memberi penerangan tentang pelan pembangunan PPAIQ.

Pihak PPAIQ diwakili oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdul Aziz, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PPAIQ, dan Tuan Haji Yusoff Omar, Pengarah Eksekutif PPAIQ merangkap Ahli Lembaga Pengarah pada majlis ini.

Didoakan bantuan pembangunan ini menjadi pemangkin melonjakkan PPAIQ ke arah usaha menjadi pusat pendidikan pilihan pada tahun mendatang di Pulau Pinang.

Sunday, 5 June 2016

| BERITA | Program Hand-in-Hand Sharing Inspirations, Celebrating Diversity anjuran Wanita IKRAM Pulau Pinang bersama ALIRAN


4 Jun 2016, Sabtu - Wanita IKRAM Pulau Pinang telah menganjurkan program Hand-in-Hand: Sharing Inspirations, Celebrating Diversity bersama ALIRAN hari ini di Hidayah Centre Pulau Pinang.

Program dua jam yang bermula pada jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari telah dihadiri oleh aktivis Wanita IKRAM Pulau Pinang dan ALIRAN. Para peserta program telah diagihkan kepada beberapa kumpulan bagi aktiviti perbincangan dalam kumpulan bertitik tolak pada inspirasi dan meraikan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Selanjutnya hasil perbincangan ini telah dibentangkan bagi manafaat bersama.

Majlis santai ini berakhir dengan jamuan juadah lazat yang telah dibawa sendiri oleh para peserta program berdasarkan konsep "Pot Luck" dan beberapa aktiviti games.

Friday, 3 June 2016

| BERITA | Pelajar Sekolah Menengah Al-Itqan Johan Pidato Bahasa Melayu dan Tempat Ketiga Pidato Bahasa Arab dalam Karnival Ko-Kurikulum Majlis Guru Besar Sekolah IKRAM MUSLEH


Tahniah dan syabas diucapkan kepada adik Aina Afiqah bt Zainudin dan adik Maryam Sofea bt Farizal yang telah memenangi pertandingan Pidato Bahasa Melayu (Johan) dan Pidato Bahasa Arab (tempat ketiga) kategori Banat (pelajar perempuan) dalam Karnival Kokurikulum ke-7 Majlis Guru Besar Sekolah IKRAM MUSLEH (MGBSIM) di Sek Islam Hidayah pd 30-31 Mei 2016 baru-baru ini.